Ads Top

Apa Hukum Lelaki Memakai Baju Kelawar

Macam-macam telatah dan kerenah manusia yang dapat kita lihat sepanjang tempoh PKP berjalan.

Ada yang memuat naik gambar memasak makanan yang pelik-pelik, ada yang membuat siaran video langsung di media sosial – becakap tentang hari-hari yang dilalui. Ada yang sudah mencipta video hari raya di rumah dan ada pula yang mencuba pakaian yang tidak pernah dipakai seperti baju kelawar milik isteri, emak atau adik-beradik perempuan.

Kata kaum Adam, “Tak sangka pakai baju kelawar selesa macam ni!”

Kali ini Tzkrh berminat untuk mengupas tentang hukum memakai pakaian yang secara adat kebiasaannya dikhususkan buat perempuan.

Mari kita teliti apa kata pihak Mufti Wilayah Persekutuan.

Imam Thabaari berpendapat bahawa tidak boleh bagi orang lelaki menyerupai perempuan dalam hal pakaian atau perhiasan yang khusus bagi golongan perempuan. Begitu juga sebaliknya bagi perempuan.

Pendapat Imam Thabaari ini adalah ulasan beliau terhadap sebuah hadis riwayat Ibnu Abbas.

Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata:

Ù„َعَÙ†َ رَسُولُ اللَّÙ‡ِ صلى الله عليه وسلم الْÙ…ُتَØ´َبِّÙ‡ِينَ Ù…ِÙ†َ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، ÙˆَالْÙ…ُتَØ´َبِّÙ‡َاتِ Ù…ِÙ†َ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai orang perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai orang lelaki. (Riwayat Al-Bukhari, no.5885)

Syeikh Badr Al-Din Al-‘Aini pula mengulas hadis di atas dengan berkata celaan daripada Allah tersebut adalah terhadap perbuatan orang lelaki yang menyerupai perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan khusus buat golongan wanita seperti serkup kepala, rantai, gelang dan juga anting-anting.

Walau bagaimanapun, menurut Ibnu Hajar, keadaan pakaian boleh jadi berbeza-beza bagi setiap negeri. Mungkin bagi sesuatu kaum, pakaian perempuan dan lelaki tidak ada banyak bezanya – dibezakan hanya dengan memakai hijab bagi perempuan.

Maka uruf atau kebiasaan di sesuatu tempat juga diambil kira dalam menentukan hukum dengan syarat ia tidak bercanggah dengan dalil Al-Quran dan sunnah.

Dalam isu ini, pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga telah menggariskan panduan yang penting dalam menentukan hukum. Isu ini boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:

1. Pakaian yang digunapakai oleh kedua-dua jantina, maka harus bagi orang lelaki dan orang perempuan memakainya. Ia berdasarkan kaedah hukum fiqh bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus hinggalah ada dalil yang melarangnya.

2. Pakaian yang khusus bagi orang lelaki, maka haram bagi orang perempuan untuk memakaiynya.

3. Pakaian yang khusus bagi orang perempuan, maka haram bagi kaum lelaki untuk memakainya.

Justeru, bagi persoalan – adakah boleh lelaki memakai baju kelawar, maka jawapannya tidak boleh dan haram bagi lelaki memakainya. Hal ini kerana, baju kelawar secara urufnya adalah merupakan pakaian yang khusus bagi perempuan.

Tambahan pula, larangan ini dapat menutup sebarang ruang yang membawa kepada perbuatan tasyabbuh (menyerupai) jantina berlainan. Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.