Umat Nabi Muhammad Terpecah Menjadi 73 Golongan
Rasulullah SAW adalah pengutus mesej ketuhanan yang terakhir sebagai seorang Nabi dan Rasul. Seiring dengan berlalunya masa, umat baginda bertambah ramai dan akhirnya terpecah kepada pelbagai aliran dan kelompok.
Sejarah sendiri telah mengabadikan pelbagai peristiwa – perang yang memecah belahkan umat seperti Perang Jamal, Perang Siffin, perpisahan antara Kerajaan Umayyah dan Abbasiyyah, dan juga keruntuhan sistem khalifah yang terakhir iaitu Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924.
Perkara sebegini telah diingatkan oleh Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً
Maksudnya: “Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan.” (Riwayat Abu Dau, no.4596)
Daripada ‘Auf bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: الْجَمَاعَةُ
Maksudnya: “Dan demi jiwa Muhammad berada di tanganNya, akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Satu kumpulan sahaja yang akan ke syurga dan 72 kumpulan lagi akan dimasukkan ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Nabi SAW menjawab: al-Jamaah.” (Riwayat Ibn Majah, no. 3992)
Sebab Munculnya Perpecahan
#1- Tidak Mengikut Al-Quran Dan Al-Sunnah
Pesanan daripada Rasulullah SAW agar berpegang teguh pada Al-Quran dan Sunnah tidak asing lagi pada kita. Malah diceritakan pada suatu hari baginda berdiri di tengah-tengah sahabat dan memberi satu wasiat yang sangat penting dan mendalam.
“Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat meskipun kepada seorang hamba Habasyi. Dan sepeninggalanku nanti, kalian akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafaur Rasyidn yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara bidaah yang dibuat-buat, keran asesungguhnya semua bidaah itu adalah sesat” (HR Ibnu Majah, no. 42 – Status Hadis Sahih)
Al-Quran juga akan menjadi syafaat buat kaum Muslim kelak, malah akan menjadi hujah yang akan membela mereka.
Sesiapa yang meletakkan Al-Quran sebagai petunjuk dan kompas kehidupan, maka Al-Quran akan memandu seseorang itu ke syurga, tetapi jika Al-Quran tidak dipedulikan, maka ia juga akan menjadi penyebab kepada seseorang itu dicampakkan ke dalam neraka.
#2- Tidak Mengambil Keseluruhan Agama Islam
Antara cabaran menjadi umat akhir zaman adalah untuk mengamalkan segala perintah dan tunjuk ajar daripada Rasulullah SAW dengan penuh ketekunan.
Akan ada cabaran-cabaran baru yang timbul, yang kadang membuat kita terkeliru, yang membuatkan iman goyah sehingga agama tidak diamalkan sepenuhnya.
Seperti istilah yang digunakan oleh ramai orang pada masa sekarang iaitu non-practising Muslim – iaitu yang menggelarkan diri sebagai seorang Muslim tetapi memilih untuk tidak mengamalkan ajaran yang ada dalam Islam.
Tidakkah perkara ini menjadi suatu keanehan? Sedangkan yang membezakan kita dengan penganut agama lain adalah pada amalan dan syariat yang dilakukan.
Sesetengah mereka yang bukan beragama Islam memang percaya bahawa ada Tuhan Yang Satu yang berkuasa ke atas semua perkara.
Namun ia tidak selari dengan syariat dan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW – kerana Islam tidak cukup sekadar percaya. Ia perlu dibuktikan dengan amalan. Disebabkan itu lah Rasulullah SAW diutuskan, untuk mengajar dan memberi tunjuk ajar buat umat manusia dalam melaksanakan amalan tersebut.
#3- Kejahilan
Di antara tanda-tanda kecil kiamat adalah berleluasanya kejahilan kerana ilmu akan diangkat. Apabila seseorang tidak mempunyai ilmu, maka apa yang terjadi adalah mereka cenderung untuk berfikir mengikut logik akal dan keinginan hati sendiri tanpa didasari kefahaman yang jelas tentang sesuatu perkara.
Ia sudah terjadi pada masa sekarang, apabila kita melihat budaya menghukum, menyuarakan pendapat berdasarkan emosi dan perasaan semata-mata, saling menyalahkan, fikiran tidak terbuka untuk menerima pendapat dan sebagainya.
Kesemua gejala ini akhirnya akan menatijahkan perpecahan dan perselisihan faham yang berpanjangan.
Kesimpulan
Kita tidak tahu secara jelas dan tepat adakah kita termasuk dalam satu golongan yang dikatakan akan selamat. Namun apa yang dapat disimpulkan – cara yang paling selamat adalah dengan mengikut setiap ajaran, pesanan dan juga teladan yang telah ditinggalkan oleh Nabi SAW serta firman Allah SWT. Al-Quran dan Sunnah. Itulah jawapannya.
No comments: