Orang Yang Bertakwa Adalah Orang Yang Berhati-Hati
Suruhan dan anjuran supaya bertakwa sering kita dengar di mana-mana; di dalam ceramah, tazkirah, dalam khutbah dan sebagainya. Dan sejak kecil juga kita diajarkan tentang takwa yang diberitahu bahawa maksudnya adalah takut kepada Allah.
Sebahagian ulama dan para sahabat Rasulullah SAW pula mendefinasikan takwa dalam konteks yang pelbagai.
Contohnya Saidina Ali bin Abi Talib pernah mengatakan bahawa;
“Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”
Manakala Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata:
“Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhkanmu daripada Tuhan”
Maksud Takwa
Takwa (تقوى) sebenarnya berasal daripada perkataan waqa – yaqi – wiqoyah yang bermaksud memelihara atau melindungi.
Makna takwa ini terkandung juga dalam kisah perbualan yang masyhur antara Saidina Umar Al-Khattab dan Ubay bin Kaab.
Ketika itu Ubay bertanya kepada Umar tentang makna takwa. Lalu Saidina Umar kembali bertanya, “ Pernahkah engkau berjalan di tempat yang penuh duri?”
Ubay bin Ka’ab menjawab, “Ya pernah”.
“Apakah yang engkau lakukan?” tanya Umar kembali.
“Tentu aku sangat berhati-hati melewatinya!” jawab Ubay bin Ka’ab. “Itulah yang dinamakan takwa,” tegas Umar.
Tujuan Takwa Adalah Untuk Melindungi
Maka takwa dalam erti kata lain bertujuan untuk melindungi manusia daripada perkara yang buruk dan berbahaya.
Kata Ustaz Nouman Ali Khan dalam satu perkongsiannya – jika anda selalu mengunci pintu rumah sebelum keluar, itu adalah perbuatan ‘takwa’. Jika anda berpesan kepada jiran supaya melihat-lihat rumah sepanjang pemergian anda, ia adalah perbuatan takwa. Mengapa anda melakukan semua perkara tersebut? Pasti kerana takut sesuatu yang buruk terjadi. Pasti kerana ingin melindungi.
Mudahnya, takwa adalah langkah berhati-hati yang diambil untuk memelihara sesuatu. Dalam perkara berkaitan keimanan, takwa adalah langkah hati-hati yang diambil supaya kita selamat daripada murka Allah. Dan hakikatnya Allah ingin melindungi hamba-hambanya daripada hal yang buruk di dunia dan di akhirat.
Jika kita bertakwa dalam ibadah, maka kita akan berhati-hati melaksanakan ibadah supaya ia sempurna. Jika kita bertakwa dalam urusan muamalat, kita akan berhati-hati dan menjauhi urusan jual beli yang haram. Jika kita bertakwa dalam hal-hal kekeluargaan, kita akan berhati-hati hingga tidak melakukan kezaliman kepada pasangan dan anak-anak. Begitulah seterusnya dalam hal-hal yang lain.
Allah Ta’ala menjelaskan lagi hal ini dalam firmanNya,
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاها قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
“Dan (demi) jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan, Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu (dengan ketakwaan), dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya (dengan kefasikan).” (Surah As-Syams: 7-10)
Takwa seolah-oleh berfungsi sebagai penyaring atau penapis yang menyucikan hati. Jika ada sesuatu yang buruk ingin memasuki hati, maka takwa akan memerintahkan badan supaya menjauhi dan jika ada perkara yang baik, takwa akan memandu diri supaya mendekati. Takwa yang sebenar akan memberi kesan kepada peribadi seseorang sehingga dia tahu mana satu jalan yang harus ditempuh dan mana jalan yang harus dihindari. Wallahua’lam.
No comments: