Ads Top

Solidariti Malaysia #QuranTime Akan Bersiaran Secara Langsung Tengah Hari Ini

Sebuah Solidariti Malaysia #QuranTime akan diadakan pada tengah hari ini, 20 Mac 2020 dan akan bersiaran secara langsung di TV AlHijrah saluran 114. Ia merupakan sebuah titik tolak untuk membantu umat Islam membaca dan memahami Al-Quran walaupun sedang berada dalam tempoh kuarantin ini.

Solidariti yang dijadualkan akan bermula pukul 12 tengah hari sehingga 1 petang itu bertujuan untuk mentadabbur surah Al-Rahman. Pengisian satu jam itu akan dimulai dengan bacaan surah Ar-Rahman, diikuti dengan tadabbur surah tersebut. Seterusnya, sama-sama untuk mendoakan kesejahteraan negara bagi menangani wabak yang melanda kita semua.

Rakyat Malaysia dianjurkan untuk menyertai solidariti selama satu jam ini di kediaman atau lokasi masing-masing sama ada yang berada di Malaysia atau di luar negara.

Solidariti ini adalah hasil kerjasama daripada JAKIM, TV AlHijrah, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Sinar Harian. Anda boleh membuat carian #QuranTime atau #Quarantine bagi menyokong solidariti ini.

Berikutan dengan penularan wabak ini juga, semua masjid di seluruh negara diarahkan untuk menghentikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Gesaaan ini bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus koronavirus (COVID-19) ini daripada terus merebak.

Tambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri lagi, arahan ini selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam bagi menangani penularan wabak COVID-19.

Justeru, muslimin diminta untuk menghindari sebarang tempat yang melibatkan ramai orang termasuklah solat Jumaat sebaliknya menunaikan solat Zohor di rumah atau lokasi masing-masing.




No comments:

Powered by Blogger.