Ads Top

Akim Ahmad Nafi Kurus Mendadak Sebab Hisap Dadah

Keadaan fizikal penyanyi Akim Ahmad yang dilihat kurus secara mendadak telah menimbulkan spekulasi di kalangan netizen yang mendakwa dia menggunakan bahan terlarang dalam ‘diet’ hariannya.

Menafikan perkara itu, Akim, 28, berkata perubahan ketara pada penurunan berat badannya adalah dipengaruhi oleh kesibukan tanggungjawabnya sebagai pemuzik dan bapa kepada dua cahaya mata.

“Saya ada rasa sakit hati juga (bila dituduh ambil dadah). Yang sebenarnya, saya kurus sebab fokus jaga anak-anak, kadang-kadang tidur lewat malam sebab fikir nak buat lagu dan esoknya bangun awal pagi untuk layan anak-anak pula.

“Secara tidak langsung, kesibukan itu telah membuatkan berat badan saya turun mendadak sebab waktu makan saya sudah jadi tidak teratur. Tidak ada isu saya kurus disebabkan ambil dadah,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Akim ditemui pada majlis sidang media program Mentor Milenia yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya semalam.

Menurut suami kepada penyanyi Stacy Anam ini, dia sudah lali dengam tanggapan masyarakat di luar sana yang kerap kali mengaitkan pemuzik dengan pengambilan najis dadah.

“Dari dahulu lagi orang sering kaitkan muzik dengan dadah. Nak main muzik kena ambil dadah.

“Saya tidak salahkan netizen bila mereka berprasangka begitu sebab memang dah lama tanggapan orang macam itu.

“Dulu mereka cakap rockers rambut panjang je mesti ambil dadah, padahal tiada spesifik orang yang boleh terpalit dalam najis dadah.

“Sekarang ini, mentaliti masyarakat yang kita perlu ubah. Tak semestinya kita agresif di atas pentas sebab kita ambil dadah, sebaliknya apa yang dipersembahkan di atas pentas itu adalah disebabkan kerana kecintaan kita kepada muzik itu sendiri,” ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Akim diberi kepercayaan menjadi mentor bagi rancangan Mentor Milenia yang akan bersiaran pada setiap Ahad bermula 6 Oktober ini, jam 9 malam di TV3.

Selain Akim, empat lagi penyanyi turut diberi tanggungjawab serupa iaitu Stacy, Hazama, Black dan Ernie Zakri.

Peserta program itu akan diadili dua juri terap iaitu Datuk Syafinaz Selamat dan Altimet.

Mentor Milenia akan dihoskan gandingan serasi, Shuk Sahar dan Elly Mazlein. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.