Bolehkah Meniup Makanan Ketika Panas?
“Jangan tiup makanan, tak baik!”
Meniup makanan, menghembus nafas ke dalam minuman dan tindakan seumpamanya adalah larangan yang tidak asing lagi, dan disampaikan dari mulut ke mulut kepada kita. Saya masih ingat sewaktu kecil, apabila mengikut nenek makan di warung, nenek akan menuangkan minuman yang panas ke dalam piring lalu menyuruh saya menunggu sehingga sejuk.
Jika sekarang, kita mungkin akan memilih untuk menyejukkan minuman dengan memasukkan beberapa ketul ais ke dalamnya supaya lebih cepat sejuk. Namun jika makanan pula panas, biasanya kita akan meniupnya. Namun, apakah perbuatan ini benar-benar dilarang dalam Islam?
Hukum Meniup Makanan
Larangan ini disandarkan kepada satu hadis daripada Nabi SAW yang berbunyi:
أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُتَنَفَّسَ فِي الإِنَاءِ أَوْ يُنْفَخَ فِيهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang bernafas di dalam gelas atau meniup isi gelas Musnad Ahmad, no.1907 dan Tirmizi, no.1888)
Walau bagaimanapun larangan ini tidak lah membawa kepada hukum haram. Para ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan hadis di atas.
1. Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menyatakan bahawa larangan meniup-niup makanan adalah termasuk di bawah bab adab yang menunjukkan penekanan kepada kebersihan.
2. Imam Al-Syaukani juga mempunyai pandangan yang sama. Perbuatan meniup makanan dan minuman dilarang bagi mengelakkan kekotoran daripada air liur.
Kata beliau lagi, lebih baik untuk menunggu sehingga sejuk berbanding makan ketika panas kerana keberkatannya akan hilang.
3. Ibnu Batthal pula menjelaskan bahawa hadis ini menyatakan bahawa jika seseorang itu makan dan minum bersama orang yang tidak menganggap bahawa perbuatan ini suatu yang kotor atau jijik, maka hukumnya adalah harus.
Pihak Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan bahawa larangan meniup dan bernafas dalam bekas makanan dan minuman, hukumnya adalah makruh dan bukannya haram.
Antara hikmah larangan ini adalah kerana:
1. Dibimbangi air liur dan bau nafas mengotori makanan dan minuman.
2. Ia juga mungkin boleh menimbulkan perasaan tidak senang kepada orang yang berkongsi bekas dengannya.
3. Bagi menjaga adab dan mengelak daripada menampakkan sikap gelojoh.
Bagaimana Jika Ingin Bersegera Kerana Ada Urusan Menanti
Seperti dalam amalan dan ibadah lain, larangan ini juga mempunyai pengecualian dan kemudahan. Jika seseorang perlu bersegera menghabiskan makanan kerana ada urusan selepas itu, maka dia dibolehkan meniup makanan dan minuman tersebut. Hal ini disebutkan oleh Imam Mawardi, disebabkan seseorang itu mempunyai keperluan yang lebih penting. Wallahua’lam.
No comments: