Ads Top

Ubah Hidup Dari Mod Autopilot Kepada Penuh Kesedaran

Dalam artikel sebelum ini, kita telah mengupas apakah yang dimaksudkan dengan hidup dalam mod ‘autopilot’ dan juga tanda-tanda untuk mengenal pasti jika anda sedang hidup dalam keadaan tersebut.

Hidup dalam mod autopilot secara mudahnya ialah situasi di mana diri anda tidak berada di masa sekarang kerana minda lebih banyak menerawang ke masa lalu atau masa hadapan. Pendek kata, anda tidak hidup di masa sekarang.

Kesannya, banyak perkara yang dilakukan menjadi sekadar rutin yang diulang-ulang tanpa makna. Mod autopilot ini bukan hanya memberi kesan kepada urusan kehidupan seharian malah akan memberi kesan juga kepada kualiti ibadah yang dilakukan setiap hari.

Contoh Mod Autopilot Dalam Urusan Ibadah

Kesan mod autopilot dalam ibadah terutamanya solat dapat dilihat apabila kita sukar mencapai khusyuk. Angkat sahaja takbir, kemudian sedar-sedar sahaja sudah sampai ke tahiyat terakhir untuk memberi salam.

Apa yang dibaca sebelum itu?
Adakah betul bacaan solat kita?

Kita langsung tidak sedar dan tidak ambil peduli, asalkan siap. Fikiran ketika solat menerawang kepada perkara lain – kerja yang masih belum siap, apa nak makan malam nanti dan 1001 perkara lagi yang boleh terlintas di dalam solat tetapi pelik, tidak pula kita ingat ketika di luar solat.

Kita melatih minda menjadi sibuk dengan selalu melihat telefon pintar, video game dan juga kerja seharian dalam tempoh masa yang banyak. Maka pasti agak sukar untuk melatih minda untuk bertenang walau hanya 5 minit di dalam solat.

Bagaimana Teknik Kesedaran (Mindfulness) Dapat Membantu Anda Untuk Tidak Hidup Dalam Mod Autopilot

1. Mengamalkan Pernafasan Teratur

Baca bismillah dan atur pernafasan anda. Pusatkan fokus kepada bagaimana anda bernafas, di mana pusat pernafasan dan bahagian badan mana yang bergerak. Adakah di kerongkong, perut atau dada. Fokuskan kepada pernafasan anda sahaja. Peruntukkan masa untuk melakukan pernafasan teratur sekurang-kurangnya dua kali sehari – sebelum tidur dan juga selepas bangun daripada tidur.

2. Badan Sebagai Penanda

Badan juga dapat menunjukkan tanda bahawa adakah anda sedang berada dalam keadaan baik atau tidak. Ada kala anda tidak sedar bahawa anda sedang stres, namun antara keadaan badan yang dapat memberi tanda ialah rasa tegang pada bahagian tengkuk, sakit kepala dan juga rasa sesak dada.

3. Niat Sebagai Penanda Arah

Apabila anda memusatkan fikiran kepada niat dan apa yang dirasakan sekarang, tanya diri anda:

Apakah perkara yang paling penting pada masa sekarang?
Apa yang boleh dikawal dan apa yang tidak boleh dikawal?

Dengan menjadi orang yang selalu memusatkan fikiran dan niat kepada Allah dalam setiap amalan, maka anda dapat

Bagi memahami hal ini dengan lebih jelas, mari kita teliti beberapa situasi di bawah.

Situasi 1 – Seorang Guru Yang Sibuk Dengan Tugasan Mengajar

Anda seorang guru yang sangat sibuk. Anda memandu ke sekolah setiap hari pada awal pagi untuk mengelak kesesakan. Jadual megajar pula setiap hari penuh, ditambah lagi dengan mesyuarat guru dan juga penglibatan anda dalam memantau aktiviti pelajar. Anda pulang ke rumah setelah lewat petang dalam keadaan yang sangat penat.

Pengaruh Mod Autopilot Dalam Situasi Di Atas

Anda berasa penat dengan keadaan yang dilalui setiap hari. Anda pergi ke sekolah dalam keadaan tidak bermotivasi untuk mengajar dan hanya melepaskan batuk di tangga. Anda juga tidak membantu para pelajar dalam pembelajaran mereka. Anda tidak memberi perhatian sepenuhnya dalam mesyuarat dan fikiran menerawang ke tempat lain.

Bagaimana Kesedaran (Mindfulness) Dapat Membantu

Anda mungkin dapat mengawal fikiran yang penat dengan memberi perhatian dahulu kepada keperluan biologi badan, contohnya rehat yang cukup, mengambil hidangan makanan yang sihat, ambil masa melakukan senaman ringkas dan lain-lain.

Anda juga dapat berhenti sejenak untuk bertenang dan lakukan teknik pernafasan yang teratur setiap kali berasa penat dan tertekan. Jika kerja di sekolah terlalu membebankan, ambil inisiatif untuk berbincang dengan rakan-rakan guru yang lain atau pihak atasan bagi mengatur langkah yang lebih sistematik untuk menyelesaikan masalah.

Situasi 2 – Anda Seorang Surirumah Yang Sangat Sibuk

Anda melalui hari yang sangat sibuk seperti menguruskan sarapan ahli keluarga, menghantar anak ke sekolah, kemudian ke pasar membeli barang dapur, balik memasak untuk makan tengah hari, mengemas rumah, jemur baju, kemudian bersiap untuk mengambil anak dari sekolah, kemudia bersiap pula memasak untuk minum petang dan makan malam.

Pengaruh Mod Autopilot Dalam Situasi Di Atas

Situasi di atas menunjukkan banyak perkara yang dapat anda lakukan dalam sehari, namun di sebaliknya, hidup seakan hanya dipenuhi oleh tanggungjawab dan rutin yang tidak ada hentinya. Anda juga mungkin tidak tersedar detik-detik berharga yang ada setiap hari bersama anak-anak dan suami. Tambahan lagi, anda merasa tugasan anda sangat memenatkan dan tidak difahami oleh suami.

Bagaimana Kesedaran (Mindfulness) Dapat Membantu

Anda dapat menukar mod autopilot tersebut kepada keadaan yang lebih sedar (mindful) dengan melakukan teknik pernafasan dalam waktu-waktu senggang yang ada di antara tugasan harian. Beri perhatian kepada emosi dan perasaan anda ketika itu. Beri juga perhatian kepada emosi anak anda dan ahli keluarga dan hargai masa bersama mereka. Apabila fikiran dalam keadaan tenang, komunikasi juga dapat berjalan lancar.

Situasi 3 – Anda Seorang Pelajar Yang Sangat Sibuk Dengan Tugasan Belajar

Anda terlambat bangun untuk kelas yang akan bermula pada jam 8 pagi. Kelas pula berlanjutan hingga ke petang. Hanya ada masa untuk makan selama 10 minit, dan kemudian menyambung pula perbincangan dengan rakan sekelas berkenaan tugasan yang perlu dihantar pada esok hari. Pada sebelah malamnya, anda terlibat pula dengan aktiviti kelab dan persatuan.

Pengaruh Mod Autopilot Dalam Keadaan Di Atas

Situasi di atas menunjukkan bahawa anda seorang pelajar yang sangat berdedikasi. Sekalipun terlambat sedikit untuk ke kelas, anda masih memilih untuk hadir. Kemudian hari anda penuh dan tidak dibazirkan. Namun, di sebaliknya anda mungkin berasa penat dengan perkara yang dilakukan kerana tidak ada masa untuk diri sendiri.

Bagaimana Kesedaran (Mindfulness) Dapat Membantu

Cari masa untuk bertenang dalam setiap perkara yang dilakukan. Contohnya, bangun lebih awal untuk merancang hari anda, letakkan telefon dalam mod senyap semasa berbincang dan juga menunaikan solat, nikmati makanan tanpa menatal skrin telefon dan sebagainya. Lakukan juga pernafasan teratur setiap kali anda berasa penat dan tertekan.

Kesimpulan

Allah pernah berfirman, kelak di akhirat, manusia hanya merasakan hidup di dunia sangat sekejap, hanya seperti berada pada waktu pagi atau ketika senja. Maka, ambil lah peluang untuk menghargai waktu yang sudah sedia ada singkat ini dengan cara hidup penuh kesedaran dan bukan dalam mod ‘autopilot’.




No comments:

Powered by Blogger.