Ads Top

Menjadi Manusia Yang Bahagia Dengan Memberi Manfaat Kepada Sekeliling

Menjadi manusia yang memberi manfaat kepada saudaranya dan orang sekeliling ialah manusia yang paling bahagia.

Memberi manfaat kepada manusia itu boleh datang dalam pelbagai cara sama ada mengajarkan ilmu yang baik, membantu kawan yang dalam kesusahan dan memberi sedekah kepada mereka yang memerlukan.

Bahkan, terdapat beberapa hadis yang membicarakan mengenai hebatnya orang yang mampu memberi manfaat kepada orang lain kerana mereka secara tidak langsung telah membahagiakan orang sekeliling mereka dan dalam masa yang sama mereka telah menyempurnakan hak sebagai saudara semuslim.

Jika anda melihat situasi seorang ibu yang memasak kepada anak-anaknya. Beliau akan merasa gembira dan mengukir senyum saat melihat anaknya keriangan dengan rezeki yang ada. Bahkan, jika ditanya, pasti mereka akan menjawab – “Melihat anak-anakku kenyang, pasti membuatkan aku turut merasa kenyang.”

Itulah erti kebahagiaan yang sebenar. Orang yang banyak memberi sebenarnya lebih gembira dan tenang hatinya berbanding dengan mereka yang kurang memberi.

Mengapa? Jika difikir secara logik, orang yang banyak mengeluarkan harta pasti harta mereka akan berkurang. Jadi, bagaimana mereka boleh berbahagia?

Itulah rahsia tuhan dan nikmat yang Allah hadirkan kepada hambaNya yang yakin dengan rezeki yang dikurniakanNya. Rasa itu hanya dapat dirasai oleh mereka yang sentiasa berlapang dada dan berusaha untuk menjadi mukmin yang kaya di akhirat.

Bagaimana untuk menjadi manusia yang bahagia dengan memberi manfaat kepada orang lain? Ini ialah antara cara yang telah Baginda tinggalkan kepada kita;

أحبُّ الناسِ إلى اللهِ تعالى أنفعُهم للناسِ وأحبُّ الأعمالِ إلى اللهِ عزَّ وجلَّ سرورٌ يُدخلُه على مسلمٍ أو يكشفُ عنه كُربةً أو يقضي عنه دَينًا أو يطردُ عنه جوعًا ولأن أمشيَ مع أخٍ في حاجةٍ أحبُّ إليَّ من أن أعتكفَ في هذا المسجدِ ( يعني مسجدَ المدينةِ ) شهرًا ومن كفَّ غضبَه ستر اللهُ عورتَه ومن كظم غيظَه ولو شاء أن يمضيَه أمضاه ملأ اللهُ قلبَه رجاءَ يومِ القيامةِ ومن مشى مع أخيه في حاجةٍ حتى تتهيأَ له أثبت اللهُ قدمَه يومَ تزولُ الأقدامُ

Maksud: “Manusia yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya atau engkau membayarkan hutangnya atau engkau hilangkan kelaparannya.

Dan aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi keinginannya itu lebih Aku cintai daripada beriktikaf di masjid Nabawi selama sebulan lamanya. Dan siapa yang menahan amarahnya maka Allah akan menutupi auratnya. Barangsiapa yang menahan marahnya padahal ia boleh melemparkannya, maka Allah akan penuhi hatinya dengan keredaan di hari kiamat. Dan barangsiapa yang berjalan bersama saudaranya sampai ia memenuhi keinginannya maka Allah akan mengukuhkan kedua kakinya pada hari banyaknya kaki yang terpeleset ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat At-Thabarani, 6/139)

Daripada hadis di atas, kita dapat lihat beberapa amalan yang boleh diamalkan untuk menjadi muslim terbaik, iaitu;

#1 – Menolong membayarkan hutang saudaranya

#2 – Menolong menghilangkan kelaparannya

#3 – Menahan kemarahan

#4 – Menyenangkan hati saudaramu

#5 – Memberi makan orang yang kelaparan

Kesimpulan

Tuntasnya, ayuhlah kita sama-sama berusaha menjadi muslim yang diredai Allah dengan dikurniakan ganjaran kebahagiaan dan ketenangan di dunia dengan berbuat baik serta memberi manfaat kepada manusia. Walau ia kelihatan kecil di mata manusia, namun nilai dan ganjarannya adalah besar di sisi Allah.




No comments:

Powered by Blogger.