Ads Top

Ucaplah Terima Kasih Atas Kejayaan Hari Ini

Hari ini, berduyun-duyun pelajar keluar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dicatatkan bahawa seramai 8876 calon yang telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang bagi semua subjek pelajaran.

Pasti ramai yang menzahirkan rasa syukur terhadap pencapaian yang diperoleh sama ada kepada ibu bapa, guru dan pihak sekolah sendiri.

Dalam menempa kejayaan yang diperoleh hari ini, tidak dapat disangkal lagi ia adalah hasil daripada doa dan usaha bersama yang diletakkan.

Setiap orang memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kejayaan pelajar yang berada di bawah tanggungjawab dan seliaannya.

Si ibu yang bertungkus-lumus memberikan kasih sayang dan keperluan yang secukupnya demi memastikan emosi dan kesihatan mereka terjaga agar lebih fokus dan mudah memahami apa yang dipelajari.

Peluh dan keringat bapa yang mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan anaknya di sekolah dan menghantarnya ke pusat tuisyen. Tidak kurang juga dalam penyediaan peralatan sekolah dan keperluan buku rujukan. Itu semua diusahakan sebaik mungkin.

Si guru yang sentiasa berkorban dan memikirkan soal anak didiknya sahaja setiap waktu. Sakit dan lelahnya tidak diambil peduli asalkan ilmu dan kefahaman itu sampai kepada mereka.

Pihak sekolah yang sentiasa memberikan yang terbaik buat para pelajar agar boleh menimba ilmu dalam keadaan kondusif dan emosi yang baik. Semuanya diuruskan dengan baik sedaya upaya agar mereka yang datang belajar dengan seribu harapan mampu membawa pulang sejuta senyuman.

Wahai anak pelajar, setiap kejayaan yang anda kecapi hari ini bukan usaha keras anda sahaja, namun penuh dengan doa dan usaha dari orang sekeliling anda juga.

Tanpa sedar, semua orang mendoakan dan cuba memberikan yang terbaik untuk keperluan anda agar anda mampu mengecapi apa yang diimpikan.

Hakikatnya, ia bukan sahaja impian anda seorang, namun impian besar semua orang. Oleh itu, ucaplah terima kasih kepada setiap yang pernah hadir dalam hidup anda dan menjadi pendorong kepada kejayaan hari ini hatta tukang kebun sekali pun.

Tanpa doa dan keberkatan, mungkin sukar untuk anda merasai nikmatnya hari menempuh kejayaan. Jangan meninggi diri tetapi dongaklah ke langit dan lihat tiada kuasa yang lebih hebat dan agung melainkanNya. Setiap kali anda mula berasa tinggi diri, pandanglah langit dan ingatlah ada yang lebih tinggi dari anda.

Oleh itu, untuk kejayaan yang anda cipta hari ini, ucaplah syukur dan terima kasih. Jika anda tidak memperoleh seperti apa yang diharapkan, jangan bersedih terlalu lama.

Ia adalah permulaan kepada kehidupan baru yang bakal anda tempuh. Semakin meningkat usia anda, semakin banyak kejayaan atau kegagalan yang anda akan jumpa. Oleh itu, jangan berputus asa dan teruslah mengorak langkah.




No comments:

Powered by Blogger.