Ads Top

Kita Susah Berubah Mungkin Bukan Kerana Malas

Tinggal tidak sampai lagi dua bulan, tahun 2019 akan melabuhkan tirainya. Biasanya kita akan mula menyusun azam dan target baharu untuk dicapai pada tahun hadapan. Tidak mustahil ada juga yang mula berputus asa dan hilang semangat untuk terus merangka azam seterusnya dek azam lepas yang masih belum berjaya.

Sesekali mungkin kita tertanya-tanya, mengapa target atau perkara yang kita inginkan sukar sekali ingin dicapai. Selain daripada jawapan ‘malas’ dan ‘tidak berdisiplin’ yang biasa kita berikan, jawapan sebenar barangkali ada pada ‘mindset’ yang kita letakkan pada diri sendiri.

Perihal mindset ini dikaji secara mendalam oleh Carol Dweck, seorang pengkaji daripada Universiti Standford. Beliau membuat penilitian tentang ‘growth mindset’ vs ‘fixed mindset’ yang ada pada setiap orang, dan bagaimana ia mempengaruhi kepercayaan seterusnya mempengaruhi pula tindakan yang diambil selepas itu.

Terlebih dahulu mari kita fahami apa itu ‘mindset’?

Secara umumnya mindset adalah suatu sistem kepercayaan (belief system) yang kita ada terhadap diri sendiri atau kehidupan yang kita jalani. Ia biasanya disertai keyakinan yang mampu mempengaruhi tindakan.

Apa Itu Fixed Mindset

Seperti yang dapat kita agak daripada perkataan ‘fixed mindset’ ini sendiri, ia membawa maksud sesuatu yang tetap dan tidak berubah.

Bermakna orang yang mempunyai pemikiran ini cenderung untuk percaya bahawa – jika mereka tidak mempunyai kelebihan dalam sesuatu perkara, maka sudah tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan untuk mengubahnya. Kegagalan yang ditempuh pula adalah bukti bahawa itulah limitasi terakhir dan mereka sudah tidak dapat bergerak lebih jauh lagi.

Atau jika mereka punyai kelebihan, itu sahaja ‘aset’ yang mereka ada – dan hanya akan fokus kepada satu arah sahaja.

Terang Dweck, orang yang mempunyai ‘fixed mindset’ besar kemungkinan sudah membaca banyak buku motivasi dengan 1001 macam kata-kata pembakar semangat yang dijumpai seperti; kekalahan adalah peluang untuk belajar, kejayaan tidak perlu dibandingkan dengan orang lain; usaha adalah tangga kejayaan.

Tetapi mereka tidak dapat menterjemahkan semua informasi ini ke dalam tindakan kerana kepercayaan asas mereka – sistem kepercayaan (belief system) yang dipegang di dalam diri adalah sebaliknya – contohnya:

“Saya tidak ada kelebihan seperti dia”

“Saya gagal sebab saya memang lemah”

“Pengalaman lampau yang menjadikan siapa saya hari ini”

Disebabkan itulah perubahan yang cuba dilakukan tidak kekal lama.

Dalam satu ceramah TedTalk bertajuk ‘The Power of Not Yet’, Dweck berkata bahawa, kesilapan orang yang mempunyai fixed mindset adalah mereka berfikir bahawa kebijaksanaan mereka sentiasa dinilai oleh orang lain. Dalam erti kata lain, mereka risau jika di ‘judge‘.

“Adakah orang lain melihat mereka sebagai seorang yang berkemampuan atau tidak?”

“Adakah orang lain melihat mereka lemah atau tidak?”

Mengapa kita lebih suka menyembunyikan kelemahan berbanding cuba mengatasinya? Mengapa hanya perlu melihat kehidupan daripada sudut; siapa kalah dan siapa menang? Siapa lebih dan siapa kurang?

Apa Itu Growth Mindset

Manakala growth mindset pula adalah satu cara fikir yang lebih fleksibel. Biasanya orang yang mempunyai cara fikir begini percaya bahawa kebijaksanaan adalah sesuatu yang boleh diasah dan dibangunkan dengan usaha.

Mereka tidak tersekat dengan hanya apa yang ada pada diri, tetapi percaya bahawa setiap masa merupakan ruang dan peluang untuk mengusahakan sesuatu. Apa yang membuat mereka teruja adalah mereka dapat belajar sesuatu yang baru tidak kira dalam apa situasi sekalipun.

Antara kata-kata menarik yang diujarkan Dweck adalah,

“In the growth mindset, failure can be a painful experience. But it doesn’t define you. It’s a problem to be faced, dealt with, and learned from.”

Mereka menghadapi cabaran yang datang dengan mindset bahawa ia adalah satu proses pembelajaran. Jika mereka tidak berjaya sekalipun, mereka tidak berpegang dengan kepercayaan bahawa mereka kalah atau tidak berjaya langsung lalu menyalahkan diri, tetapi mereka menganggap ‘belum berjaya lagi’.

Tanpa sedar, pemikiran sebegini dapat memberi mesej kepada otak bahawa masih ada ruang untuk mencuba.

Islam Juga Menggesa Umatnya Supaya Mempunyai ‘Growth Mindset’

Tanpa kita sedar sebenarnya Allah juga menganjurkan manusia supaya mempunyai growth mindset iaitu minda yang sentiasa membangun – tidak menyalahkan nasib dan tidak menyalahkan diri sendiri.

Pesanan daripada Allah yang akan anda baca nanti mungkin sudah biasa didengari, namun apa kata kita buka kembali mushaf Al-Quran yang ada, baca ayat dan teliti maknanya.

“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…” (Surah Ar-Ra’d 13:11)

Ia mesej yang sangat jelas tanpa ada maksud tersirat atau kiasan. Allah menyeru manusia supaya mengusahakan sesuatu yang diinginkan mereka. Contohnya jika kita ingin menambah kemahiran diri daripada seorang yang pemalu dan tidak berani kepada seorang berkeyakinan, maka kita masih boleh berusaha melatih diri dan mengubah mindset. Jika hidup kita susah, kita masih boleh berusaha bekerja untuk memastikan hidup lebih senang.

Dalam situasi ini orang yang mempunyai growth mindset akan fokus kepada persoalan ‘bagaimana untuk mencapai’ nya, dan tidak menjadikan kesukaran dan cabaran sebagai alasan untuk berhenti.

Growth Mindset Dan Bantuan Tuhan

Pengkaji barat mungkin menumpukan kajian tentang growth mindset ini hanya kepada keupayaan minda dan kudrat manusia untuk mengubah ‘skrip’ hidup sendiri. Namun dalam agama Islam, kita tidak meninggalkan aspek doa dan tawakkal iaitu menghubungkan setiap usaha kembali kepada Tuhan.

Growth mindset (usaha) adalah aspek sunnatullah iaitu hukum dan peraturan Allah yang tidak boleh ditinggalkan dalam kehidupan seorang manusia. Manakala doa dan tawakkal adalah aspek keimanan yang perlu dipegang dalam setiap apa yang dilakukan.

Seperti kata Sahl At Tusturi,

“Barangsiapa mencela usaha (meninggalkan sebab) maka dia telah mencela sunnatullah (ketentuan yang Allah tetapkan). Barangsiapa mencela tawakkal (tidak mahu bergantung kepada Allah), maka dia telah meninggalkan keimanan. (Dirujuk daripada Rumaysho.com)

Kesimpulan

Manusia adalah makhluk unik yang mempunyai akal untuk digunakan. Jika haiwan dan hidupan pun masih boleh beradaptasi dengan perubahan dunia yang pelbagai contohnya perubahan iklim yang semakin tidak menentu, manusia lebih lagi perlu menyesuaikan diri dengan keperluan hidup yang bermacam jenis.

Jadi, berhenti mencipta alasan dan mula tukar kepada growth mindset!




No comments:

Powered by Blogger.