Masjid Ibnu Tulun Di Mesir Dengan Gaya Seni Bina Iraq
Masjid Ibnu Tulun atau dipanggil juga Masjid Al-Maydan adalah sebuah masjid yang terletak di kota Kaherah, Mesir. Ia dibina sekitar tahun 876-879 Masihi, di masa pemerintahan Ahmad Ibn Tulun (pengasas kepada Dinasti Tulun di Mesir) dan menjadi masjid kedua tertua di Mesir setelah Masjid Amr bin Ash.
Masjid ini dibina di atas sebuah bukit yang dipanggil Jabal Yashkur yang bermaksud Bukit Syukur. Antara cerita legenda yang terkenal di kalangan penduduk setempat adalah tentang tersadainya bahtera Nabi Nuh di bukit tersebut dan bukan di Gunung Ararat.
Ciri menarik yang ada pada masjid Tulun ini jelas dapat dilihat pada menara berputar (spiral) yang ada di bahagian belakang ruangan masjid yang utama. Rekaan begini sebenarnya mencerminkan seni bina gaya Samarra (kampung halaman Ahmad Ibnu Tulun)di Iraq. Selain itu terdapat kawasan laman masjid yang sangat luas yang mana lebih luas daripada ruangan masjid itu sendiri.
Susun atur seni bina begini menjadikan keadaan di dalam masjid lebih sejuk kerana mempunyai sistem pengudaraan yang lancar dan baik. Binaan asalnya mempunyai air pancut (fauwara) pada bahagian tengah namun hancur dalam kebakaran pada tahun 986 Masihi.
Pada bahagian tengah halaman pula ada bangunan dengan kubah besar yang merupakan tempat mengambil wuduk. Masjid ini mempunyai koridor-koridor yang panjang yang ditampung oleh tiang-tiang yang dihiasi dengan ukiran ayat-ayat Al-Quran.
Manakala istana Ahmad Ibn Tulun sendiri dibina bersambung dengan masjid tersebut, dan disediakan pintu khusus di sebelah mimbar yang membolehkannya diakses terus dari istana.
Masjid ini sebenarnya sudah melalui proses pembaikan beberapa kali. Pembaikan pertama dilakukan pada tahun 1177 Masihi sewaktu dalam era penguasaan Kerajaan Fatimiyah di Mesir. Bahkan, ada penambahan kalimah yang dibuat pada dinding mihrab masjid ini yang berbunyi “Dan Ali Adalah Wali Allah”, yang dipercayai mempunyai unsur keyakinan golongan Syiah.
Proses pembaikan kedua berlaku pada era pemerintahan Sultan Malik Al Mansur iaitu penguasa Dinasti Mamluk di Mesir pada tahun 1296 Masihi dan pembaikan seterusnya berlaku pada tahun 2004.
Ia mempunyai fungsi yang pelbagai sepanjang pertukaran setiap pemerintahan. Antaranya sebagai tempat berlindung para jemaah haji dari Utara Afrika ke Hijaz pada abad ke-12, madrasah tempat pengajian ilmu serta tempat mengadakan acara sepanjang bulan Ramadan. Apa yang lebih menarik, ia juga pernah menjadi tempat penggambaran filem James Bond yang berjudul The Spy Loved Me pada tahun 1977.
Jika anda berkunjung ke Mesir, usah lepaskan peluang untuk melawat tempat yang penuh sejarah ini!
No comments: