Kempen Utamakan Produk Muslim – Orang Islam Tidak Perlu Ada Rasa ‘Entitlement’
Umum mengetahui bahawa masyarakat Melayu Islam adalah kelompok majoriti pengguna di Malaysia. Sejak minggu yang lalu, hangat isu “Kempen Beli Produk Muslim Dahulu” dan ia turut mendapat respon pelbagai pihak.
Ada golongan yang tidak menyokong dan menafsirkan tindakan ini sebagai tindakan ingin memboikot produk bukan Islam namun disangkal oleh penganjur kempen tersebut.
Dikatakan bahawa langkah ini diambil bertujuan menyokong dan menaikkan ekonomi Muslim di Malaysia terutamanya usahawan yang terlibat dalam Industri Kecil Dan Sederhana (IKS).
Kesimpulannya, anjuran menyokong dan membeli produk Muslim dahulu bukan membawa maksud barangan bukan Muslim perlu diboikot.
Melalui perbualan netizen di media sosial, ada pula yang berkongsi pengalaman membeli di kedai runcit orang Islam dan bukan Islam.
Katanya kedua-dua kedai tersebut terletak sebelah-menyebelah. Dia pada asalnya masuk ke kedai peniaga Islam, tetapi tidak ada jenama barangan yang ingin dibeli lalu berlalu ke kedai sebelah. Namun, pemilik kedai mula melemparkan kata-kata tuduhan seperti; “Tak nak sokong orang Islam” dan “Lebih pilih beli di kedai bukan Islam”.
Peniaga Islam Tidak Perlu Ada Rasa Entitlement
Secara peribadinya, penulis melihat bahawa isu kempen ‘Beli Produk Islam Dahulu’ tidak mempunyai apa-apa masalah. Ia adalah langkah yang baik untuk menyokong dan menaikkan ekonomi orang Islam di Malaysia. Namun peniaga Islam sendiri tidak perlu ada rasa ‘entitlement’, iaitu rasa lebih layak atau berhak terhadap sesuatu.
Contohnya dalam situasi di atas, apabila berada di negara yang majoriti penduduknya adalah Melayu Islam, kita tidak perlu ada perasaan lebih baik daripada orang lain yang berlainan agama dan bangsa daripada kita.
Apabila kempen ini dijalankan, tidak perlu rasa lebih layak menjadi pilihan pengguna Muslim, tidak perlu terus menuduh pelanggan yang membuat pilihan sebaliknya, tetapi yang perlu ditanyakan kembali kepada diri adalah – mengapa pelanggan lebih memilih untuk membeli di kedai lain berbanding di kedai sendiri.
Apa Yang Perlu Ditambah Baik Oleh Peniaga Islam
Kita maklum bahawa produk yang dikeluarkan oleh usahawan Islam kadang-kadang mahal sedikit berbanding produk-produk yang ada di pasaraya besar. Antara faktornya sudah tentulah kos pengeluaran lebih tinggi kerana kuantiti produk dikeluarkan dalam skala lebih kecil.
Namun ia tidak boleh menjadi alasan mengapa-pelanggan-tidak-membeli, kerana selain harga, perkara yang diberi perhatian oleh pengguna termasuklah kualiti dan servis perkhidmatan yang diberikan.
Saya percaya jika usahawan mengutamakan aspek layanan yang baik kepada pelanggan, efisiensi, aspek kebersihan dan lain-lain, maka perkara itu juga dapat menarik pelanggan untuk datang membeli.
Bayangkan ada dua kedai runcit yang berdekatan, menjual barangan yang sama. Salah satunya menyediakan servis yang mesra pelanggan sedangnya satu lagi kedai sebaliknya bahkan tidak mesra pelanggan, maka kedai yang mana akan anda pilih? Sudah pasti kedai yang lebih mesra pelanggan.
Nilai Integriti Dalam Berniaga
Rasulullah SAW sudah lama menekankan aspek integriti dalam berniaga. Ia membawa makna amanah, kejujuran, ketelusan, keterbukaan dan boleh dipercayai. Sebagaimana sabda baginda SAW:
“Tidak halal bagi seseorang menjual barang dagangan yang ia ketahui padanya ada cacat atau rosak kecuali ia memberitahu (kepada pembeli)” (HR. Ahmad, Ibnu Majah, Ath-Tobrani dalam Al-Kabir dan Al-Hakim. Disahihkan Asy-Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib wat Tarhib, no. 1775)
Jika ada kecacatan pada barangan yang ingin dijual malah peniaga tidak menerangkannya kepada pelanggan, bererti dia telah melakukan penipuan (ghisy).
Kesimpulan
Cabaran akan sentiasa berlaku dalam dunia perniagaan. Yang penting, para usahawan Islam tidak perlu cepat melatah apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Lakukanlah proses ‘check and balance’ bagi melihat sudut-sudut yang lompong yang boleh diperbaiki. Wallahua’lam.
No comments: