Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Keesaan Allah
Jika anda ditanyakan, Allah itu Maha Esa, apa yang bermain di fikiran anda?
Ada sesetengah yang akan menjawab, Allah itu satu atau ada juga yang menjawab Allah itu tunggal. Malah, sesetengah jawapan lain yang dikemukakan ialah tiada yang lain selain Allah.
Itu kalimah yang sering kita dengar melalui surah Al-Ikhlas yang cukup untuk membuktikan bahawa Allah itu esa.
Ù‚ُÙ„ْ Ù‡ُÙˆَ اللَّـهُ Ø£َØَدٌ
Mafhum: “Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.” (Surah Al-Ikhlas, 112:1)
Walau bagaimanapun, apakah yang dimaksudkan dengan Esa yang sebenar?
Pada awalnya, saya juga berpendapat seperti jawapan-jawapan yang dikemukakan di atas, iaitu satu atau tunggal.
Namun, percaya atau tidak jika saya katakan bahawa jawapan yang dikemukakan ialah salah.
Mengapa ia salah dan tidak tepat?
Saya tertarik untuk berkongsi mengenai maksud Esa yang sebenar yang telah dihuraikan oleh Encik Mohd Syukri Rosli, Pengerusi dan Pengasas Akademi Jawi Malaysia melalui Wacana Jawi, Penjelasan Kalimah Bahasa Jawi dan Pelancaran Pameran Pustaka Jawi.
Jika menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) oleh Dewan Bahasa Pustaka, maksud yang dikemukakan ialah satu dan juga tunggal. Namun, menurut beliau, maksud yang lebih tepat untuk perkataan Esa ialah yang satu-satunya satu. Dalam erti kata lain, ahad Ø£َØَدٌ.
Bagi beliau, jika dimaksudkan dengan Allah yang satu, bermaksud pasti ada yang kedua atau yang ketiga dan seterusnya. Jika dimaksudkan dengan tunggal, maka pasti ada lawannya, iaitu banyak atau majmuk.
Namun, untuk Allah, kita tidak boleh meletakkan perbandingan malah tiada turutan dan lawan bagiNya. Jumhur ulama’ dan pakar tafsir juga menggunakan perkataan ini hanya untuk Allah kerana tiada yang lain mempunyai sifat yang sama denganNya.
Sama juga dengan perkataan maha. Ia digunakan untuk Allah kerana membawa definisi yang paling tinggi dan tiada yang lain yang sama sifat denganNya.
Jika manusia punya perasaan kasih sayang, maka Allah itu Maha Pengasihani lagi Maha Penyayang. PerasaanNya adalah berbeza dan tidak sama dengan manusia mahupun makhluk lain.
Manusia menyayangi dari hati, namun Allah Maha Menyayangi berdasarkan sifatNya. Disebabkan itu, perkataan ‘maha’ hanya layak digunakan untuk Allah sahaja.
Lantas, bagaimana pula dengan penggunaan maha kepada raja-raja atau sultan yang sering kita dengar atau gelaran yang diberikan kepada mereka. Mengapa mereka boleh menggunakan gelaran tersebut?
Jika kita lihat, gelaran yang selalu digunakan ialah ‘Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia’ atau ‘Duli Yang Amat Mulia’. Gelaran maha kepada raja atau sultan akan datang dalam satu perkataan dan bukannya dipisahkan menjadi Yang Maha Mulia.
Hal ini kerana, duli itu merupakan perkataan klasik yang membawa maksud debu atau abu. Jelasnya, mereka tidak mempunyai kebesaran yang melebihi tuhan.
Sama sahaja dengan perkataan baginda. Umum mengetahui bahawa ia hanya layak digunakan oleh nabi dan rasul sahaja.
Walau bagaimanapun, kita juga sering mendengar perkataan ‘Seri Paduka Baginda’ kepada gelaran sultan atau raja.
Hal ini kerana, perkataan paduka itu sendiri membawa maksud alas kaki atau kasut yang berasal daripada perkataan klasik juga.
Walaupun ia hanyalah gelaran kepada sesama manusia, namun kita dapat melihat bahawa kekasih Allah mempunyai pangkat dan darjat yang tinggi sehingga bahasa menilainya dari sudut yang sangat unik dan hebat sama ada dari bahasa Melayu atau bahasa Arab sendiri.
Kesimpulan
Keunikan dan gelaran yang diberikan kepada Allah adalah hanya untukNya kerana umum mengetahui bahawa tiada tandingan buatNya.
Dialah Allah yang Maha Esa, Maha Pengampun dan Maha Mengusai seluruh Alam.
Wallahu a’lam.
No comments: