Ads Top

9 Fakta Dalam Cerita Messiah Yang Tidak Tepat Menurut Perspektif Islam

Musim pertama cerita bertajuk Messiah sudah ada dipaparkan di Netflix. Ia kembali menjadi bualan seperti ketika video acah nya (trailer) tular tidak berapa lama dahulu. Kini ramai pula pihak yang tampil memberi ulasan dan komen di media sosial.

Namun apa yang menarik perhatian pihak Tzkrh adalah video ulasan daripada seorang yang dipanggil Ustaz Addien di Twitter. Ayuh kita ikuti ulasan beliau.

#1– Kesalahan dalam bacaan ayat Al-Quran (terus menggabungkan dua ayat yang berbeza dalam bacaan yang sama) iaitu menggabungkan ayat 114 dan ayat 90 Surah Al-Baqarah. Ia adalah salah sama sekali.

#2“If you look for truth, you may find comfort,
If you look for comfort, you will never find truth”

Kata-kata yang diujarkan oleh watak Messiah dalam cerita tersebut sebenarnya berasal daripada kata-kata seorang tokoh pemikir Kristian dan penulis terkenal iaitu CS Lewis.

#3– Nabi Isa AS tidak mempunyai ayah sedangkan watak Al-Masih dalam cerita di atas mengaku bahawa dia mempunyai ayah.

#4– Al-Masih dalam cerita itu mendakwa bahawa timbangan Mizan (yang akan menimbang amalan manusia) akan diletakkan pada pintu gerbang Dome of The Rock (kubah kuning di kawasan Baitul Maqdis). Fakta ini tidak benar kerana tidak ada satu nas yang jelas di dalam Al-Quran mahupun hadis yang menyebutkan di mana neraca tersebut akan diletakkan kelak.

Dakwaan ini sebenarnya ada ditemukan dalam buku bertajuk Contested Holiness. Berkemungkinan, buku ini menjadi rujukan penulis skrip.

#5– Nabi Isa turun saat Imam Mahdi dan umat Islam menunaikan Solat Subuh dan bukan pada waktu yang lain.

“Ketika pemimpin mereka hendak maju ke depan untuk mengimami solat Subuh, tiba-tiba turunlah Isa bin Maryam pada waktu Subuh.” (HR Ibnu Majah)

#6– Nabi Isa juga akan mengikut Imam Mahdi bersolat, sedangkan Messiah dalam cerita tersebut langsung tidak menunaikan solat.

“Lalu pemimpin mereka (kaum Muslimin) mengatakan pada Isa, “Jadilah imam solat untuk kami.” Nabi Isa menjawab, “Tidak. Sesungguhnya di antara kalian sudah ada pemimpin bagi yang lain. Allah betul-betul telah memuliakan umat ini.” (Riwayat Muslim)

#7– Nabi Isa turun tidak membawa syariat yang baru. Bahkan apa yang akan diajarkan oleh Nabi Isa selari dengan apa yang ada di dalam Kitab Al-Quran dan juga hadis Nabi Muhammad SAW. Nabi Isa akan mengikut ajaran yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Dia Nabi Isa akan memimpin kalian berdasarkan kitabullah dan sunnah Nabi kalian SAW”(Riwayat Muslim)

#8– Al-Masih yang digambarkan dalam cerita ini adalah seorang yang mempelajari silap mata daripada kecil sedangkan Nabi Isa dan Imam Mahdi bukanlah seorang ahli silap mata.

#9– Berjalan atas air bukti wali atau nabi?

Ilmuwan seperti Imam Al-Laith bin Sa’ad dari Mesir pernah mengatakan jika kita melihat seseorang berjalan di atas air, usah terus menganggapnya wali Allah sebelum menilai dan melihat amalannya adakah ia selari dengan Al-Quran dan sunnah.

Bahkan, Imam As-Syafie menambahkan ke dalam kata-kata Imam Saad tersebut bahawa jika ternampak seseorang boleh terbang sekalipun, atau mampu melakukan hal-hal ajaib yang lain, jika perkataan dan perbuatannya tidak selari dengan Al-Quran dan sunnah, maka tetap tidak boleh dipercayai.

Usaha seorang ustaz muda dalam menilai, mengkaji, meneliti seterusnya menyaring informasi berkenaan isu sebegini sewajarnya dicontohi oleh semua. Jika kita bukanlah golongan bijak pandai atau ahli agama, maka rujuklah kepada orang yang lebih arif dan tahu.

Dunia masa sekarang penuh dengan informasi yang bercampur aduk antara benar dan tidak. Namun, jika kita mempunyai ilmu yang benar, nescaya kita akan terselamat daripada fitnahnya.

Ingatlah pada pesanan Nabi SAW buat seluruh umatnya,

“Aku tinggalkan kepada kalian sesuatu yang jika kalian berpegang teguh kepadanya nescaya kalian tidak akan sesat selama-lamanya sepeninggalanku, iaitu kitab Allah dan sunnahku”




No comments:

Powered by Blogger.