Jika Mampu, Berjalanlah Kaki Ke Masjid
Kalau ke masjid, anda lebih suka berjalan kaki atau menaiki kenderaan? Jika cuaca baik atau masjid tidak terlalu jauh, pasti anda akan lebih gemar untuk berjalan. Ia juga bagi mengelakkan kesesakan dan kesukaran untuk mendapatkan tempat parkir.
Terdapat beberapa dalil dan periwayatan yang menyebutkan bahawa Baginda sentiasa berjalan kaki menuju ke masjid. Satu langkah anda berjalan, maka dicatatnya pahala yang besar kerana waktu itu manusia sedang berjalan menuju Allah.
Jika tiada kekangan, keuzuran atau masalah lain, ikutilah sunnah dengan berjalan kaki menuju masjid. Imam Nawawi menjelaskan melalui kitabnya, langkah-langkah menuju ke masjid itu akan dicatatkan pahala dan ditinggikan darjatnya.
Bahkan, pada zaman Baginda SAW dahulu, para sahabat sengaja mengambil jalan yang jauh untuk menuju ke masjid agar langkah dan pahalanya menjadi banyak.
Maksud: “Barangsiapa bersuci di rumahnya kemudian berjalan ke salah satu rumah Allah (masjid) untuk melaksanakan kewajipan yang Allah tetapkan, maka kedua langkahnya, iaitu satu darinya menghapus kesalahan (dosa) dan satu lagi meninggikan darjatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 666)
Walau bagaimanapun, sekiranya anda terlambat dan bimbang tidak sempat bersama imam, jangan berjalan dengan terges-gesa dan tergopoh-gapah kerana ia boleh mengganggu kekhusyukan di dalam solat yang bakal ditunaikan nanti.
Adapun, berjalanlah dengan penuh tenang agar solat yang bakal ditunaikan dapat disempurnakan dengan baik. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat dan (rakaat yang tertinggal itu), maka sempurnakanlah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 908)
Walau bagaimanapun, jika cuaca agar terik, rumah anda yang terlalu jauh dengan masjid, keadaan kesihatan yang menyebabkan anda sukar untuk berjalan atau punya kekangan masa disebabkan kerja dan sebagainya sehingga membebankan, maka janganlah memaksa diri anda untuk berjalan kaki ke masjid.
Hal-hal sebegini boleh mengganggu kekhusyukan di dalam solat. Justeru, lebih baik untuk hadir ke masjid dengan menaiki kenderaan berbanding berjalan kaki.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Muslim.or.id
No comments: