Ads Top

Penyelidikan Islam Turut Diketengahkan Dalam Malaysia Technology Expo 2020

Malaysia Technology Expo (MTE) bermula sejak tahun 2001. Ia telah menjadi platform tahunan bagi para pencipta, pereka dan pelopor untuk mengetengahkan kajian dan ciptaan masing-masing untuk tatapan umum.

Pihak Tzkrh berpeluang untuk berkunjung ke pameran ini yang bertempat di Putra World Trade Centre (PWTC) semalam bagi melihat sendiri hasil kreativiti para pencipta.

Antara reruai yang sempat dikunjungi ialah reruai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan juga University College Sedaya International (UCSI).

Aplikasi Pendidikan Mudah Alih (Global Zakat Game) oleh USIM

Aplikasi papan permainan mudah alih (boardgame) berasaskan zakat ini telah dibangunkan oleh pihak Global Zakat Game dengan kerjasama USIM. Ia bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat berkaitan topik zakat secara umum dan zakat pendapatan secara khusus, dalam masa sama dapat membantu pengguna untuk meningkatkan kemahiran pengiraan zakat.

Ia baru sahaja dilancarkan pada September 2019 lalu dan masih dalam fasa awal pembangunan. Anda boleh membayangkannya seperti permainan Monopoly dan para pengguna boleh memilih sama ada untuk bermain secara berseorangan atau secara berpasangan (dua pemain).

Permainan ini boleh dijadikan bahan bantu mengajar bagi guru-guru di sekolah dan juga cara mudah untuk ibu bapa memperkenalkan kepada anak-anak tentang kewajipan zakat dalam Islam.

Ablution H20 Saver Visual Booster oleh Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Rekaan kedua ini pula menfokuskan kepada usaha untuk mengurangkan penggunaan air ketika wuduk. Sesetengah orang biasa menggunakan air terlalu banyak tidak sesuai dengan kadar yang diperlukan ketika berwuduk.

Justeru, konsep yang diketengahkan adalah penggunaan penanda yang boleh dilekatkan kepada pili air tempat mengambil wuduk, yang boleh menentukan kadar putaran kepala pili sekaligus dapat mengurangkan kadar air yang digunakan pada satu-satu masa.

Blockchain & IOT Powered Halal Logistics Management System oleh University College Sedaya International (UCSI)

Kajian ketiga ini pula mengetengahkan penggunaan teknologi Blockchain dalam aktiviti logistik.

Prof Dr Noorsiah Ahmad, ketua bagi projek ini menerangkan bahawa aktiviti logistik di Malaysia kurang menekankan tentang aspek kesucian dalam penggunaan kenderaan kontena yang membawa barang mentah. Walhal, Islam bukan hanya menekankan tentang konsep halal dan suci bagi sumber makanan malah aspek lain iaitu persekitaran termasuklah kenderaan pengangkutan yang membawanya.

Sistem ini mampu mengenal pasti rekod pergerakan kenderaan kontena yang digunakan untuk membawa barang mentah dan juga proses penyucian yang perlu dilalui oleh kenderaan ini yang dipanggil ‘sertu’.

Masih banyak kajian dan ciptaan menarik yang dipamerkan di pameran ini hasil penyelidikan pelbagai pihak daripada peringkat sekolah, institusi, universiti, pereka cipta persendirian, organisasi kerajaan mahupun swasta. Kita memerlukan lebih banyak juga penyelidikan Islam yang mampu mengisi kekosongan serta keperluan hidup seorang Muslim yang semakin berubah mengikut peredaran zaman.




No comments:

Powered by Blogger.