Ads Top

Orang Jahat Adalah Orang Baik Yang Tersakiti? (Bahagian 2)

Kebaikan & Kejahatan Tidak Kenal Rupa Paras

Kalau kita pernah mendengar hadis tentang seorang wanita pelacur yang masuk syurga kerana memberi anjing minum tentu kita hairan mengapa zahirnya jahat namun masuk ke dalam syurga.

Kalau kita perhatikan juga hadis berkenaan seseorang yang membunuh 99 nyawa kita juga terpana seketika memikirkan seseorang yang memikul dosa pembunuhan pun akhirnya boleh masuk syurga.

Selain itu, ada juga hadis-hadis tentang tiga golongan yang zahirnya suka memberi sedekah, berjihad di jalan Allah SWT dan menghafaz al-Quran akhirnya dicampakkan ke dalam neraka jahanam dengan cara yang ngeri sekali. Hadis-hadis ini semua boleh dicari dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim.

Bukanlah niat saya untuk mengajak pembaca untuk bencikan orang yang zahirnya baik dan cintakan orang yang zahirnya bermaksiat. Tidak, apa yang saya hendak sampaikan ialah kadangkala kejahatan dan kebaikan tidak mengenal rupa paras seseorang.

Bukan hanya semata-mata seseorang itu memakai kopiah maka tentulah seluruh hidupnya penuh dengan kebaikan. Begitu juga apabila seseorang itu tidak berhijab tentulah dia sudah pasti ke neraka.

Maha suci Allah SWT yang mengetahui segala qada’ dan qadar.

Begitu juga dalam isu kesihatan mental yang menjadikan Joker sebagai simbolik. Kita tetap menyakini bahawa jenayah itu tetap jenayah namun yang lebih utama seharusnya kita fikirkan ialah bagaimana peranan kita untuk mencegah lebih ramai lagi kelahiran Joker di sekeliling kita?

Jika dilihat dari perspektif psikologi kita seharusnya mengambil berat isu kesihatan mental dengan mendapatkan ilmu yang betul dari pakar-pakar. Bacalah artikel dan buku yang ditulis oleh pihak berkenaan tentang cara mengenal pasti simptom sakit mental dan bagaimana hendak memberi sokongan kepada mereka yang mengalami masalah begini agar pergi mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Dari aspek spiritual Islam pula, jangan kita terlalu cepat menghukum seseorang sebelum berdakwah, mendekati dan memahami dari pelbagai sisi kehidupan mereka. Selagi bernama manusia, kita masih terbatas dengan maklumat apatah lagi tentang isi hati seseorang yang sedang penuh dengan masalah.

Kebaikan Dan Kejahatan Tidak Bergantung Kepada Rupa Paras

Baru-baru ini juga saya ada menonton filem Maleficent : Mistress of Evil yang diarahkan oleh Joachim Ronning dan dipegang watak utamanya oleh Angelina Jolie. Ia kisah tentang hubungan ibu angkat dari makhluk yang dilihat seakan-akan jahat dan si anak angkat dari kalangan manusia yang bernama Aurora.

Hendak dijadikan cerita, Puteri Aurora baru sahaja menerima lamaran dari kaum manusia iaitu Putera Philips dan kemudian diketahui oleh ibu angkat Aurora iaitu si Maleficent.

Setelah kecoh tentang lamaran tersebut, ayah kepada Putera Philips pun berkenan dengan Puteri Aurora langsung meminta agar Aurora dan seluruh keluarganya termasuklah si ibu angkat hadir ke jamuan makan malam di istana kerajaan manusia yang cuma berseberang sahaja dengan kerajaan pari-pari.

Namun ketika rombongan Maleficent dan anaknya Aurora kunjung tiba di istana, berlaku sedikit insiden pergeseran emosi semasa acara makan bersama dengan ibunya Putera Philips. Sebab ibu kepada Philips tidak sukakan kaum pari-pari dan selain manusia. Pada babak ini kelihatan seakan-akan ibu Philips berniat baik hendak selamatkan kaum manusia, namun sebenarnya ada udang di sebalik batu.

Ketika majlis makan malam ada insiden yang telah terjadi kepada Raja iaitu ayah kepada Philips dan si Maleficent pula dituduh melakukan sihir terhadap ayah Philips. Aurora pun percaya dan berbelah bagi, namun kesudahan cerita ini rupanya kebaikan berpihak pada Maleficent dan kejahatan berpihak pada Ratu Ingris iaitu ibu kepada Philips.

Ya, kadangkala kebaikan dan kejahatan tidak semata-mata berpihak pada rupa paras seseorang dari luaran. Menakjubkan bukan?

Kompas Moral Individu Ditentukan Oleh Suasana

Ada kajian yang dilakukan oleh seorang ahli psikologi yang bermazhab behaviour (tingkah laku) bernama Albert Bandura dari Amerika Syarikat. Beliau pernah dikenali sebagai pengasas sebuah eksperimen yang bernama “Bobo Doll Experiment” (Kajian Patung Bobo).

Melalui kajian ini, beliau berjaya mengumpulkan seramai 72 kanak-kanak yang dipecahkan mengikut tiga kumpulan, iaitu kumpulan yang pertama, 24 orang yang akan sebilik dengan model orang dewasa yang agresif, 24 lagi bersama model dewasa yang tidak agresif dan 24 lagi tidak ada model.

Mereka meletakkan ramalan terlebih dahulu bahawa kanak-kanak yang bersama dengan orang dewasa yang agresif dalam sebuah bilik akan bertindak meniru perlakuan model tersebut dan kanak-kanak yang bersama dengan model yang tidak agresif, tidak akan menjadi agresif.

Keputusan mengejutkan bahawa apa yang Albert Bandura dan pasukannya ramalkan hampir-hampir sama apabila melihat kepada keputusan kajiannya.

Ini membuktikan seseorang yang duduk serumah atau di persekitaran yang ganas akan memberi kesan pada akhlak dan emosi seseorang. Kompas moral kita boleh terhakis dengan wujudnya nilai keganasan yang diterapkan sejak kecil lagi. Manakala seseorang yang berada dalam suasana perang juga berkemungkinan tinggi menjadi semakin ganas dan hilang nilai kemanusiaan.

Ada kajian juga dari Universiti Princeton di New Jersey Amerika Syarikat yang menilai tahap IQ kelompok orang miskin yang berduit dan tidak berduit. Mereka telah mengambil sampel dari 646 orang yang bekerja sebagai petani dan bergantung sepenuhnya pendapatan dengan hasil tuaian.

Petani akan kaya selepas menuai dan akan miskin sebelum menuai. Hasil dari kajian “mental bandwith” jalur mental orang yang miskin jatuh merudum berbanding yang sedang kaya. Ini kerana mereka yang terdesak dari segi kewangan akan berfikiran cetek dalam kebanyakan perkara.

Mereka biasanya tidak sempat menguruskan diri, masa dan empati terhadap orang lain. Jadi tidak hairanlah kadangkala kita pergi ke kawasan penempatan orang yang berpendapatan amat rendah, gejala sosialnya kian meruncing, sebab kelompok ini hidup dalam hiruk pikuk kesempitan. Kesempitan banyak mengganggu fungsi berfikir yang baik dan memberikan kesan pada kompas moral seseorang.

Dalam muqadimah buku Why Nation Fail : The Origin Power, Prosperity And Poverty hasil karya dua orang penulis dalam bidang sains politik dan polisi Daron Acemoglu and James Robinson mereka mengatakan kehancuran rakyat biasanya disebabkan masalah kemiskinan. Secara falsafahnya, orang yang perutnya lapar lebih cepat mengamuk berbanding perut yang kenyang dan cukup makan.

Kalau perut kita terisi, keperluan dipenuhi walaupun bukanlah mewah, itu tidak menjadikan kita berkeinginan bertindak ganas. Tetapi kalau asas seperti perut pun sentiasa kosong, bagaimana manusia boleh menjadi waras?

Kembalilah kita semua merenung tentang konsep Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur (Negeri yang Berkat dan Diampunkan Tuhan) iaitu sebuah masyarakat yang terjaga dari sikap pemimpin yang adil dan bijaksana, para ulama’ yang jujur dan rakyat yang berbudi pekerti.

Rujukan :
Bobo Doll Experiment
Poor concentration: Poverty reduces brainpower needed for navigating other areas of life




No comments:

Powered by Blogger.