Hukum Menggunakan Tabung Sperma Daripada Suami Yang Telah Meninggal Dunia
Seiring dengan perkembangan teknologi dan kemajuan dunia, saban hari ada sahaja penemuan dan kaedah baru dalam dunia perubatan yang memudahkan urusan kehidupan. Proses In-vitro Fertilisation (IVF) adalah salah satu contoh kaedah yang sudah diguna pakai secara meluas bagi tujuan mendapatkan zuriat. Ovum dan sperma akan disenyawakan di luar rahim mengikut prosedur makmal yang tertentu dan akan dimasukkan semula ke dalam rahim wanita.
Hukumnya harus dalam Islam dengan syarat ovum dan sperma tersebut mestilah daripada pasangan suami isteri yang sudah sah berkahwin.
Bagaimana pula jika pasangan suami isteri menjalani rawatan kesuburan dan suami menyimpan tabung sperma untuk kegunaan pada masa hadapan? Jika ditakdirkan suami meninggal dunia, adakah boleh melakukan proses pensenyawaan dengan menggunakan sperma tersebut?
Muzakarah Fatwa Kebangsaan menghukumkan haram bagi seorang balu menggunakan sperma suami yang telah meninggal dunia untuk mengandung sama ada ia dilakukan dengan kaedah in-vitro (luar rahim) atau in-vivo (dalam rahim).
Hal ini kerana, sesebuah perkahwinan itu dikira telah tamat dengan berlakunya kematian. Ikatan yang halal di dunia telah terputus, maka apa jua proses persenyawaan yang berlaku selepas itu dikira haram.
Justeru, tabung sperma milik suami yang telah meninggal dunia tidak lagi boleh digunakan dan perlu dihapuskan. Wallahua’lam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: