Adab Minum Menggunakan Tangan Kiri Jika Tangan Kanan Kotor
Mengutamakan bahagian kanan adalah perbuatan sunnah dalam Islam khususnya apabila melakukan hal-hal yang dikira mulia, yang baik atau ibadah contohnya ketika makan, memakai baju, memegang barang, masuk ke masjid dan sebagainya.
Daripada ‘Aisyah R.Anha berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW membiasakan diri mendahulukan yang kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya. (Sahih Bukhari, no.168)
Manakala dalam sesetengah perkara seperti keluar dan masuk rumah – kaki kanan didahulukan untuk masuk kerana rumah adalah tempat yang mulia seseorang itu tiggal dan berlindung. Sedangkan apabila keluar didahulukan kaki kiri kerana jalanan tarafnya lebih rendah berbanding rumah. Begitu juga dengan tandas, didahulukan kaki kiri kerana ia adalah tempat yang kotor, sedangkan apabila keluar perlu didahulukan kaki kanan.
Begitulah secara asasnya saranan mendahulukan anggota yang kanan apabila melakukan sesuatu. Namun, dalam artikel kali ini, perbuatan yang ingin difokuskan adalah adab ketika makan.
Jumhur ulama mengatakan bahawa sunat menggunakan tangan kanan ketika makan manakala makruh menggunakan tangan kiri.
Tidak ada masalah jika hidangan hanya memerlukan satu alatan kutleri sahaja untuk makan contohnya sup atau spageti. Namun jika hidangan perlu menggunakan dua jenis alatan seperti garfu dan pisau ketika makan, maka biasakanlah diri menggunakan tangan kanan untuk menyuap.
Nabi SAW berpesan kepada Umar bin Abi Salamah RA:
يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
Maksudnya: Wahai anakku, makanlah dengan menyebut nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang dekat dengan kamu. (Sahih Bukhari, no.5376)
Hukum makan dan minum menggunakan tangan kiri hanyalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram. Cuma ia ditekankan sebagai adab serta sunnah Rasulullah SAW yang sangat wajar untuk diikuti.
Pada suatu ketika, Nabi pernah menegur seorang lelaki yang makan menggunakan tangan kiri, namun dia beralasan dengan menjawab tidak mampu.
“Ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya. Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘Makanlah dengan tangan kananmu!’ Dia menjawab, ‘Aku tidak mampu’. Baginda bersabda, semoga kamu benar-benar tidak mampu melakukannya…’
(Sahih Muslim, no. 2021)
Rasulullah SAW berkata begitu kerana mengetahui bahawa lelaki tersebut hanya memberi alasan kerana sikap sombong sahaja.
Bolehkah menggunakan kedua-dua belah tangan ketika minum?
Dalam kitab Al-Majmu’, Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa dibenarkan untuk menggunakan kedua-dua tangan untuk memegang minum kerana hal ini juga pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Namun jika tangan kanan kotor, seseorang boleh menggunakan tangan kiri untuk minum dengan cara – tangan kiri memegang gelas manakala belakang tangan kanan (kura tangan) digunakan menopang gelas tersebut.
Islam bukan hanya mementingkan hukum atau ibadah semata-mata, malah hal-hal yang berkait rapat dengan etika dan adab dalam kehidupan seharian. Tambahan pula perbuatan mendahulukan anggota yang kanan adalah sunnah yang mana akan mendatangkan pahala jika dilakukan.
No comments: