Ads Top

Nabi Sulaiman – Nabi Yang Mampu Bercakap Dengan Binatang Dan Memerintah Jin

Jika anda peminat cerita fantasi dan pengembaraan yang mencabar, anda pasti masih ingat cerita Narnia yang mengisahkan tentang beberapa orang remaja yang mengembara ke sebuah alam magik. Di situ, mereka bertemu dengan binatang yang mampu bercakap – tikus, singa dan ada juga hidupan separuh manusia separuh binatang.

Cerita-cerita fantasi begini membuatkan kita sangat teruja kerana ia suatu yang luar biasa, menarik dan tidak pernah dialami. Namun tahukah anda, cerita yang hampir sama pernah dialami oleh salah seorang nabi iaitu Nabi Sulaiman AS malah lebih hebat lagi!

Baginda dikurniakan kelebihan mampu bercakap dengan semut dan burung. Bukan itu sahaja, malah baginda mampu mengawal jin supaya tunduk di bawah perintah dan keinginannya.

Nabi Sulaiman Mampu Bercakap Dengan Binatang

Perbualan Nabi Sulaiman dengan semut dicatat secara jelas di dalam Al-Quran. Apabila Nabi Sulaiman dan angkatan tenteranya sampai ke satu daerah yang menjadi tempat tinggal semut (Waadin-Naml), seekor semut lantas berkata:

“Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari” (Surah An-Naml 27:18)

Nabi Sulaiman yang mampu mendengar kata-kata semut itu tersenyum mendengar perbualan mereka. Menyedari besarnya kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya kerana memahami bahasa binatang, Nabi Sulaiman lantas berdoa dan berkata:

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”(Surah An-Naml 27:19)

Begitu juga dengan perbualan yang terjadi antara Nabi Sulaiman dan pasukan burung.

“Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?” (Surah An-Naml 27:20)

Perbualan ini terdengar sangat istimewa kerana ia bukan penceritaan daripada pihak ketiga tetapi catatan perbualan yang disimpan sendiri oleh Allah dan diberitahu semula kepada Nabi Muhammad SAW melalui ayat Al-Quran.

Nabi Sulaiman Mampu Memerintah Jin

Besarnya kekuasaan yang dimiliki oleh Nabi Sulaiman apabila golongan jin termasuk iblis mampu dikawal oleh Nabi Sulaiman dengan mudah. Baginda boleh sahaja memerintahkan mereka supaya menyelam ke dasar laut bagi mendapatkan isi laut atau memerintahkan mereka membina binaan-binaan yang tinggi mengikut kemahuan baginda.

“Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): “Beramal lah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” (Surah Saba’ 34:13)

Malah dalam sebuah kisah yang masyhur, Nabi Sulaiman bertanya kepada pengikutnya siapakah antara mereka yang dapat membawa istana Ratu Balqis yang besar untuknya.

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang menghadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?”

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”. (Surah An-Naml 27:38-39)

Nabi Sulaiman Mampu Mengawal Angin

Selain daripada itu, Nabi Sulaiman juga mampu mengawal angin. Baginda berkuasa menggunakan angin untuk perjalanannya, sehingga disebutkan dalam Surah Saba’ pada ayat ke-12, perjalanan pagi dan petangnya menyamai perjalanan selama dua bulan. Selain itu, Allah juga mengalirkan mata air daripada tembaga untuk kegunaan Nabi Sulaiman.

Mengetahui hal ini, fikiran cetek saya membayangkan karpet terbang Aladdin yang membawanya ke tempat yang ingin dituju. Tapi itu hanya cerita dan karpet terbang itu hanya mampu membawa seorang sahaja. Sedangkan Nabi Sulaiman mampu memerintahkan jin supaya membawakan singgahsana Ratu Balqis yang gah lagi besar. Menakjubkan!

Kewafatan Nabi Sulaiman

Sungguhpun Nabi Sulaiman adalah raja dan pemerintah yang hebat dan mampu memerintah bukan sahaja manusia malah makhluk alam lain iaitu jin, namun kematian Nabi Sulaiman langsung tidak disedari oleh sesiapa. Permintaan supaya kematiannya dirahsiakan dimakbulkan oleh Allah sehingga jin-jin masih lagi melakukan pekerjaan yang telah diperintahkan ke atas mereka.

Golongan jin hanya mengetahui kematian Nabi Sulaiman apabila tongkat yang menjadi tempat Nabi Sulaiman berpegang digigit oleh anai-anai lalu tumbang.

“Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina” (Surah Saba’ 34:14)




No comments:

Powered by Blogger.