Ads Top

Kes Kematian Adib: Polis Pamer Semula Gambar Dipercayai Perusuh

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Polis akan mempamerkan semula gambar individu-individu yang dipercayai berada di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada malam kejadian rusuhan  tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata usaha mengesan mereka kini sedang giat dilakukan oleh Polis Kontinjen Selangor dan Bukit Aman.

“Individu-individu itu dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim di lokasi itu,” katanya pada sidang media harian PDRM di Bukit Aman, di sini.

Pada 27 Sept lepas Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Dalam kejadian pada 27 Nov tahun lepas, Muhammad Adib  yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah susulan kejadian rusuhan di hadapan tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis tahun lepas di Institut Jantung Negara.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia kerana dipercayai telah memuat naik status berbaur ugutan keganasan di media sosial berkait perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada 19 Nov lepas.

Pemilik akaun Facebook Andre Stone berusia 20an itu, ditahan di luar stadium berkenaan bersama dua lagi rakan senegaranya setelah memuat naik status jangan lupa di bom stadiumnya kalau Indonesia kalah’.

“Hasil soal siasat suspek yang juga tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah mengaku memuat naik status itu dan suspek kini direman selama 14 hari,” katanya.

Mengulas tentang kes dua rakyat Indonesia yang dipukul dan disamun di Bukit Bintang pada Selasa lepas, Huzir kata kedua-dua mangsa difahamkan telah meninggalkan negara setelah memperoleh pasport sementara daripada kedutaan Indonesia.

“Oleh yang demikian, polis sedang mengesan individu yang merakam dan menyunting video kejadian berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Baru-baru ini, satu video berdurasi kira-kira 48 saat telah tular di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai warga Indonesia dicederakan oleh beberapa warga Malaysia, yang didakwa ada kaitan dengan perlawanan bola sepak itu.

Sumber: BERNAMA

The post Kes Kematian Adib: Polis Pamer Semula Gambar Dipercayai Perusuh appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.