Bolehkah Membawa Telefon Yang Ada Aplikasi Quran Ke Dalam Tandas
Kemudahan aplikasi Al-Quran dan solat semakin banyak terdapat di kedai aplikasi seperti Google Play dan juga App Store. Orang ramai hanya perlu memuat turun dan kesemuanya boleh terangkum dalam satu telefon pintar sahaja.
Ia memudahkan kita untuk menunaikan ibadah seperti mencari arah kiblat untuk solat, membaca Al-Quran, dan menetapkan peringatan-peringatan amalan harian.
Namun ada pula keadaan di mana kita membawa terus telefon semasa masuk ke dalam tandas, sama ada telefon itu berada di dalam beg, poket dan sebagainya.
Lalu muncul pertanyaan, bagaimana pula hukumnya dengan aplikasi-aplikasi yang berada dalam telefon pintar tersebut, khususnya aplikasi Quran. Adakah kita dikira berdosa?
Terlebih dahulu yang perlu difahami adalah – adakah kesemua teks, buku atau aplikasi elektronik yang mempunyai ayat Al-Quran dikira sebagai Al-Quran sebenar?
Al-Quran sebenar atau juga dipanggil mushaf Al-Quran adalah kitab Al-Quran yang tidak terdapat terjemahan makna atau hanya mempunyai sebahagian kecil tafsiran sahaja.
Bagi aplikasi Al-Quran di dalam telefon pula, ia tidak dihukumkan sebagai Mushaf Al-Quran. Ini disebabkan tulisannya adalah dalam bentuk pancaran cahaya pada skrin dan tidak bersifat kekal. Ia akan terpadam dan hilang jika telefon bimbit dimatikan atau dialihkan ke tetapan telefon yang lain.
Manakala bagi isu membawa telefon yang mempunyai aplikasi atau perisian Al-Quran ke dalam tandas, ianya dibolehkan dan tidak menjadi masalah. Hal ini kerana, ia tidak dihukumkan sebagai Al-Quran.
Walau bagaimanapun Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj mempunyai pendapat yang menarik.
“Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawa (cincin yang bertulis padanya ayat Al-Quran), walaupun dengan sengaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti menggenggamnya dalam tapak tangan”
Berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar inilah, maka difahami bahawa jika kita membawa telefon yang mempunyai aplikasi Al-Quran, dan jika ianya tiba-tiba terbuka, maka hendaklah secepatnya menutup aplikasi tersebut atau dialihkan ke tetapan lain supaya ia tidak muncul di skrin telefon. Wallahua’lam.
No comments: