Ads Top

Kita Semua Tidak Sempurna

Kesalahan Diri Sendiri

Dunia terus berputar dan tanpa ada tanda hentinya. Masa terus bergerak dan tidak pernah menunggu manusia. Manusia pula turut menuruti perjalanan kehidupan yang masih tersisa dan masih berbaki.

Dalam menempuhi gerak waktu, pasti setiap manusia tidak luput dari melakukan kesilapan. Ya, walau dilakukan secara teliti dan dijaga dengan rapi namun, ada juga kekurangannya.

Tidak perlulah ‘mengurung diri’ kerana kesal dengan kesilapan lalu. Kesilapan lalu yang dianggap kesilapan besar terus menghantui diri sehingga merosakkan pula kehidupan kita hari ini. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Setiap anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah orang yang bertaubat.”Riwayat Ibn Majah

Sedarlah setiap manusia tidak sempurna. Kesilapan pasti wujud. Yang perlu kita lakukan sekarang adalah jangan ulangi kesilapan yang sama.

Kesilapan dan kesalahan lalu jadikan ia sebagai satu peringatan dan pengajaran untuk kita. Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu amat melimpah keampunan-Nya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka.”Surah al-Ra’d 13:6

Abdullah bin Mas’ud R.A pernah berkata:

“Demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya, tidaklah seseorang itu bersangka baik terhadap Allah Taala melainkan Allah akan memberikan apa yang disangkakannya. Hal ini demikian kerana seluruh kebaikan berada di tangan-Nya.”

Janganlah terus dalam aura negatif dan bersangka baiklah kepada Allah S.W.T kerana setiap yang berlaku pasti ada butir hikmahnya. Dengan kesilapan yang telah dilakukan itu membuatkan kita lebih berjaga-jaga untuk tidak melakukan kesilapan yang sama.

Bukan itu sahaja, dengan melakukan kesalahan, hati kita ingin lebih mendekati Allah S.W.T. Kenapa begitu? Kerana kita sedar yang kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan serta dosa.

Dan kita akan meminta dan memohon kepada Allah S.W.T supaya diberi kemaafan dan dipermudahkan segala urusan. Bukankah hidup lebih indah apabila kita dekat dengan Allah S.W.T?

Kesalahan Orang Lain

Perkara kedua yang perlu kita ingati adalah janganlah kita suka melihat kesalahan orang lain. Ada sebahagian manusia agar ‘gemar’ mencari dan melihat kesalahan orang lain. Terutamanya orang yang dibencinya. Katanya ia memuaskan hati dan sebagai hiburan diri.

Kita sepatutnya menjauhi dari bersikap ‘mencintai’ dan menyebarkan kesalahan orang lain. Yang sepatutnya kita lakukan adalah memperbaiki kesalahan diri kita.

Ya, kita juga penuh dengan kesalahan, namun ia seperti ‘dianaktirikan’. Daripada Ibnu Umar R.H.U.M.A, bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya dan merendahkannya. Sesiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang menghilangkan satu kesulitan daripada seorang Muslim, maka Allah akan melepaskan baginya satu kesulitan daripada pelbagai kesulitan hari Kiamat disebabkan perbuatannya itu. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari Kiamat.”Riwayat Bukhari Dan Muslim

Berhentilah dari terus mencari kesilapan orang lain. Perbuatan itu hanya menghabiskan masa dengan sia-sia. Tidak ada baiknya kecuali hanya menjadi beban penambah dosa.

Bukankah lebih baik melihat kesalahan diri dan memperbaikinya? Itulah yang sepatutnya. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Daripada kebaikan Islam seseorang ialah meninggalkan suatu yang tidak bermanfaat kepadanya.”Hadis Riwayat Tirmizi

Kesimpulan

Kehidupan ini akan terasa lebih indah apabila kita saling menerima kelemahan dan kekurangan orang lain. Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan kerana kita saling memerlukan dan saling berkait.

Kelemahan orang lain kita bantu melalui kelebihan kita. Begitu juga kita, kelemahan kita dibantu dengan kelebihan orang lain.

Sekarang bukan masanya lagi untuk ‘mengumpul’ salah orang lain dan juga bukan masanya untuk terlalu takut bertindak kerana dihantui kesilapan masa silam.

Marilah kita bergerak dan meneruskan kehidupan ini. Jika melakukan kesalahan lagi, ayuh bangkit dan perbaiki lagi. Waallahualam. Semoga bermanfaat.

Rujukan:

1. Amalan Penghapus Dosa-Siri 4 Kitab Turath (Karangan Imam Ibn Al-Dayba’)
2. Ringkasan Riyadhus Shalihin Imam An-Nawawi (Karangan Syeikh Yusuf Bin Ismail An-Nabhani)
3. 300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah (Penulis: Dato’ Dr Zahazan Mohamed dan Ustaz Hasan Mohd. Nazam)




No comments:

Powered by Blogger.