Ads Top

Setiap Harta Yang Akan Menjadi Saksi & Hisab Di Akhirat

Salah satu rukun Iman yang wajib dipegang oleh umat Islam ialah percaya kepada hari kiamat. Hari kiamat merupakan hari pembalasan dan keadilan buat semua hamba, sama ada muslim atau kafir, beriman mahupun tidak.

Pada hari ini digambarkan bahawa terdapat pelbagai jenis manusia – yang berjalan dalam keadaan merangkak, yang berpeluh sehingga ditenggelaminya, yang bercahaya bak bulan purnama dan berbagai lagi.

Malah, diceritakan tempat perhimpunan tersebut, iaitu Padang Mahsyar sangat luas sehingga mampu memuatkan berbilion manusia, bermula dari zaman Adam AS sehinggalah ke umat yang terakhir. Panasnya padang tersebut dek matahari yang sejengkal sahaja dari kepala dan masing-masing yang sedang menunggu giliran untuk dihisab.

إِنَّكُمْ تُحْشَرُوْنَ رِجَالاً وَرُكْبَانًا وَتُجَرُّوْنَ عَلَى وُجُوْهِكُمْ

Maksud: “Sesungguhnya kalian akan dikumpulkan (ke Padang Mahsyar dalam keadaan berjalan, dan (ada juga yang) berkenderaan, serta (ada juga yang) diseret di atas wajah-wajah kalian.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 3852)

Dasyatnya kejadian pada hari itu tidak dapat dibayangkan oleh kita semua. Ia adalah perkara ghaib yang masih lagi menjadi rahsia Allah namun dalam masa yang sama Allah telah memberikan gambaran berdasarkan dalil-dalilNya yang disebut di dalam Al-Quran mahupun melalui wahyu yang disampaikan kepada Baginda SAW.

Malah, diceritakan sewaktu hari pembalasan tersebut, seluruh anggota badan kita merupakan saksi yang akan turut serta memberi pengadilan kepada Allah.

Mulut yang sering bercakap dan berbicara akan dikunci dan memberi peluang kepada tangan dan kaki manusia untuk bersaksi ke atas diri sendiri.

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Mafhum: “Pada waktu itu, Kami meteraikan mulut mereka (sejurus): dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan.” (Surah Yasin, 36:65)

Bagaimana kaki dan tangan kita boleh bercakap, bagaimana mulut kita akan dikunci – itu semua terjadi di bawah kekuasaan Allah dan tiada sebarang kuasa yang mampu menghalangNya.

Harta Yang Juga Dihisab

Jika kaki dan tangan boleh bercakap, adakah sama juga dengan harta dan makhluk lain? Malah, kisah-kisah di Padang Mahsyar yang sering diceritakan menunjukkan bahawa setiap barangan dan harta kita di dunia akan menjadi saksi kepada setiap perbuatan di akhirat kelak.

Menurut pendapat beberapa ulama’ seperti Syeikh Ibnu Utsaimin menyebutkan bahawa bukan sekadar amal yang akan dihitung di hari akhirat kelak, namun apa yang diusahakan dan semua harta yang dibelanjakan.

Tambah pendapat golongan ilmuwan lagi – jika seseorang itu membeli kasut, ke mana kasutnya itu dibawa, sama ada dipakainya untuk ke masjid atau ke tempat-tempat maksiat.

Jika seseorang itu menggunakan duit gajinya untuk membeli barangan yang tidak bermanfaat ataupun disedekahkan kepada golongan asnaf, itu juga akan dihisab.

Perkara ini ada disebut oleh Abu Barzah Al-Aslamiy RA yang berkata, Baginda SAW bersabda:

لاَ تَزُوْلُ قَدَمَا العَبْدِ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فيمَا عَمِلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيْمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جَسَدِهِ فِيْمَا أَبْلاَهُ

Maksud: “Tidak akan bergeser kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehigga ia ditanya tentang umurnya, untuk apa ia habiskan, tentang ilmunya, iaitu apa yang telah ia perbuat dan tentang hartanya, dari mana ia dapatkannya dan ke mana ia belanjakannya serta mengenai anggota badannya yang telah digunakan.” (Hadis Riwayat Muaz bin Jabal, 4/298)

Sedekahkan Harta Yang Tidak Digunakan Lagi

Imam Abu Ja’far al-Thabari mengatakan bahawa – apa sahaja harta yang telah dibelanjakan oleh manusia sama ada ke arah ketaatan mahupun kemungkaran, ia akan digantikan semula kepada seseorang.

Dalam Islam, setiap harta yang dibelanjakan perlu ke arah yang diredai Allah. Jika kita mempunyai barang yang tidak digunakan lagi mahupun makanan yang banyak, adalah lebih baik unutk menyedekahkannya kepada mereka yang memerlukan.

مَنْ لَبِسَ ثَوْبًا جَدِيدًا فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي مَا أُوَارِي بِهِ عَوْرَتِي وَأَتَجَمَّلُ بِهِ فِي حَيَاتِي ‏.‏ ثُمَّ عَمَدَ إِلَى الثَّوْبِ الَّذِي أَخْلَقَ أَوْ أَلْقَى فَتَصَدَّقَ بِهِ كَانَ فِي كَنَفِ اللَّهِ وَفِي حِفْظِ اللَّهِ وَفِي سِتْرِ اللَّهِ حَيًّا وَمَيِّتًا

Maksud: “Sesiapa yang memakai pakaian yang baru, hendaklah dia mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan aku sesuatu yang dapat menutup auratku dengannya dan telah memperindahkan diriku di dalam kehidupan ini.” Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama) lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan Allah, pemeliharaanNya dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia.” (Hadis Riwayat Umar Al-Khattab, 3/134)

Para ulama juga berpendapat bahawa, barang-barang yang disedekahkan ini mampu menjadi saksi kepada kebaikan yang telah dilakukan kerana sedekah itu merupakan amalan mulia yang wajar diamalkan.

Mungkin, disebabkan sedekah yang diberikan itu, ia boleh menjadi salah sebuah pahala yang mengalir dan saham kita di akhirat kelak.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.