Ads Top

Ulasan Buku – Siput Yang Mengubah Sejarah oleh Syed Azharul Asriq

Buku ni merupakan buku pertama penulisnya yang diterbitkan pada tahun 2016, dan aku rembat dengan harga sepuluh ringgit sahaja di kedai buku terpakai. Selain harganya yang murah, judulnya juga berjaya menarik perhatian aku. Bagaimanakah haiwan kecil yang berlendir ini boleh mengubah sejarah?

Ia sebenarnya merujuk kepada sebuah kes perbicaraan mahkamah yang dikenali sebagai ‘Donoghue v Stevenson’ di mana seorang wanita bernama May Donoghue menyaman David Stevenson setelah menemui cebisan seekor siput di dalam minuman yang dipesannya di kafe milik Stevenson. Hal itu menyebabkan dia trauma dan sakit perut.

Walaupun kejadian tersebut berlaku pada tahun 1928, keputusan hanya dibuat pada tahun 1932 oleh Lord Atkin yang menyebelahi Cik Donoghue, dan seterusnya mencatat sejarah dalam perundangan England dengan memperkenalkan ‘Neighbourhood Principle’ – mana-mana individu tidak boleh menyebabkan individu lain di sekeliling mereka ditimpa kesusahan disebabkan oleh tindakan mereka!

Menariknya, penulis memadankan prinsip ini menurut konteks Islam di mana Nabi Muhammad SAW dan surah An-Nisa’ dalam Al-Quran telahpun menetapkan prinsip yang sama sejak 1,400 tahun lalu supaya orang Islam berbuat baik kepada jiran atau individu di sekeliling mereka.

Kisah ni adalah salah satu daripada puluhan kisah-kisah menarik dalam sejarah tamadun manusia, sama ada di dalam atau luar negara, yang dibincangkan oleh penulis mengikut pandangan dan pengalamannya selaku seorang mahasiswa jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) secara santai namun kritis.

Kisah mengenai penubuhan Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws atau singkatannya AIKOL, dan peranan besar seorang intelektual Melayu bernama (Allahyarham) Prof. Ahmad Ibrahim di sebalik kewujudan fakulti ini yang pertama sekali di Malaysia yang mengintegrasikan pembelajaran undang-undang sivil dengan undang-undang Islam pun sangat menarik.

Sejujurnya aku baru tahu bahawa beliau adalah peguambela Natrah dalam perbicaraan kes paling kontroversi di Singapura ketika era 1950-an hingga mencetuskan rusuhan besar di kalangan masyarakat Melayu Singapura pada waktu itu.

Terpukul dengan ‘permainan’ undang-undang British dalam kes Natrah yang dilihat tidak adil terhadap hak-hak agama Islam, maka Prof. Ahmad Ibrahim bertekad untuk memastikan ia tidak berulang lagi di Tanah Melayu/Malaysia dengan mendraf Artikel 121(A) di dalam Perlembagaan Persekutuan supaya keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dicabar oleh Mahkamah Sivil sama sekali.

Penulis juga menceritakan pengalamannya terlibat dalam pameran dan pementasan Mock Trial: Ahmad Ibrahim anjuran UIAM pada Oktober 2014 dan berpeluang membelek buku-buku daripada koleksi peribadi Allahyarham.

Kisah-kisahnya memang ringkas dan santai, tetapi padat dengan mesej yang ditujukan khusus buat anak muda. Tidak cukup dengan kisah dua pemuda penakluk dunia seperti Alexander The Great dan Sultan Muhammad Al-Fateh, diceritakan juga kisah tiga pemuda dan pemudi zaman moden yang berjaya memahat nama mereka dalam lipatan sejarah iaitu Bhagat Singh (pejuang radikal kemerdekaan India dari penjajah British), Sophie Scholl (mahasiswi Jerman penentang Nazi ketika Perang Dunia Kedua) dan juga Rosly Dhobi (pejuang kemerdekaan Sarawak dari penjajah British).

Walaupun ketiga-tiga mereka dihukum mati oleh rejim yang berkuasa, namun kematian mereka akhirnya membuka jalan kepada pengakhiran rejim-rejim tersebut. Dan menariknya ketika kubur Rosli Dhoby dan tiga lagi sahabatnya digali pada tahun 1996 untuk dikuburkan semula di Makam Pahlawan Sarawak, kubur Rosly Dhobi didapati kosong! Ini adalah kes yang agak misteri dan kehilangan jenazah Allahyarham mungkin didalangi oleh pihak British pada ketika tu. Wallahua’lam!

Apa yang aku boleh simpulkan, buku ini umpama sebuah ‘jaring’ yang memintal setiap kisah-kisah menarik, dari sirah para nabi hinggalah ke kisah pembakaran buku oleh Nazi, untuk menyerkap para pembaca dan menarik mereka untuk mencintai sejarah!

Memetik kata-kata Hamka di pengakhiran buku ni, “Meninjau sejarah hendaklah dengan rasa cinta, seakan-akan merasai bahawa kita turut hidup dengan mereka. Itulah modal kita untuk menghadapi zaman kini dan zaman depan!”

4/5 bintang!

#MalaysiaMembaca
#JomBacaBuku
#SyedAzharulAsriq




No comments:

Powered by Blogger.