Ads Top

4 Tahap Membersihkan Hati Untuk Mendidik Fikiran Yang Positif

Setiap kali anda menggapai kejayaan sama ada setinggi bintang atau langit, apa perkara pertama yang akan keluar dari bibir anda atau mungkin perasaan yang akan bermain di minda anda?

Adakah dengan merasakan bahawa kejayaan itu datangnya hari dari usaha keras ada selama ini? Atau mungkin juga anda akan terus melonjak kegembiraan dan meraikannya bersama kawan-kawan anda sama ada di karaoke dan sebagainya?

Bagaimana pula dengan ucapan hakiki yang wajar diungkapkan seperti ‘Alhamdulillah’ atau hati anda yang merendah diri dengan mengatakan bahawa – “Tanpa berkat dan restu dari orang tua, pasti Allah tidak akan mengurniakan rezeki ini.”

Adakah anda akan terus larut dalam kejayaan? Jika ‘ya’ jawapan yang diungkapkan oleh hati anda, maka anda perlu berjaga-jaga dan fikir semula mengapa ia mendorong sifat anda ke arah tersebut.

Yang paling penting, lihat kesan yang akan dialami oleh diri anda sama ada anda tidak akan merasa puas dengan kejayaan yang ada atau mungkin juga anda akan mudah merasa iri hati dengan kejayaan yang lebih sedikit oleh orang lain.

Jadi, bagaimana cara yang betul untuk membersihkan hati agar setiap kejayaan dan ujian yang mendatang akan tetap menjadikan anda sebagai salah seorang yang bahagia?

Hati Yang Bersih Memandu Kepada Fikiran Yang Efektif

“Hidup ini terlalu singkat untuk berfikir mengenai kebahagiaan orang lain.”

Mungkin anda pernah mendengar ucapan di atas yang cenderung untuk meletakkan minda anda dalam keadaan tenang tanpa berfikir mengenai kebahagiaan orang lain.

Apa yang dilakukan, selagi ia tidak melanggar syariah dan hukum-hakam serta undang-undang yang ditetapkan, adalah lebih baik anda teruskan tanpa menghiraukan kecaman dan kata-kata negatif yang ada.

Walau bagaimanapun, jika komen-komen yang dilontarkan mampu membaiki diri anda ke arah kebaikan, maka adalah lebih baik jika anda mengambilnya dari sudut yang positif yang cuba jadikan ia sebagai batu loncatan untuk mengubah diri.

Mengapa hati manusia perlu dibersihkan? Ia adalah untuk menghilangkan toksik-toksik agar ia mampu berfikir dengan baik sekali gus memandu kepada gerak kerja yang positif.

Menurut beberapa pakar motivasi mengatakan bahawa tahap membersihkan hati itu ada empat.

#1 – Menerima Hakikat Mengenai Tiada Kejayaan Hakiki

Kejayaan hakiki hanya apabila anda berjaya menggapai syurga di kampung akhirat. Itu ialah kata-kata islamik yang sangat popular bagi meningkatkan semangat muslim untuk terus beribadah kepada Allah.

Namun, ada benarnya. Tiap kejayaan yang kita peroleh adalah tidak kekal. Sifatnya sementara dan disebabkan itu kita perlu mengelakkan diri daripada menggantungkan harapan kejayaan dunia sebagai sasaran.

Hari ini anda dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang 2019. Tahun depan, mungkin ia akan bertukar orang disebabkan anda mungkin sudah tidak mampu mengekalkan takhta anda atau mungkin juga kerana anda sudah bergraduasi.

Semuanya tidak kekal dan akan silih berganti. Oleh itu, letakkan dalam minda anda bahawa kejayaan yang anda perlu capai ialah yang boleh memberi kebaikan dan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain, bukan sekadar untuk membina nama dan legasi anda sahaja.

#2 – Timba Ilmu Mengenai Diri Sendiri

Sebelum kita menyelesaikan sesebuah masalah, kita perlu memulakan langkah untuk memahami isi masalah itu sendiri. Kaji dan selidik terlebih dahulu punca masalah barulah anda akan didorong oleh penyelesaian yang sesuai dengan situasi tersebut.

Begitu juga dengan diri sendiri. Bagaimana anda ingin membaiki kelemahan diri sendiri sedangkan anda tidak tahu pada bahagian mana ia perlu diperbaiki.

Disebabkan itu, cuba untuk faham hakikat, kelebihan dan kekurangan diri sendiri untuk membantu anda mencari cara menjadi seorang yang lebih baik.

Menggali diri sendiri tidak perlu dilakukan sendirian. Anda juga mungkin boleh meminta bantuan daripada kenalan rapat atau mungkin ibu bapa sendiri. Kadang-kadang, orang sekeliling lagi mudah memberi kritikan yang berguna kepada kita.

#3 – Perbanyakkan Muhasabah Diri

Muhasabah merupakan salah satu ritual untuk menginsafi diri. Insaf di sini bukan untuk melemahkan diri sendiri namun lebih kepada memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Selepas melakukan sesuatu perkara, cuba duduk sejenak untuk muhasabah diri. Dalam Islam, kita diajar untuk muhasabah sebelum tidur agar ia akan diiringi dengan perasaan dekatnya pada Tuhan.

Cuba fikir apa yang telah anda lakukan seharian hari ini. Adakah perbuatan itu memberi kesan baik atau buruk. Bagaimana ia akan memberi kesan kepada hidup orang lain dan yang paling penting adakah ibu bapa dan Allah sendiri reda dengannya.

Tanya diri anda sendiri mengenai imbasan aktiviti harian anda. Ia juga merupakan salah satu cara yang berkesan untuk membantu anda lebih mudah tidur.

#4 – Lihat Pengalaman Orang Lain

Pertama, pengalaman dan kisah inspirasi yang dikongsikan atau yang boleh menjadi sumber semangat kepada kejayaan anda. Ini adalah perkara biasa yang sering kita lakukan.

Namun, pengalaman kecil tetapi besar kesannya kepada diri seseorang, ia juga boleh dijadikan pengajaran dan panduan hidup.

Contohnya, anda melihat rakan anda memesan makanan dalam kuantiti yang banyak, namun pada akhirnya ia tidak dapat dihabiskan akibat terlalu kenyang. Lantas, perkataan ini melintas di kepala anda;

“Eee, membazirlah. Kan kesian dekat makanan tu.”

Ia adalah salah satu pengalaman kehidupan untuk anda agar anda tidak mengikuti jejak langkahnya. Maka, jika anda seorang yang belajar dari pengalaman dan perkara yang dilihat, anda pasti tidak akan mengikuti jejak langkahnya – memesan makanan mengikut keperluan dan bukan dengan nafsu.

Kesimpulan

Diri kita ialah apa yang kita fikirkan. Jika kita banyak berfikir ke arah positif, maka hasilnya adalah yang baik-baik. Namun, jika anda banyak berfikir mengenai hal yang buruk atau perkara yang dirasakan mustahil untuk dilakukan, pada akhirnya anda akan tetap berada dalam kurungan ketakutan tersebut.

Disebabkan itu, yang paling penting adalah belajar membersihkan hati agar ia boleh memberi ruang kepada minda untuk berfikir dan merasa hanya perlara yang baik-baik agar kebahagiaan juga bakal menyusul.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.