Ads Top

Bolehkah Membela Kucing Yang Tidak Diketahui Pemiliknya

Al-Luqatah merupakan sesuatu barang atau harta yang bernilai di sisi syarak, dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik dan tidak mengetahui hak miliknya. (Fikh Al-Manhaji Ala Mazhab Imam Syafi’e, 7/69)

Ia terbahagi kepada dua, iaitu harta luqatah selain daripada haiwan dan harta luqatah daripada jenis haiwan. Untuk entri kali ini, Tzkrh akan menghuraikan sedikit sebanyak mengenai harta al-luqatah (haiwan).

Syeikh Mustafa Bugha menjelaskan bahawa – Ia terbahagi kepada haiwan yang boleh menguruskan dirinya sendiri seperti lembu dan haiwan yang tidak dapat menguruskan dirinya seperti anak lembu.

Jika anda terjumpa seekor anak kucing yang sedang mengiau dan berada dalam kelaparan atau mungkin juga kakinya sedikit terluka, maka bolehkah anda mengambilnya untuk dijadikan haiwan peliharaan sendiri dan merawat sakitnya tersebut?

Dalam hal ini, jumhur ulama telah menjelaskan beberapa situasi yang membenarkan dan tidak membenarkan haiwan tersebut diambil.

مَنْ وَجَدَ دَابَّةً قَدْ عَجَزَ عَنْهَا أَهْلُهَا أَنْ يَعْلِفُوهَا فَسَيَّبُوهَا فَأَخَذَهَا فَأَحْيَاهَا فَهِيَ لَهُ

Maksud: “Sesiapa yang menjumpai seekor haiwan yang mana pemiliknya tidak mampu menjaganya dan membiarkan ia, maka boleh untuk dia mengambilnya dan menjaganya. Maka, haiwan tersebut akan menjadi miliknya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, no. 3524)

#1 – Jika anda menjumpai haiwan peliharaan yang besar dan boleh menjaga dirinya sendiri (diyakini empunya seseorang), maka tidak boleh membelanya.

Seperti lembu atau kambing yang dijumpai tersesat di hutan, anda boleh mengambilnya untuk membantunya mencari jalan keluar. Kemudian, perlu mengiklankan atau menghebahkannya di mana-mana tempat seperti media sosial atau tempat awam agar pemiliknya menemukannya dan sedar bahawa ia sedang berada dengan anda.

#2 – Jika anda menjumpai anak kucing atau anak kambing (diyakini milik orang), maka situasinya juga sama dengan perihal pertama di atas.

Namun, disebabkan ia masih kecil dan tidak boleh menjaga dirinya sendiri, maka anda boleh menjaganya sementara pemiliknya menghubungi anda. Namun, jika sudah terlalu lama dan diyakini bahawa haiwan tersebut tidak bertuan, maka anda boleh terus memeliharanya.

#3 – Jika anda menjumpai haiwan yang diyakini tidak bertuan seperti kucing di jalanan atau lembu yang berada di kawasan yang memang tidak terdapat penjaga lembu dan kandang lembu, maka dibolehkan untuk diambil dan dipelihara.

Tuntasnya, jika anda menjumpai haiwan yang diyakini bertuan, terlebih dahulu iklankanlah ia di mana-mana tempat yang mudah untuk dijumpai seperti media sosial atau membuat pengumuman di tempat awam seperti masjid dan pasar.

Haiwan yang dipelihara juga merupakan hak manusia. Oleh itu, tidak boleh sesuka hati mengambilnya kerana ia ibarat anda mengambil duit yang tercicir di jalanan sedangkan ia adalah milik orang lain.

Wallahu a’alam.

Baca juga:
Al-Luqatah Terhadap Harta

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.