Perlukah Memberi Salam Sebelum Memasuki Rumah Yang Tidak Berpenghuni
Mengucapkan salam ialah mendoakan kesejahteraan ke atas seseorang. Kita dianjurkan untuk memberi salam sama ada kepada orang yang dikenali mahupun tidak.
Sejak di bangku sekolah lagi, guru-guru sentiasa memberi nasihat kepada para pelajar untuk mengamalkan memberi salam kepada sesiapa sahaja yang dijumpai, bukan sahaja kepada golongan guru, bahkan kepada tukang kebun sekolah, warden asrama dan juga sesama pelajar.
Walaupun hukumnya adalah sunat, namun ganjaran pahala yang diperoleh adalah berlipat kali ganda kerana ia adalah perbuatan mendoakan saudara seislam dengan kita.
Wajib hukumnya ke atas orang yang diajukan salam untuk menjawab salam tersebut sama ada dengan lafaz yang sama atau yang lebih panjang.
Bahkan, terdapat hadis yang menganjurkan umat Islam untuk memberi salam. Apabila anda menaiki kenderaan, berilah salam kepada mereka yang berjalan kaki. Jika anda berseorangan, berilah salam kepada mereka yang dalam kelompok dan sebelum memasuki rumah, ajukanlah salam.
Namun, jika kita memasuki rumah yang kosong, adakah perlu juga memberi salam? Mungkin kita akan tertanya, siapa yang akan menjawab salam tersebut jika rumahnya tiada penghuni atau telah lama ditinggalkan.
Imam al-Mutawalli berkata: “Dianjurkan bagi orang yang masuk rumah sendiri untuk memberi salam atas keluarganya dan dianjurkan bagi orang yang hendak masuk masjid atau rumah yang di dalamnya tidak terdapat seseorang untuk mengucapkan; ‘Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillahissolihin.’ Imam Nawawi berkata: “Sebelum memasukinya dianjurkan untuk membaca basmallah, berdoa dan kemudian memberi salam.” (Kitab Raudhatul Thalibin)
Jumhur ulama seperti Syeikh Zakaria al-Kandahlawi menukilkan bahawa, rumah yang berpenghuni adalah sama dengan rumah yang tidak berpenghuni. Oleh itu, perlu memberi salam dan mengamalkan adab-adab yang dianjurkan seperti melangkah dengan kaki kanan dan sebagainya.
Jika rumah tersebut telah lama tidak berpenghuni dan tidak terdapat orang Islam di dalamnya, adalah lebih baik memperbanyakkan zikir, doa dan juga memberi salam.
إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ: السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ
Maksud: “Sekiranya seseorang itu masuk ke dalam rumah yang tidak berpenghuni, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillahissolihin.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1055)
Ia membawa maksud; ‘salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.’
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Rumaysho.com
No comments: