Ads Top

Perlukah Mengkhatankan Anak Pada Hari Ketujuh

Proses khatan atau khitan adalah suatu syariat dan perkara yang perlu dilakukan kepada anak-anak golongan Muslim. Dalam budaya masyarakat Melayu, ia lebih dikenali dengan panggilan ‘sunat’. Ia sejajar dengan amalan lain yang disarankan untuk dilakukan seperti tahnik dan juga aqiqah.

Sejarah Khatan

Syariat khitan sebenarnya sudah bermula sejak Nabi Ibrahim, sedangkan sebelum itu tidak ada seorang pun yang berkhitan. Kemudian tradisi khitan diteruskan dan dilanjutkan oleh nabi-nabi seterusnya sehinggalah Nabi Muhammad SAW.

Hukum Khatan Bagi Lelaki Dan Perempuan

Dalam Mazhab Syafie, hukum berkhatan wajib bagi lelaki dan perempuan. Ia adalah pendapat yang masyhur seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Hukum wajib ini turut dipegang dalam Mazhab Hanabilah (Hanbali) dan sebahagian Malikiyah serta ulama terkemuka sekarang iaitu Syeikh Albani.

Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetapi pendapat ini dianggap syadz (ganjil).

Imam Ahmad turut menyatakan kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan ianya sunat ke atas wanita – Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi

Amalan khitan juga pernah disebutkan dalam hadis sahih. Dari Abu Hurairah R.anhu, ia berkata:

الفِطْرَةُ خَمْسُ: الخِتَانُ وَالاسْتِحْدَادُ وَنَتْفُ الإِبْطِ وَتَقْلِيْمُ الأَظْفَارِ وَقَصُّ الشَّارِبِ

“Lima dari fitrah iaitu khitan, istihdad (mencukur bulu kemaluan), mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan mencukur kumis”

Waktu Untuk Melaksanakan Khitan

Mengikut pendapat Mazhab Syafie dan Hanbali, khitan dilakukan ketika usia baligh kerana khitan bertujuan untuk menyempurnakan taharah (bersuci) dalam beribadah. Pada usia ini, mereka mula mengerti tentang sesuatu perkara dan ditaklifkan untuk melaksanakan solat dan kewajipan lain.

Dalam riwayat lain, diberitakan bahawa para sahabat juga tidak melakukan khitan kepada anak mereka kecuali setelah mereka mengerti sesuatu.

Walaubagaimanapun, jika ingin mengkhitankan anak ketika masih bayi juga tidak mempunyai masalah kerana Rasulullah SAW juga pernah menkhitankan Hasan dan Husain pada hari ketujuh.

Sebagai kesimpulan Imam Al-Mawardzi berkata; “Khitan itu memiliki dua waktu, waktu wajib dan waktu sunnah. Waktu wajib adalah ketika usia baligh, dan waktu sunnah adalah sebelumnya. Ibnu Hajar mentarjihkan waktu yang paling baik melakukan khitan adalah pada hari ketujuh setelah kelahiran dan tidak melambat-lambatkan khitan sehingga waktu wajib kecuali terdapat keuzuran atau sebab-sebab tertentu.” (Fathul Bari – 10/342)

Kelebihan Berkhatan Pada Usia Masih Bayi

Mengikut sebahagian pengamal perubatan, proses khitan pada usia bayi memiliki beberapa kelebihan iaitu:

1. Masalah komplikasi di kalangan bayi lebih rendah berbanding kanak-kanak yang disunatkan pada usia lebih tua, manakala kesakitan yang dirasai juga tidak sebanding dengan umur selepas sebulan berikutan kulitnya masih lembut.

2. Kanak-kanak berusia enam tahun ke atas lebih lasak, dan sukar membendung perasaan sakit yang dirasa.

3. Proses penyembuhan bagi bayi lebih cepat dan mengambil masa yang singkat berbanding kanak-kanak berusia enam atau tujuh tahun.

Rujukan:
1. Hukum Khitan
2. Muis
3. Hukum Berkhatan Bagi Perempuan




No comments:

Powered by Blogger.