Ads Top

Iqtikad Di Dalam Hati Untuk Merawat Penyakit Was-Was

Was-was itu adalah sejenis penyakit. Itulah kata-kata yang sering diujarkan oleh para ulama. Mengapa? Kerana ia boleh membahayakan pemikiran dengan gangguan yang tidak sepatutnya dan boleh merosakkan hari-hari anda.

Ada seorang lelaki yang sering dilanda penyakit was-was. Suatu hari, dalam perjalanan beliau ke masjid yang sudah mencapai hampir separuh jalan, beliau berpatah semula pulang ke rumah kerana ragu-ragu sama ada pintu rumahnya sudah dikunci atau belum sedangkan beliau sudah menguncinya.

Ada seorang remaja perempuan yang sudah berwuduk dan bersiap-siap untuk menunaikan solat. Namun, beliau kembali mencuci semula alatan mekap yang dipakai dan berwuduk untuk kali kedua kerana was-was dengan wuduknya adakah sah atau tidak.

Jika anda seorang yang berhati-hati dan peka dengan keadaan, maka perbuatan itu hanya akan diulangi sekali atau pasti terbit rasa keyakinan di dalam hati anda. Namun, untuk mereka yang mengulangi perkara tersebut berkali-kali dan mengambil masa yang lama untuk meyakinkan diri sendiri tetapi akhirnya tetap berasa ragu-ragu, maka itulah yang dimaksudkan dengan was-was.

Ia merupakan fenomena yang melanda kebanyakan manusia. Ia bukan sahaja boleh menyukarkan seseorang itu dalam aktiviti hariannya bahkan, sampai satu tahap boleh menyebabkan hati tidak tenteram.

Dalam masa yang sama, ia boleh menjadi bahaya apabila mengganggu ibadah yang dilakukan terutamanya di dalam solat. Ibadah tersebut akan dilakukan dalam keadaan tidak khusyuk dan boleh mengakibatkan tidak sah.

Salah seorang sahabat yang bernama Utsman bin Abil ‘Ash pernah ditimpa penyakit was-was dan beliau telah pergi mengadu kepada Baginda SAW:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku terganggu.” Rasulullah menjawab: “Itulah yang disebut Khinzib. apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah menghilangkan gangguan itu dariku.” (Hadis Riwayat Muslim, 2203)

Adapun, ludah itu bukanlah bermaksud boleh dilakukan sesuka hati sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada keadaan sekeliling. Sebagai contoh, jika di dalam solat anda tidak mampu untuk meludah, maka bacalah ta’awwuz.

Maksud: “Cukup untuk seseorang menyebut aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam tanpa perlu meludah agar tidak mengganggu orang sekeliling yang sedang solat.” (Kitab Hassan Al-Basri, 513/36)

Al-Imam Ibnu Hajar Al-Haitami RA menukilkan perkataan Sultan al-Ulama’ al-Izz bin Abd al-Salam yang menyebut bahawa ubat bagi penyakit was-was ini adalah yakin dan beriktiqad dengan perkara yang dilakukan.

دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ، وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ

Maksud: “Ubat bagi penyakit was-was ini adalah dengan beriktikad bahawa ia adalah godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa was-was, maka dia akan menghindarinya.” (Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, Al-Maktabah Al-Islamiyyah, 1/150)

Mengapa penyakit was-was boleh terjadi kepada seseorang sehingga mengganggu fikiran dan kehidupannya? Ia merupakan salah satu senjata daripada iblis untuk mengganggu ibadah dan aktiviti harian anak-anak Adam.

Menurut penerangan yang diberikan oleh Dr Maza juga, penyakit was-was ini boleh berlaku apabila ketetapan hati tidak cukup tetap sehingga ia boleh membolak-balikkan hati.

Yang paling penting ialah percaya dan yakin kepada ketatapan hati atas setiap perkara yang dilakukan. Jangan dilayan akan perasaan tersebut kerana semakin dilayan, ia akan semakin menjadi-jadi.




No comments:

Powered by Blogger.