Ads Top

Larangan Solat Jemaah Di Masjid Saat Wabak COVID 19 – Sudut Pandang Maqasid Al-Shari’ah.

Beberapa hari yang lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Islam) telah memutuskan bahawa solat Jumaat dan solat jemaah telah ditangguhkan sehingga 26 Mac 2020. Malah umat Islam juga dilarang berkumpul untuk sebarang aktiviti keramaian atau keagamaan.

Fatwa-fatwa mahupun pandangan yang menegaskan tiadanya aktiviti keagamaan di masjid dan surau sekalipun solat berjemaah sama sekali tidak memberi maksud haram secara mutlak solat jemaah didirikan ketika COVID-19 berleluasa. Ini kerana, solat masih boleh ditunaikan secara jama’i di kediaman misalnya.

Namun begitu, larangan hanya melibatkan jemaah di masjid dan surau berasaskan konsep sadd al-dhari’ah agar terhindarnya jangkitan COVID 19 dalam kalangan jemaah.

Jika dilihat kepada perutusan khususnya perutusan lockdown oleh YB Perdana Menteri, secara jelas masjid dan surau disebut dan disenarai utamakan.

Mengapa? Pertama, kebarangkalian perhimpunan yang paling mungkin berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia yang majoritnya Islam adalah di masjid dan surau.

Kedua, i’tibar al-maalat terhadap peristiwa yang berlaku rentetan kes kluster yang juga berpunca dari himpunan di Masjid Sri Petaling. Justeru, usah dimarah apabila masjid dan surau disenarai utama larangan berhimpun.

Umat Islam Perlu Jelas Tentang Kedudukan Solat Jemaah

Dari perspektif maqasid al-shariah, umat Islam perlu jelas tentang kedudukan solat jemaah. Bukan sahaja daripada sudut hukumnya di mana ada yang berpandangan wajib, fardhu kifayah mahupun sunat muakkad malah dari sudut maqasidnya.

Ini kerana, berjemaah dalam menunaikan solat fardhu bukanlah daripada perkara daruri dalam menjaga agama. Sebaliknya, solat fardhu sahaja yang termasuk dalam perkara dharuri dalam memelihara agama. Ini kerana, al-daruriyyat merupakan konsep yang menjelaskan tentang tiadanya ruang manusia hidup tanpanya (keperluan asas manusia).

Dalam erti kata lain, sesuatu itu mesti ada untuk menjamin keberlangsungan kehidupan manusia. Lebih mudah, Ibn ‘Ashur menggambarkan keadaan manusia akan menjadi seperti kehidupan binatang dengan tiadanya al-daruriyyat.

Syariat Agama Tidak Dapat Dipelihara Jika Masyarakat Muslim Sakit

Oleh itu, solat jemaah adalah satu tuntutan dimartabat al-hajiyyat dalam memelihara agama di mana manusia mungkin akan berasa sukar jika tidak berjemaah kerana disebalik jemaah itu sendiri mempunyai hikmah dari sudut muamalat sesama manusia. Namun, dengan tiadanya berjemaah tidak menyebabkan agama seseorang musnah mahupun terbatal.

Selanjutnya, apabila terdapat pertembungan antara al-hajiyyat (solat jemaah) dan juga mencegah penularan COVID-19 yang boleh disifatkan daruri untuk menjaga nyawa, maka dalam keadaan ini perlu diawlakan hal daruri tersebut.

Mungkin akan timbul persoalan, tidakkah menjaga agama itu lebih awla dengan mendirikan solat jemaah? Jawapannya, menjaga perkara yang daruri perlu diutamakan berbanding perkara yang hajiy kerana daruri merupakan asal.

Ini kerana, bagaimana agama ini mahu terus dipelihara dalam keadaan masyarakat muslimnya yang sakit? Maka, dengan sebab itu situasi yang timbul pada hari ini menyebabkan daruri dari sudut nyawa diutamakan.

Malah, satu persoalan yang perlu diteliti dengan lebih mendalam – adakah solat jemaah di masjid itu merupakan mukammil (sesuatu yang melengkapkan) kepada al-hajiyyat untuk memelihara agama? Atau adakah berjemaah di masjid itu lebih menepati martabat al-tahsiniyyat (kesempurnaan) dalam memelihara agama kerana amalan ini dapat menonjolkan keizzahan Islam terhadap khalayak. Hal ini memerlukan penelitian yang lebih mendalam.

Kesimpulan

Justeru, perlu ditegaskan kepada umum bahawa jemaah solat fardhu tetap dapat dilaksanakan secara kumpulan kecil di kediaman di saat kuarantin ini. Kerana itu, jangan jadikan isu larangan solat jemaah di masjid sebagai asas untuk meremehkan perkara yang lebih daruri dalam menjaga nyawa.




No comments:

Powered by Blogger.