Ads Top

Azan Ditukar – Bagaimana Menjawab Lafaz ‘Sollu Fi Buyutikum’

Terkini, menurut data yang telah dikeluarkan oleh Universiti Johns Hopkins, lebih 300 000 orang telah dijangkiti COVID-19 dan telah mengorbankan sebanyak 12 944 nyawa.

Pelbagai usaha yang telah diambil oleh seluruh negara bagi menangani penularan wabak ini. Malaysia sendiri telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengeluarkan Perintah Kawalan Berkurung dan menyebarkan berita terkini untuk diambil perhatian.

Baru-baru ini juga, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memutuskan bahawa kaedah azan di Wilayah persekutuan diubah sedikit, iaitu menggantikan lafaz hayya ‘alassolah dengan Sollu fi buyutikum, iaitu solatlah di rumah kamu.

Walau bagaimanapun, bagaimana dengan jawapan azan yang disunatkan untuk dibaca? Apabila berlakunya perubahan kepada azan yang dilaungkan, adakah juga berlaku perubahan pada jawapan azan?

Berdasarkan penerangan yang telah diberikan oleh Dr Zulkifli Al-Bakri melalui laman Twitter beliau, para ulama telah mengqiaskan ia dengan mengatakan bahawa sunat menjawab dengan la haulawala quwaata illa billah. Ia adalah berdasarkan pendapat Imam al-Isnawi melalui al-Muhimmat. (Fath al-Wahhab, 1/41)

Oleh itu, jawapan kepada laungan azan tersebut masih sama dan tiada perubahan walaupun azan tersebut telah diubah sedikit berikutan untuk mengelakkan wabak daripada terjangkiti.

Peristiwa laungan azan agar solat dilakukan di rumah bukan perkara yang asing kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi SAW. Jadi, ia adalah sunnah yang perlu dipatuhi apabila ditimpa sesuatu musibah yang boleh menyukarkan seseorang itu ke masjid ada yang memberi kemudaratan kepada sekeliling.

Daripada Usamah bin ‘Umar RA berkata: “Pada hari peperangan Hunaian, telah berlaku hujan yang teramat lebat. Maka, Nabi SAW mengarahkan muazzin untuk melaungkan – ‘Solatlah di rumah.'” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1057)




No comments:

Powered by Blogger.