Ads Top

“Bila Kita Buat Benda Bagus, Tiada Orang Yang Berterima Kasih” – Hans Isaac

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac menyatakan dia boleh mengatasi segala tekanan dan kritikan yang dilemparkan terhadapnya semenjak memegang tampuk Finas tujuh bulan lalu.

Menurut Hans, sepanjang tujuh bulan menerajui organisasi tersebut dia sudah lali dengan kritikan namun berharap orang dalam industri memberikan sokongan agar pihaknya dapat melakukan kerja dengan sebaik mungkin.

“Setiap hari kami (Finas) ambli langkah untuk membantu industri, kami bekerja tujuh hari dalam seminggu, takkan kami nak hebah-hebahkan pada semua orang. Bila kita buat benda bagus, tiada orang nak berterima kasih, mereka diam sahaja.

“Bila kita buat salah, pantas orang nak kritik. Dalam industri ini, kita kena ‘trial and error’. Kita kena mencuba, kadang-kadang jadi, kadang-kadang sebaliknya. Itu saya faham dan disebabkan itu saya berani ambil jawatan ini sebab saya rasa boleh membantu dan setakat ini memang saya boleh ‘handle’ segala tekanan yang diberikan kepada saya.

“Saya cuma nak bertanya, ada tak orang dalam industri yang berterima kasih terhadap kami-kami yang dah buat kerja ini sebab sepanjang tujuh bulan dalam Finas tak pernah lagi ada orang industri yang datang berjumpa saya ucapkan terima kasih tapi bila waktu nak kritik, laju sahaja mereka. Pesanan saya untuk orang industri, bantu kami untuk bantu anda,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Hans ditemui pada majlis pelancaran program Stand Up Comedy Otai yang berlangsung di The Love, Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Nama Hans baru-baru ini menjadi bualan hangat apabila pihak Finas mengeluarkan beberapa saranan agar penerbit dilarang menggunakan pelakon muda untuk disolek untuk watak tua. Mengulas mengenai perkara itu, Hans berkata pihaknya hanya memberikan saranan namun semua keputusan adalah terpulang kepada pihak stesen penyiar dan penerbit.

“Saya tahu Finas tiada ada hak untuk perkara itu kerana itu adalah urusan di antara stesen penyiar dengan pihak penerbit. Kami hanya beri saranan sebab sebelum ini menerusi pertemuan dengan pelakon-pelakon veteran kami ada beri cadangan untuk pihak penerbit berikan beberapa peratus slot untuk pelakon-pelakon senior ini dalam drama-drama arahan mereka untuk tempoh setahun. Dalam dua peratus macam itu sahaja saranan kami, itu pun orang nak persoalkan.

“Bila saya beri saranan sebegitu, penerbit ‘serang’ saya tapi bila stesen penyiar cakap mereka bersetuju dengan saranan kami, mereka (penerbit) diam sebab mereka ada kontrak dengan stesen penyiar. Tapi kalau Finas, mereka akan bantai.

“Kami cuba untuk berikan saranan dan cadangan untuk mencuba benda-benda berbeza untuk tahun hadapan. Bagi peluang untuk kita cuba benda yang lain sebab setiap tahun selama
27 tahun saya dalam industri, struktur Finas sama daripada dahulu, jadi niat kami hanya untuk cuba benda-benda yang lain.

“Saya harap orang dalam industri beri peluang kepada pengurusan Finas untuk mencuba benda-benda lain yang luar daripada kebiasaan untuk menukar hala tuju industri untuk kebaikan bersama,” katanya lagi. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.