Ads Top

Hikmah Diberikan Mahar Kepada Wanita

Mahar secara bahasanya bermaksud mas kahwin. Ia merupakan hadiah yang diserahkan suami kepada isterinya apabila berlaku akad nikah. Ia dilakukan atas kerelaan kedua-dua belah pihak, iaitu suami dan juga isteri.

Adapun, mas kahwin hukumnya adalah wajib diberikan ke atas suami sama ada dengan nilai yang rendah atau tinggi. Ia adalah hak si isteri. Jadi, suami atau keluarganya tidak berhak untuk mengambil mas kahwin tersebut melainkan jika diizinkan isteri.

Pada zaman Baginda SAW, ada di kalangan para sahabat yang memberikan cincin besi sebagai mas kahwin dan ada juga yang menjadikan hafalan Al-Quran sebagai mahar. Ia adalah dibolehkan selagi mana si isteri itu berpuas hati dan bersetuju ke atas mahar yang bakal diterimanya.

Penetapan mas kahwin dalam perkahwinan mempunyai pelbagai hikmah yang tersendiri. Antaranya ialah;

#1 – Sebagai Pemberian Hadiah

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Mafhum: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian, jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya.” (Surah An-Nisa, 4:4)

#2 – Tanggungjawab Ke Atas Lelaki

Mas kahwin merupakan pembayaran yang bersifat simbolik ke atas perkahwinan yang dijalankan. Ia merupakan tanggungjawab ke atas lelaki yang perlu disempurnakan ke atas perempuan yang ingin dijadikan isterinya.

#3 – Simbol Persetujuan dan Kerelaan

Ia merupakan simbolik kepada hadiah yang diberikan ke atas isteri. Isteri dan suami perlu bersetuju ke atas nilai yang ingin diberikan. Oleh itu, ia merupakan simbolik kepada persetujuan bersama sebelum menghadapi alam rumah tangga dan mengambil pelbagai lagi keputusan bersama.

#4 – Menandakan Lelaki Itu Serius

Jika seseorang lelaki itu serius untuk menjadikan si perempuan itu sebagai isteri, maka dia akan berusaha sedaya upaya untuk menunaikan nilai mas kahwin yang diminta.

Kesimpulan

Mas kahwin yang paling baik dan berkat adalah yang paling sesuai nilainya dan tidak membebankan untuk dipenuhi. Tujuan utamanya ialah untuk memberikan hadiah kepada isteri terhadap pernikahan tersebut.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.