Orang Jahat Adalah Orang Baik Yang Tersakiti? (Bahagian 1)
Orang yang benar-benar beriman dan bertakwa, fikirannya akan terbuka dan bebas daripada belenggu hal-hal dunia.
Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Surah al-A’raf (96)
Menerusi ayat al-Quran di atas ini saya tertarik dengan tafsiran oleh Prof Buya Dr Hamka rahimahullah taala :
“Keimanan dan takwa kepada Allah membukakan pintu rezeki. Sebab kalau orang telah beriman dan bertakwa, fikirannya sendiri terbuka, ilham pun datang. Sebab iman dan takwa itu menimbulkan silaturrahmi sesama manusia. Lantaran itu timbullah kerjasama yang baik sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dengan demikian turunlah berkat dari langit dan menyemburlah berkat dari bumi.
Berkat itu dua macamnya, iaitu yang hakiki dan yang maknawi. Yang hakiki ialah yang berupa hujan membawa kesuburan bumi, maka teraturlah tumbuhan dan keluarlah segala hasil bumi.
Atau terbukalah fikiran manusia menggali harta dan kekayaan yang terpendam dalam bumi itu seumpama besi, emas, perak dan logam yang lain, atau mengatur perkebunan yang luas, menyuburkan ekonomi seumpama kelapa, getah, benang nanas, kelapa sawit dan lain-lain.
(Berkat) yang maknawi pula ialah timbulnya fikiran-fikiran yang baru dan petunjuk dari Allah, baik berupa wahyu yang dibawakan oleh Rasul atau ilham yang ditumpahkan Allah kepada orang-orang yang berjuang dengan ikhlas.” (Lihat Tafsir al-Azhar, 3/16)
Falsafah Filem Joker (2019)
World Health Organization (WHO) telah memutuskan bahawa pada tarikh 10 October setiap tahun sebagai sambutan kesihatan mental sedunia semenjak tahun 1992 lagi.
Baru-baru ini pula muncul sebuah filem Joker yang diarahkan oleh Todd Philips dan dipegang watak utamanya oleh Joaquin Phoenix telah tular seluruh dunia dan mendapat tempat Box Office 10 filem yang sedang hangat.
Dalam masa yang sama di Malaysia pula ada satu frasa ayat yang tular iaitu “Orang jahat adalah orang baik yang tersakiti” kononnya ungkapan ini pernah diungkapkan oleh Arthur Fleck dalam filem Joker (2019) tersebut.
Namun sebenarnya ungkapan itu tiada kaitan pun dengan mana-mana watak dalam filem tersebut. Entah dari mana pun saya sendiri tidak pasti, mungkin ada sebahagian orang yang terlampau teruja dengan watak Joker lalu mempopularkan ungkapan tersebut di media sosial.
Sedangkan saya fikir mesej yang ingin disampaikan melalui filem ini bukanlah tentang membenarkan sesuatu jenayah yang dilakukan oleh seorang psikopat namun ingin mengajak kita untuk menanamkan sikap empati terhadap orang di sekeliling kita.
Kadangkala kita tidak sedar yang kita juga mungkin menjadi salah seorang daripada mereka yang mengelilingi hidup Arthur Fleck. Hinaan, cercaan, makian dan ejekan mudah sahaja terlepas dari mulut dan tangan kita yang memberi komen di sosial media.
Selepas beberapa hari, muncul artikel-artikel yang baik pada amatan saya mengenai filem Joker, antaranya yang ditulis oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk BAYAN LINNAS SIRI KE – 216: ISLAM, JOKER DAN STIGMA MASALAH MENTAL dan tulisan Dr Zul Azlin yang bertajuk Mengapa bukan Batman yang Berhalusinasi?
Kedua-dua penulis memiliki latar belakang pengetahuan yang sangat baik mengenai penyakit mental maka di dalam penulisan kedua tokoh ini berunsurkan tentang peri pentingnya kita sebagai masyarakat agar memandang filem ini dari kacamata empati dan rahmat. Bukan memandangnya secara sinis dan jelik seperti sebahagian orang.
Joker hanyalah sebuah simbolik dan watak antagonis dalam komik dan perfilemen sahaja. Sebaliknya, mesej tentang kesihatan mental dan suasana hiruk pikuk masyarakat yang rosak itu perlu kita sama-sama fikirkan bersama kesannya.
Menonton Cerita Ini Dari Jendela Escapisme
Jika kita melihat filem ini dari jendela escapisme (rasa ingin selamatkan diri dari realiti sebenar) hanya untuk melepaskan tekanan di tempat kerja atau belajar semata-mata seperti menonton lawak-lawak yang bersifat sindiran, body shaming dan jenaka yang merencatkan akal, maka kita tidak akan berjaya melihat mesej sebenar tentang apa yang ingin disampaikan oleh filem ini.
Wajarlah kita semua melihatnya dari kaca mata empati, rahmat dan kesedaran nilai-nilai moral yang tinggi barulah kita memahami mesejnya yang lebih komprehensif.
Saya teringat pada tulisan sahabat saya, saudara Ahmad Farami Abdul Karim, seorang pensyarah dalam fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam.
Beliau selalu kongsikan kritikan membinanya terhadap budaya penyampaian penyampai radio di Malaysia yang begitu banyak menekankan isu-isu picisan yang terperangkap dalam kelompok kecil dan tidak begitu berkembang berbanding mengikuti berita global yang lebih penting.
Jika dimasukkan unsur lawak, lawaknya melampau-lampau hingga melanggar etika penyampaian radio yang sebenar.
Tahap intelektual dan aras pemikiran sesebuah masyarakat mesti dinilai berdasarkan bagaimana penyampai radio tempatan mengutarakan isu-isu semasa yang boleh menaikkan kesedaran awam tentang kepekaan realiti semasa.
Kalau hendak dibandingkan antara pengisian radio tempatan dengan radio Inggeris ada jurang intelek yang agak jauh. Mereka juga memasukkan unsur hiburan seperti lagu dan lawak jenaka namun masing menyelitkan juga selingan-selingan idea baru, berita penting, maklumat baru dan konten yang membina masyarakat. Tiada ketawa mengilai-ngilai tanpa sebab, lawak beragendakan seksisme, dan perli antara satu sama lain hingga ke tahap body shaming dan seumpamanya.
Mungkin ini salah satu sebabnya mengapa sebahagian besar dari kalangan kita sukar untuk mencerap mesej tentang kesihatan mental dalam filem Joker yang hendak diketengahkan oleh penerbit. Kerana perhatian kita semua dialihkan pada bahan-bahan hiburan yang melanggar etika dan nilai-nilai intelektual. (Bersambung).
No comments: