Apa Itu Ilmu Tasawwuf?
Apa yang anda bayangkan apabila mendengar perkataan ‘tasawwuf’? Ilmu tasawwuf atau orang tasawwuf?
Mungkin sebahagian akan membayangkan orang yang berpakaian sedikit berbeza daripada orang lain, berjubah, berserban dan kelihatan terasing daripada dunia atau orang yang mempunyai amalan yang sedikit berbeza daripada orang lain.
Perkataan tasawwuf sebenarnya tidak ditemui dalam mana-mana sumber wahyu sama ada Al-Quran atau hadis. Ia juga tidak digunakan oleh Rasulullah SAW, para sahabat atau golongan tabiin terkemudian.
Seperti yang disebutkan oleh Abu Nasr Al-Sarraj:
“Kami tidak mendengar nama Al-Sufiyyah pada era para sahabat Nabi SAW, begitu juga selepasnya…gelaran sufi itu tidak diberikan kepada mana-mana sahabat Nabi SAW” (Lihat Al-Luma’, hal.42)
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan, ada 6 perkataan yang dikatakan adalah perkataan asal atau ‘akar’ bagi tasawwuf ini.
#1- Al-Sifat
Pertama, ia berasal daripada perkataan al-sifat kerana seorang Sufi menghiasi diri mereka dengan pelbagai sifat terpuji dan meninggalkan sifat yang buruk.
#2- Ahl Al-Suffah
Al-Suffah pula adalah nama yang diberikan kepada golongan fakir miskin dalam kalangan orang Islam sepanjang tempoh-tempoh awal Islam. Mereka dibenarkan tinggal di ruang luar Masjid Nabawi kerana tidak mempunyai rumah. Antara golongan sufi ini yang tinggal di suffah adalah Abu Darda’, Abu Zar al Ghifari dan Abu Hurairah.
#3- Al-Suf
Maksud ketiga ini bermaksud bulu iaitu sejenis pakaian yang diperbuat daripada bulu binatang yang menjadi pakaian kebanyakan ahli tasawuf pada zaman dahulu. Ini kerana pakaian tersebut merupakan pakaian yang disukai oleh para nabi dan golongan siddiqin serta merupakan syiar kepada orang yang zuhud.
#4- Sufah bin Murrah
Ia dikaitkan dengan seorang lelaki bernama Al-Ghauth bin Mar bin Ad bin Thabikhah bin Ilyas bin Mazar yang sentiasa mengasingkan diri daripada masyarakat kerana bermunajat kepada Allah di Masjid Al-Haram. Beliau lebih dikenali dengan nama Suffah bin Murrah kerana ibunya sendiri memanggilnya dengan nama tersebut.
#5- Al-Safa’
Pandangan kelima ini menyebut bahawa ia bermaksud suci. Ini kerana, ia merujuk kepada proses penyucian jiwa yang perlu dilalui.
#6- Al-Saff
Ia bermaksud saf atau barisan sama ada barisan di medan perang atau barisan hadapan ketika mendirikan solat secara berjemaah. Hal ini kerana, ahli sufi biasanya berada di barisan hadapan ketika menunaikan solat di masjid dan juga ketika berperang.
Hasil daripada pengamatan pihak Mufti Wilayah Persekutuan, ditambah dengan pernyataan ramai ahli tasawwuf – antara kesemua kalimah ini, perkataan yang dilihat sesuai digandingkan dengan kalimah tasawwuf hanyalah kalimah al-suf.
Manakala, menurut Syeikh Ahmad Zarruq pula beliau berkata bahawa istilah tasawwuf mempunyai lebih kurang dua ribu definisi. Walaupun begitu semua penjelasan tersebut membawa kepada satu titik yang sama iaitu ilmu untuk menyucikan jiwa.
Ibn ‘Ajibah berkata: “Ia adalah ilmu yang diketahui dengannya jalan untuk mencapai kesempurnaan batin ke hadrat Raja bagi segala Raja, menyucikan batin dari segala kekejian, mengisikannya dengan pelbagai kelebihan. Awalnya adalah ilmu, pertengahannya adalah amal, akhirnya adalah kurniaan Allah SWT” (Dipetik daripada Laman Web Mufti Wilayah)
Yang paling penting, ilmu ini tidak boleh berdiri sebagai ilmu yang bersendiri sahaja. Ia perlu disandarkan kepada rukun-rukun Islam, Iman dan Ihsan.
Seperti kata Imam Tajuddin Al-Subki,
“Tasawwuf disyaratkan dengan ihsan. Selain ilmu-ilmu itu (aqidah, fiqh dan tasawwuf), kalau ia tidak kembali kepada ilmu-ilmu tersebut (Islam, Iman dan Ihsan), ia adalah di luar syariah.” (Lihat Tabaqat AlSyafi’iyah Al-Kubra, 1/117)
Sumber:
No comments: