“Pengajaran Untuk Saya Perlu Lebihkan Mak Dan Ayah” – Syafie Naswip
Pelakon Syafie Naswip menyatakan bahawa kontroversi putus tunang yang telah melanda dirinya sebelum ini merupakan satu dugaan buat dirinya.
Syafie berkata, apa yang berlaku itu sedikit pun tidak membuat dia serik untuk mencari jodoh dan menganggap kontroversi tersebut adalah proses untuk menjadikan dirinya seorang yang lebih matang.
“Kalau ditanya apa iktibar terhadap semua yang berlaku, pengajaran untuk saya adalah perlu lebihkan mak dan ayah dan akan mendahulukan mereka untuk setiap perkara selepas ini.
“Malah, sekarang ini pun saya tetap menjalani kehidupan seperti biasa dan sudah move on. Lagipun orang yang rapat atau kawan-kawan lebih mengenali diri saya yang sebenarnya,” ujar Syafie.
Pelakon berkenaan berkata demikian ketika ditemui semasa berlangsungnya penggambaran filem Sumpahan Jerunei di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Dalam pada itu, bercerita mengenai penglibatannya dalam filem berkenaan, Syafie menyatakan dia tertarik untuk terbabit dalam naskhah arahan Jason Chong itu kerana jalan ceritanya yang menarik iaitu mengenai budaya masyarakat Melanau yang merupakan salah satu kaum di Sarawak.
Ujarnya, dia memegang watak sebagai Arjuna, salah seorang pasukan penganalisis yang membuat kajian tentang budaya dan misteri jerunei.
“Cabaran untuk membawakan watak ini sebenarnya lebih kepada menghayati karakter Arjuna itu sendiri dan saya perlu lalui banyak emosi dalam satu-satu babak.
“Bagaimanapun, selepas mendapatkan skrip saya melihat watak Arjuna ini merupakan satu karakter yang cukup menarik dan memberikan kelainan buat diri saya,” ujarnya.
Selain Syafie, filem terbitan Produksi Seni 2020 itu turut dibintangi Bront Palarae, Amerul Affendy, Uqasha Senrose dan Tony Eusoff. – KopiPlanet.com
The post “Pengajaran Untuk Saya Perlu Lebihkan Mak Dan Ayah” – Syafie Naswip appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: