Ads Top

Kekalkan Cinta Dengan Perkara Kecil Namun Berimpak

Ramai orang percaya bahawa untuk kekal releven dalam perhubungan kita mesti sentiasa memikirkan kejutan yang perlu diberi pada pasangan setiap hari – berikan hadiah yang mahal-mahal, tetapkan tempat untuk makan malam yang istimewa, tempah dewan untuk sambutan dan pelbagai lagi yang diajarkan menerusi budaya di media sosial.

Walaupun elemen seperti ini tidaklah salah, namun ini bukanlah satu-satunya cara untuk keluar daripada perangkap kebosanan dan ketakutan kita pada hilangnya perhatian dan semangat untuk meneruskan hubungan lagi.

Jika kita percayakan bahawa romantik itu mesti melaburkan wang dan masa yang banyak untuk elemen seperti disebutkan tadi semata-mata untuk hidupkan cinta – menurut saya ini tanggapan yang agak terpesong.

Saya teringat pada ulasan seorang penceramah terkenal bernama Jay Shetty. Beliau dalam satu video di Youtube ada menyebut bahawa romantik yang didendangkan oleh media massa kebanyakannya bersifat ‘event’ (majlis/peristiwa) yang mana ia lebih kepada superfisial (luaran) semata dan bersifat sementara.

Manakala kehidupan yang kita lalui dengan pasangan adalah pada setiap hari iaitu hari-hari biasa. Maka adakah pada hari biasa kita juga tidak mampu berasa sayang dan cinta?

Maka disinilah Dr John Gottman dan Janice Driver mengistilahkan hal ini sebagai ‘Bids for Connection’ (menawarkan hubungan/interaksi dua hala) yang mana apa yang dilakukan ketika hari biasa seperti bangun pagi buat sarapan, menonton filem bersama, menjahit baju, memasak, mengemas rumah, pergi ke pasar dan sebagainya masih boleh mewujudkan percikkan cinta dan mengekalkan hubungan yang berpanjangan.

Menurut Gottman, dalam kajian beliau selama lebih kurang 40 tahun beliau dapati selepas enam tahun sesebuah pasangan mendirikan rumah tangga beliau dapati 86% yang masih memberi perhatian antara satu sama lain (turn towards) masih releven dalam perhubungan, sedangkan pasangan yang hanya menunjukkan 33% perhatian antara satu sama lain kebanyakannya merana dan ada yang bercerai.

Psikologis bernama Erich Fromm pernah mengungkapkan bahawa ‘Love is an activity’ yang bermaksud ‘cinta adalah seperti aktiviti’. Kita tidak boleh berasa lega selepas berkahwin, sebab cinta sifatnya seperti otot-otot kita yang kadang kuat dan kadang lemah jika tidak dilatih.

Seperti itu juga dengan cinta, sekalipun kita bersama pasangan yang paling tepat untuk kita – jika kita masih berasa selesa dan tidak mahu usahakan apa-apa maka cinta yang asalnya meriah menjadi sendu dan boleh jadi pudar sama sekali.

Kadangkala tidak perlu pun kita susahkan diri mengarang syair atau puisi buat si dia berasa manis dan cinta, cukuplah sekadar berikan perhatian dan bersikap empati terhadap urusan seharian dia.

Bak kata Almy Alkon cukuplah dengan sekadar menunjukkan memek wajah yang perihatin, mengangguk, berkata “ouh yer?” sambil melanjutkan persoalan yang membuatkan si dia rasa dirinya diraikan.

Kalau kita lihat dari perspektif Islam sendiri pun, baginda Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang sangat empati kepada orang yang sedang baginda berkomunikasi. Ia dapat dilihat menerusi hadis ini:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَقْبَلَهُ الرَّجُلُ فَصَافَحَهُ لَا يَنْزِعُ يَدَهُ مِنْ يَدِهِ حَتَّى يَكُونَ الرَّجُلُ يَنْزِعُ وَلَا يَصْرِفُ وَجْهَهُ عَنْ وَجْهِهِ حَتَّى يَكُونَ الرَّجُلُ هُوَ الَّذِي يَصْرِفُهُ وَلَمْ يُرَ مُقَدِّمًا رُكْبَتَيْهِ بَيْنَ يَدَيْ جَلِيسٍ لَهُ

“Dari Anas bin Malik berkata: Apabila ada seseorang menemui Nabi SAW lalu berjabat tangan dengannya, baginda tidak melepaskan tangannya sehingga lelaki tadi yang melepaskannya terlebih dahulu, dan baginda tidak memalingkan wajahnya dari wajah orang yang menemuinya sehingga lelaki itu yang terlebih dahulu memalingkan wajahnya, dan baginda tidak pernah dilihat mengedepankan kedua lututnya di hadapan para sahabatnya.” (HR Tirmizi, no.2414)

Isu memberikan perhatian antara satu sama lain dalam komunikasi memang mudah untuk kita ajukan dan bahaskan namun praktikalnya memang payah. Terutama sekali jika kita dan pasangan masing-masing ketagihan telefon pintar.

Kalau 10 tahun kebelakangan kita masih tidak begitu aktif memegang telefon dan banyak melakukan aktiviti luar, sekarang mungkin semakin sukar kerana kita semua memasuki era digital yang tidak dinafi agak melesukan.

Hampir setiap jam dan minit kita dihidangkan dengan beratus informasi isu semasa sama ada politik, hiburan, sukan dan ekonomi. Malah perkara-perkara ini kadangkala memberi impak yang negatif pada perhubungan zaman kini yang sangat kompleks dengan masalah komunikasi yang semakin kurang daya tangkasnya.

Jika anda seorang yang belum memasuki mana-mana hubungan, tambahkanlah kefahaman tentang seni berkomunikasi dan jika sudah mempunyai seseorang yang istimewa, lakukan perbualan yang mendalam (deep conversation) apa yang boleh diperbaiki dan ditambah baik.

Rujukan :
This Is the Surprising Secret to Making a Marriage or Long-Term Relationship Last
The Tiny, Easy Habit That Keeps Love Alive
Turn Towards Instead of Away




No comments:

Powered by Blogger.