Ads Top

3 Etika Penting Dalam Perniagaan Islam

“Rezeki secupak tidak akan jadi segantang.”

Frasa di atas merupakan salah satu pepatah Melayu lama yang menjadi titik tolak dan inspirasi untuk berusaha menambahbaik kehidupan.

Usaha merupakan salah satu cara untuk memperoleh rezeki kerana ia tidak akan datang bergolek. Kita akan diberi ganjaran berdasarkan sebesar mana usaha dan tawakkal kepadaNya.

Jika mengharapkan rezeki seluas lautan, namun usaha dan doa seperti kecilnya kolam di belakang rumah, lantas bagaimana kita boleh terfikir untuk mengharapkan sesuatu yang besar?

Baginda SAW, ketika mencecah usia 10 tahun sudah dididik dengan alam perniagaan. Baginda diajar dari perkara asas dalam perniagaan sehinggalah ke sebesar-sebesarnya.

Malah, tiada yang dapat menyangkal bahawa Baginda merupakan contoh ahli perniagaan yang sangat hebat dan amat sesuai untuk dijadikan sebagai tokoh.

Perniagaan merupakan perkara yang sangat penting dalam Islam sehingga ia juga ada disebut dalam kalam Allah beberapa kali;

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّـهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ

Mafhum: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Surah Fatir, 35:29)

Pernah anda terfikir mengapa Islam menggalakkan umatnya untuk berniaga? Adakah disebabkan sunnah semata-mata atau untuk kaya?

Tahukah anda, orang yang berniaga ini tawakkalnya kepada Allah adalah sangat tinggi. Sama ada untung atau rugi, seseorang itu pasti akan meletakkan kebergantungannya kepada Allah.

Orang yang berniaga juga akan menemui ramai manusia dan pelbagai jenis ragam yang dilihatnya. Sama ada golongan biasa atau ternama, semuanya pasti akan dilayan dengan baik.

Bagaimana Baginda layak diangkat menjadi Rasul ialah kerana Baginda sudah mengetahui pelbagai ragam manusia. Dalam konteks dakwah, Baginda dikatakan mempunyai kelayakan untuk menarik manusia ke jalanNya.

Mereka yang menceburi bidang ini juga mampu untuk merapatkan ukhwah dan silaturrahim, bukan sahaja di kalangan yang terdekat, malah hingga ke seantero dunia.

Dalam konteks perniagaan, Baginda bukan sahaja jujur dan ikhlas untuk menarik pelanggan, namun dalam masa yang sama bertujuan menyebarkan moral dakwah Islam yang sebenar.

Ia sekali gus membuatkan sesiapa sahaja bukan di kalangan umat Islam, malah yang bukan Islam juga mudah tertarik dengan cara Baginda.

Paling utama ialah, perniagaan merupakan salah satu bentuk tarbiyyah yang paling baik untuk jiwa dan kehidupan sendiri.

Baginda telah dididik dengan pelbagai cara. Mungkin anda mengetahui kisah Baginda yang diangkat sebagai Rasul ketika berumur 40 tahun. Namun, segala pahit getir yang pernah dilalui sebelumnya, tidak ramai yang melihatnya dari sudut tersirat.

Antara etika penting yang boleh diamalkan bagi menjadi usahawan yang berjaya mengikut kaca mata Islam ialah;

#1 – Fahami Konsep Rezeki

Rezeki itu datangnya daripada Allah. Anda lakukanlah apa sahaja, namun jika Si Pemberi Rezeki ingin menahan sebentar rezeki daripada sampai kepada anda sebagai tanda ujian, maka anda tetap tidak akan mendapatnya.

Oleh itu, letaklah pergantungan kepada Allah dan cuba capai apa yang Allah letakkan sebagai garis panduan dalam kehidupan ini.

#2 – Jadikan Integriti Sebagai Aset Utama

Baginda digelar Al-Amin kerana sikapnya yang sangat jujur dalam perniagaan. Baginda tidak pernah menipu malah mengaut keuntungan yang melebihi daripada harga pokoknya.

Kesan daripada sifat jujur tersebut, Baginda telah diberi kepercayaan untuk menguruskan perniagaan yang lebih besar dari orang-orang ternama seperti Saidatina Khadijah.

Rugi atau untung merupakan hasil disebalik apa yang kita lakukan. Yang paling penting ialah bagaimana cara kita meletakkan usaha ke atas sesuatu.

#3 – Jaga Batas Halal Dan Haram

Jika sesuatu itu terang lagi bersuluh haram, maka elakkanlah walau apa jua alasan yang diberikan kerana matlamat tidak akan pernah menghalalkan cara.

Riba, rasuah dan pelbagai lagi perkara haram lain perlu dibuang jauh-jauh bagi mendapatkan keberkatanNya kerana apa yang paling penting ialah proses penuaian di akhirat kelak.

Kesimpulan

Islam amat menggalakkan umatnya untuk berusaha dan meletakkan ikhtiar bagi menjadi muslim yang kaya, bukan sahaja di mata dunia namun juga buat sahaja di akhirat kelak.

Oleh itu, letakkan sikap dan perkara yang diamalkan Baginda sebagai garis panduan untuk melakukan perniagaan yang membawa untung di sana kelak.




No comments:

Powered by Blogger.