Dari Mana Asalnya Pokok Bunga Tulip?
Anda pasti pernah melihat ladang pokok bunga Tulip yang berwarna warni – sama ada dalam koleksi wallpaper di telefon pintar, di internet atau di kaca televisyen. Dari jauh ia kelihatan seperti hamparan karpet yang teratur warnanya seluas saujana mata memandang. Terasa ingin berbaring di tengah-tengahnya bukan?
Tahukah anda daripada mana asalnya pokok bunga Tulip ini?
Pasti ada yang menjawab Belanda (Holland).
Mungin kerana Belanda adalah pengeluar bunga tulip terbesar dunia dengan penanaman sehingga 2 billion tulip setahun serta dieksport ke lebih 100 buah negara. Dua minggu yang lalu, Belanda juga telah mengadakan Sambutan Hari Tulip Kebangsaan.
Sebenarnya bunga tulip berasal daripada Turki. Ia diimport ke Belanda pada abad ke-16 (ketika zaman pemerintahan Islam Turki Uthmaniyyah) oleh seorang yang bernama Oghier Ghislain de Busbecq yang merupakan jurucakap bagi pihak Raja Ferdinand.
Ketika melawat ke kawasan istana di Istanbul, beliau sangat kagum melihat tanaman bunga yang disifatkan sebagai tanaman sofistikated yang tumbuh dalam kawasan istana tersebut. Beliau kemudian mendapat keizinan untuk membawa pulang – lalu bertindak menghantar benih atau umbi pokok bunga tulip kepada Carolus Clusius yang tinggal di Prague. Carolus yang mempunyai taman botani kemudian terus membiakkan pokok bunga tulip tersebut dan akhirnya, ia tersebar ke serata Eropah.
Tulip sebenarnya adalah pohon bunga liar yang tumbuh di pergunungan Hindu, Kazakhstan. Namun ia mula ditanam dan dibiakkan oleh bangsa Turki, seawal abad ke-10 Masihi.
Apabila Costantinople dinamakan sebagai Istanbul, Sultan Mehmet II ketika itu mengarahkan pokok bunga tulip ditanam di perkarangan istana dan juga taman-taman. Kadang kala baginda sendiri meluangkan masa berkebun di taman Istana Topkapi.
Tulip semakin terkenal di Turki apabila Sultan Sulaiman selepas itu mengangkat bunga tulip bukan hanya sekadar sebuah tanaman tetapi diabadikan ke dalam seni. Di dalam beberapa gambar yang dilukis kelihatan baginda turut memegang tulip.
Bahkan baginda juga sering menggunakan bunga tulip sebagai satu simbol dalam syair yang dihasilkan. Bukan itu sahaja, perkataan tulip ini sering disebut dalam syair ahli sufi terkenal iaitu Jalaluddin Rumi.
Dalam dunia kesenian, dikatakan bahawa aspek simbolisme bagi bunga tulip ini juga dikaitkan dengan bentuk kalimah Allah yang seakan-akan kelopak bunga tulip.
Kini pohon bunga tulip bukan hanya ditanam di Belanda dan Turki, malah di kawasan selatan Eropah dan utara Afrika.
No comments: