Sunnah Rasulullah Adalah Makan Berjemaah
Entri kali ini, kami tertarik untuk mengulas mengenai isu yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini, iaitu orang yang makan bersendirian dianggap sunyi dan tiada teman. Dalam isu ini, kebanyakan orang akan memberi komen bahawa tidak semestinya berseorangan itu dianggap sebagai sunyi.
Masing-masing mempunyai kehidupan yang ingin dilalui dengan caranya sendiri. Adakala, mereka memerlukan masa untuk bersendiri dan adakalanya kita memerlukan masa untuk bersosial dengan kawan-kawan dan juga sahabat handai.
Walau bagaimanapun, bukan isu bersendirian atau bersosial yang ingin ditekankan dalam entri kali ini, namun untuk membawa para pembaca melihat sejenak adab makan yang diajar oleh Baginda SAW sama ada makan bersendirian atau makan berjemaah yang lebih baik.
Sewaktu menjalani kem-kem ibadah di sekolah, kebanyakannya akan menyediakan makanan dalam talam dan pelajar diwajibkan untuk makan secara berjemaah. Bahkan, sehingga ke hari ini konsep seperti ini masih lagi diamalkan.
Salah satu asbabnya ialah kerana sunnah yang ditinggalkan oleh Baginda SAW. Namun, ada juga yang menyebut bahawa amalan tersebut tidak wajar diamalkan kerana boleh mengundang kepada masalah lain seperti kebersihan yang tidak terjaga dan sebagainya.
Dari Anas bin Malik RA, ketika Nabi SAW berjalan menuju kamar Safiyyah, aku mengundang kaum muslimin untuk menghadiri acara walimah pernikahan Baginda dengan dengan Safiyyah. Baginda kemudian memerintahkan untuk membentangkan alas daripada kulit. Di atasnya dituangkan kurma, keju dan lemak.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda SAW sentiasa menekankan mengenai kebersihan dan adab sebelum, semasa serta selepas makan. Justeru, makan di dalam talam atau secara berjemaah bukanlah perkara yang perlu dielakkan kerana tiada masalah mengenai kebersihan.
Baginda juga sentiasa menganjurkan para sahabat untuk makan berjemaah (walaupun bukan dalam talam) kerana di sinilah masing-masing dapat mengeratkan ukhwah dan ikatan tali persaudaraan.
Dari Wahsyi bin Harb berkata: “Sesungguhnya para sahabat Rasulullah SAW pernah mengadu: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan, namun tidak merasa kenyang.” Nabi bersabda: “Adakah kalian makan berseorangan?” Para sahabat menjawab: “Betul.” Nabi kemudian menjawab lagi: “Makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah sebelumnya, tentu makanan tersebut akan diberkati.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 3764)
Makan secara berjemaah sekali gus boleh menambahkan lagi keberkatan terhadap makanan tersebut. Menurut jumhur ulama lagi seperti Ibnu Utsaimin menyebut, makan beramai-ramai boleh mendatangkan rasa nikmat terhadap makanan tersebut dan membuatkan ia cukup.
Kesimpulan
Sebenarnya, tiada masalah untuk makan secara berseorangan atau makan berjemaah. Namun, jangan pula dikecam dan ditularkan golongan ini dengan komen-komen yang negatif. Dalam masa yang sama, elakkan diri daripada menghina sunnah Baginda ini.
No comments: