Ads Top

(Video) Seorang Remaja Diarah Bela Diri, Rakan Bebas Tuduhan Bunuh 23 Penghuni Pusat Tahfiz Ittifaqiyah

KUALA LUMPUR, 28 Jan –  “Alhamdulilah syukur kepada  Allah… Dia dibebaskan dan saya mahu selepas ini dia menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” kata bapa remaja lelaki yang dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran yang menyayat hati, hampir tiga tahun lepas.

Ditanya media apakah perancangan untuk anaknya selepas ini, bapa berusia 56 tahun itu berkata mungkin akan menghantar anaknya menyambung pelajaran.

“Harapan tentulah mak ayah mahu anaknya menjadi yang baik, tetapi ini sudah ketentuan dia (anaknya) pak cik terima,” katanya kepada media selepas keputusan di akhir kes pendakwaan hari ini.

Bagaimanapun, remaja lelaki berusia 19 tahun itu ketika ditemui media berkata: “Tak boleh nak cakap apa-apa.”

Dia yang memakai baju kemeja-T putih dan berseluar jean biru kemudian dipeluk erat oleh bapanya selepas keluar mahkamah.

Remaja itu juga menganggukkan kepalanya ketika media bertanyakan adakah dia berasa sedih apabila rakannya diperintahkan membela diri atas pertuduhan sama.

Kedua-dua beranak itu kemudiannya melambai ke arah pihak media sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini turut memerintahkan rakan remaja itu, juga berusia 19 tahun membela diri atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas remaja berkenaan.

Dua remaja lelaki  itu yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Mereka  masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu.

Sumber: Bernama

The post (Video) Seorang Remaja Diarah Bela Diri, Rakan Bebas Tuduhan Bunuh 23 Penghuni Pusat Tahfiz Ittifaqiyah appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.