Narsistik Dalam Kalangan Milennial – Kesan Kemajuan Teknologi Atau Gaya Hidup?
“Saya kaya dan berjaya!” “Saya sayang diri saya!”
Ini adalah antara slogan mantra yang biasa didengar sejak sekolah lagi. Apabila kita menyertai program motivasi, selalunya penceramah akan menggalakkan pelajar-pelajar atau ahli program untuk melontarkan kata-kata semangat pada diri sendiri bagi meningkatkan keyakinan diri pada masa akan datang.
Benar, keyakinan diri itu penting untuk seseorang mengejar matlamat hidup. Namun, apabila ditekankan secara berlebihan, ia boleh menyebabkan kesejahteraan hidup terjejas akibat dibanjiri nilai positif sehingga boleh menggelincirkan seseorang ke dalam tingkah laku narsistik.
Meminjam istilah psikologi dari Dr Alizi Alias melalui laman Facebook, ia adalah budaya inflated self-esteem, iaitu terlalu menggunakan psikologi dan minda masyarakat yang positif kepada toksik. Inilah yang boleh membawa kepada masalah narsistik – tidak boleh di kritik, merasa terancam apabila berbeza pendapat, kekurangan daya insaf dan tiada muhasabah diri dalam setiap keputusan.
Sedangkan, Islam telah menganjurkan umatnya untuk muhasabah dan refleksi diri bagi menilai semula setiap tindak-tanduk hidup. Adakah ia selaras dengan jalan keredhaan Allah dan RasulNya atau bertentangan? Ini terbukti melalui sebuah hadis berkenaan nasihat yang diriwayatkan daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dariy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ. قلنا: لمن؟ قال: «لله, ولكتابه, ولرسوله, لأئمة المسلمين وعامتهم
Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat.” Kami bertanya: “Kerana siapa?” Sabda Baginda: “Bagi Allah, KitabNya, RasulNya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 55)
Menerusinya, tiada sesiapa pun yang terlepas daripada dinasihati sama ada beliau ialah orang yang berpangkat tinggi atau sekadar pekerja biasa. Ini membuktikan bahawa keyakinan diri, motivasi dan kendiri tidak perlu dilakukan secara berlebih-lebihan kerana dikhuatiri nasihat dan teguran itu menjadi suatu yang tidak bernilai dalam kehidupan.
Gerakan self-esteem yang dibawa oleh beberapa ikon barat juga telah mula mempengaruhi sedikit sebanyak ucapan oleh penceramah bebas. Ia memberi kesan yang membimbangkan jika perkara ini menjadi kebiasaan kerana akan menyebabkan lahirnya generasi baharu yang membina empayar organisasi yang berbentuk perniagaan atau komuniti sosial. Mereka cenderung untuk menjadi taksub atau lebih teruk seakan-akan kultus kepada ketua mereka.
Media sosial sebelum ini juga pernah heboh dengan pemikiran sebegini. Penceramah bisnes motivasi tetapi menyampaikan ajaran NAM atau secara istilah New Age Movement yang mana intipati kepada pemikiran ini ialah campur aduk dari ajaran buddha dan semangat agama-agama lain untuk meditasi.
Ia kononnya boleh membawa peserta menjadi lebih tenang dalam hidup. Sedangkan unsur yang dibawa boleh mengundang kepada kesesatan akidah dan juga menjatuhkan nilai kesejahteraan psikologi.
Apabila unsur sebegini mendapat perhatian dan kritikan oleh pegawai syariah, penceramah tersebut seakan-akan membuat helah kononnya ada kumpulan lain yang ingin menjatuhkan reputasi diri dan organisasinya.
Walhal, nasihat telah diberikan dengan lebih awal, tetapi mereka tidak ingin memperbaiki kesilapan-kesilapan tersebut. Ia hanyalah sebagai contoh kesan dari budaya positif toksik yang melampau hingga tidak boleh dinasihati sedikit pun.
Apa Itu Narsistik?
Narsisisme (Narcissism) berasal dari satu mitos pada zaman Greek purba. Ada seorang lelaki yang bernama Narcissus, seorang belia yang tampan dan digilai oleh seorang bidadari Echo. Namun cinta si Echo ditolak mentah-mentah oleh Narcissus, akibatnya Narcissus disumpah dan beliau terpesona dengan wajahnya sendiri yang direflesi dari kolam air. Kekaguman dengan imej sendiri menyebabkan Narcissus mati kelemasan.
Mengikut definisi Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula, narsisisme adalah suatu penyakit jiwa yang menyebabkan seseorang itu memuja dirinya sendiri dan memberi perhatian berlebihan terhadap kesempurnaan dirinya. Individu yang memiliki sifat ini dikatakan sebagai seorang yang narsistik.
Dari kamus psikiatri pula, tingkah laku narsistik boleh menjadi satu penyakit sebagaimana ada dibincangkan secara mendalam dalam buku DSM-5 yang menjadi rujukan oleh pengamal kesihatan mental sedunia.
Istilah klinikalnya ialah Narcissistic Personality Disorder, suatu corak personaliti yang bermula semenjak remaja dan berpaksikan pada ciri-ciri agar dirinya dianggap istimewa, layak mendapat layanan istimewa, inginkan pujaan yang melambung serta tidak mahu menyelami perasaan orang lain.
Dalam jangka masa yang panjang, personaliti ini akan memberi kesan merudum dalam aspek pekerjaan, peribadi atau hubungan sosial. Orang sekelilingnya akan kemurungan akibat lemas dengan permintaan-permintaan yang berlebihan. Pasangan, ahli keluarga, rakan sejawat dan lain-lain akan terkesan dengan mental yang burnout.
Kajian ini berterusan sehinggalah ada sebuah kertas kajian yang ditulis oleh Pincus dan Lukowitsky (2009) yang mengatakan bahawa ia semakin sukar untuk dikesan kerana telah menjalar pada ramai orang. Antara ciri klinikal seseorang yang berpesonaliti narsistik ialah:
#1 – Sering mengharapkan kalungan pujian seperti mahu ‘diangkat’ untuk segenap perkara yang dilakukannya.
#2 – Sentiasa merasakan dirinya berada pada kedudukan tinggi atau lebih dari kebanyakan orang.
#3 – Setiap keputusan yang diambil dan difikirkannya adalah betul, malah orang lain perlu menurut kemahuannya.
#4 – Mudah marah jika keperluannya tidak dipenuhi.
#5 – Kurangnya sifat empati.
#6 – Cenderung untuk mengambil kesempatan ke atas orang lain.
#7 – Sukar memahami keperluan, kehendak dan situasi orang lain.
#8 – Mudah memandang rendah terhadap orang lain
#9 – Mudah bersifat cemburu dan dengki atas kejayaan orang lain.
Zombi Narsistik & Pembangunan Teknologi
Dr Zul Azlin Razali, pakar psikiatri USIM dalam bukunya yang bertajuk ‘Depresi Terpuruk Rasa Ingin Mati’ ada membawakan satu topik bertajuk “Hulurkan Tongkat Narsismu.” Ia merungkai dari pelbagai sudut mengapa wabak narsistik ini boleh menjalar kepada semua pelosok masyarakat. Salah satu isi penting penulis ingin tekankan ialah faktor media sosial.
Jika diperhatikan, syarikat-syarikat telefon pintar semakin berpusu-pusu mengeluarkan model terbaru mereka. Paling signifikan dengan topik narsistik ialah model telefon pintar yang semakin banyak kamera di bahagian belakang dan depan.
Mengapa ia berlaku? Jawapannya adalah permintaan pelanggan. Rata-rata pasti setuju bahawa pembelian telefon bimbit baru adalah dinilai berdasarkan aras kehebatan kamera yang dibekalkan.
Sebagaimana kata Dr Zul, gejala swafoto adalah produk sampingan yang tergolek keluar selepas terciptanya telefon pintar yang semakin pintar. Ini adalah termasuk evolusi media sosial lain seperti instagram. Perkongsian gambar yang sangat mudah menatijahkan kelakuan mengekspreskan diri kepada tatapan umum yang tidak pernah dilakukan oleh peradaban manusia sebelum ini.
Kajian di Poland menunjukkan lelaki yang kerap memuat naik gambar selfie di laman sosial seperti Instagram mempunyai markah yang tinggi dalam skala Narcissistic Personality Inventory (Sorokowski dan Sorokowska 2015). Secara umumnya, lebih banyak bilangan gambar dalam kategori selfie atau lebih kerap gambar-gambar tersebut disunting, lebih tinggi kebarangkalian narcissisme.
Ia merupakan sebuah penemuan menarik hasil tinjauan Jesse Fox dan Margaret Rooney pada 2015 ke atas responden dalam talian yang berumur antara 18 hingga 40 tahun.
Jadi, budaya hidup kini telah menjadi penyebab kepada mengapa wabak narsistik bertaburan sehingga ia tidak lagi menjadi penyakit istimewa. Jika pada zaman generasi Baby Boomer (1944-1964), kemalaran narsistik tidak begitu menular.
Kini generasi millennial (1981) dari pentas ceramah motivasi semenjak bangku sekolah sehinggalah sudah berkahwin, memegang telefon pintar berkamera hadapan telah menyemarakkan lagi budaya narsistik tanpa disedari.
Penulis tidak menghukum orang yang berswafoto semestinya narsistik, tetapi yang dikatakan ini adalah mereka yang tergolong dalam kalangan ketagihan swafoto. Dr Rusdi Abd Rashid, seorang Pakar Perunding Psikiatri UM ada mengulas mengenai ketagihan swafoto.
Maka, sokongan dari golongan yang berpengaruh seperti penceramah motivasi sehinggalah pengiklan telefon pintar paling hebat fungsi kameranya, sehinggalah ibu bapa yang sentiasa memaksa anak-anak untuk mengumpul trofi kejayaan berbanding menanam nilai kemanusiaan.
Semua aspek yang tidak sihat ini telah menyuburkan lagi budaya narsistik dalam kalangan masyarakat. Seperti zombie, gigit satu leher, maka beratus ribu leher lagi akan digigit seperti filem World War Z (2014).
Pendidikan, Menjadi Manusia Atau Hamba Trofi
Untuk menentang pembangunan teknologi semestinya bukanlah langkah yang waras, namun kita mesti bijak untuk mengendalikan masalah ini dari peringkat yang paling asas iaitu bermula zaman kanak-kanak. Pendidikan awal jika dilakukan dengan salah boleh menjadi kunci kepada masalah narsistik.
Jika kita tidak mahu melahirkan seorang anak yang angkuh dan memanipulasi orang lain, maka mereka perlu dididik supaya menanam nilai-nilai murni contohnya membantu orang yang dalam kesusahan serta berkongsi rezeki.
Selain itu, berusahalah memahamkan anak-anak bahawa perlunya membezakan antara tindakan menghormati hak diri sendiri dan mengambil kesempatan terhadap orang lain demi meraih kejayaan peribadi semata-mata.
Rujukan:
1. Dr Alizi Alias
2. Depresi Terpuruk Rasa Ingin Mati, Zul Azlin Razali, Dubook Press 2018
3. Narcissim and Narcissistic Personality Disorder
4. Psychology Today
5. Astro Awani
No comments: