Guru Yang Mendidik Atau Ibu Bapa Yang Melindungi?
Profesion perguruan tidak pernah lekang daripada cabaran. Seiring peredaran zaman, pasti ada sahaja masalah yang melanda. Namun, cabaran dan cubaan inilah yang menjadikan martabat seorang guru itu lebih tinggi.
Imam Syafi’e seorang ulama yang mempunyai ketinggian ilmu dan adab. Diriwayatkan beliau sangat menghormati orang yang mengajarkannya ilmu sehingga tidak ingin mengganggu waktu gurunya menelaah ilmu.
Kefahaman ilmu yang didapatinya mampu menjadikan beliau seorang ulama agung sehingga ke hari ini adalah berkat daripada adabnya terhadap guru.
Semalam tular di media sosial berkenaan video seorang ibu yang menyerang guru kepada anaknya – mengarah beliau melakukan denda yang sama yang telah dihukumkan kepada anaknya.
Mengikut penjelasan yang telah diberikan, anaknya telah mengadu sakit pada bahagian luka yang melecet di kakinya. Anaknya menjelaskan bahawa guru tersebut telah menghukumnya dengan hukuman yang tidak masuk akal.
Video berdurasi lebih dua minit itu telah tular dan mendapat tontonan lebih 6000 warga net dan pelbagai komen dilontarkan sama ada tidak bersetuju dengan tindakan tersebut tidak kurang juga yang menyokong.
Ia telah mendapat perhatian semua orang termasuk bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek. Beliau turut mengulas bahawa tindakan tersebut adalah tidak wajar.
Dalam menempuh arus yang penuh mencabar, perkara seperti ini telah banyak berlaku. Bezanya, kuasa teknologi yang menentukan sama ada ia mampu tular dan mendapat perhatian atau tidak.
Apabila berhadapan dengan situasi ini, kedua-dua pihak perlu menggunakan saluran dan cara yang betul. Hukumlah anak-anak didik anda dengan cara yang betul dan tidak memalukannya. Sebagai ibu bapa juga, jika tidak berpuas hati dengan cara didikan yang diberikan, gunakan saluran yang betul untuk berbincang dan mengatasi masalah tersebut.
Ia bukan hanya melibatkan masalah anak anda, tetapi boleh jadi juga kepada anak-anak didik yang lain.
Tidak Perlu Bertindak Mengikut Emosi
Dalam perkara ini, kami tidak melihat tindakan kedua-dua pihak itu sebagai sebuah tindakan yang wajar, namun dalam masa yang sama kami tidak menyokong perbuatan tersebut sehingga tular ke media sosial.
Kedua-dua pihak seharusnya berfikir dengan lebih rasional dan bukan mengikut emosi semata-mata. Apabila tindakan itu melibatkan emosi, ia akan mengaburi perkara yang betul dan menganggap seolah-olah tindakan yang diambil itu adalah benar.
Ibu bapa hari ini perlu sedar bahawa lambakan kerja membuatkan kita sendiri tiada masa dengan anak-anak. Ada jenis ibu bapa yang hanya mengiakan keluhan dan aduan anak-anak.
Ada juga yang akan melihatnya dari sudut yang betul dan mengambil peluang untuk menasihati anak-anak. Namun, keadaan akan berubah menjadi teruk apabila ibu bapa sendiri tidak membuka mata bahkan terus mengambil keputusan untuk menyalahkan guru semata-mata.
Keadaan inilah yang menjadi lebih teruk apabila anak-anak akan menjadi lebih manja dan mengharapkan setiap masalah dan tangisan yang dialami itu akan diselesaikan oleh ibu bapa. Sedangkan, tidak semua guru akan menghukum sesuka hati. Pasti ada sebab mengapa hukuman tersebut dijatuhkan.
Era pendidikan sekarang juga tidak membolehkan guru untuk berkelakuan sesuka hati. Disebabkan guru-guru terdahulu boleh menggunakan rotan, tidak semestinya kita hari ini boleh mengaplikasikannya sesuka hati juga.
Dalam erti kata lain, boleh memberikan hukuman tetapi biarlah berpada dan yang bersesuaian. Kita lihat di sekeliling, berapa banyak masalah mental yang melanda berbanding masalah fizikal. Ada yang celik akalnya namun dilanda kemurungan dan kecelaruan identiti diri.
Hal inilah yang ingin kita elakkan demi membendung masalah-masalah sosial, emosi dan juga kerendahan akhlak.
Hormati hak anak didik seperti mana anda inginkan hak anda sebagai guru dihormati. Sesuaikan konsep pendidikan, hukuman dan emosi dalam era hari ini. Dengan itu, anda akan lebih rasional dan tidak akan dipandu emosi.
Apa Yang Perlu Anda Lakukan
Jika anda yang sedang membaca entri ini merupakan seorang ibu atau bapa yang sedang bergelumang dengan kerja bertimbun di pejabat, ambil masa sejenak untuk fikir – “Adakah aku menyerahkan seratus-peratus urusan pelajaran kepada guru?” atau “Adakah anak-anak aku terlalu manja dengan layanan yang aku berikan?”
Jika anda seorang guru, fikir sebentar cara bagaimana lagi yang sesuai untuk diaplikasikan sebagai metod pendidikan hari ini. Jangan diabaikan cara yang lama namun jangan pula ditiru seratus peratus caranya. Adakalanya, ia perlu diperbaiki supaya sesuai dengan era moden hari ini.
Jika anda seorang bujang yang masih lagi berusaha untuk mencari pasangan diri, bersediakah anda suatu hari nanti jika ia terjadi pada diri anda?
Jika hari ini kemelutnya sudah sebegini rupa, bagaimana pula pada sepuluh tahun yang akan datang? Semuanya bergantung kepada diri anda untuk menjadi ibu bapa yang bagaimana.
Ibu bapa merupakan guru pertama buat anak-anak di rumah. Mereka melihat, memberi reaksi, meniru pertuturan, berakhlak dan beradab berdasarkan apa yang ditunjukkan dan mampu diserap oleh daya otak mereka.
Oleh itu, jadilah ibu bapa yang baik dan guru yang rasional kepada mereka bagi membentuk generasi yang lebih baik untuk masa akan datang. Semoga generasi kita dan akan datang akan lebih merendah diri dengan tingginya ilmu yang ada. Biarlah ilmu dan adab itu selari dalam kehidupan mereka kerana ia merupakan salah satu faktor yang boleh mencegah masalah-masalah yang berlaku.
No comments: