Ads Top

Tular Video Pasang Jalur Gemilang Terbalik Di Sekolah, Ketua Polis Negara Tampil Beri Penjelasan

Beberapa hari ini tular mengenai isu pemasangan bendera yang terbalik terjadi di beberapa buah tempat. Terbaru, sebuah video yang memaparkan insiden yang sama tular di laman sosial.

Justeru, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador tampil untuk memberi penjelasan lanjut mengenai kes berkenaan untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

Menurut beliau, pemasangan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik di sebuah sekolah di Pahang, adalah perbuatan yang tidak disengajakan.

Beliau turut berkata pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung isu terbabit dan mendapati pemasangan Jalur Gemilang itu, bukan niat bertujuan untuk mengaibkan atau merupakan satu manifestasi membantah di luar sekolah berkenaan.

“Saya difahamkan kes ini pemasangan Jalur gemilang yang diterbalikkan itu adalah kesilapan yang jujur dan ia dipasang oleh pekerja warga asing sekolah itu yang tidak memahami cara pemasangan jalur berkenaan.

“Saya menyeru kepada semua pihak supaya jangan cepat melatah dan jangan ada yang mengeksploitasi kes-kes sedemikian tanpa mendapatkan fakta sebenar,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata perbuatan berkenaan bukan sesuatu yang dirancang untuk memberi mesej-mesej yang tertentu.

“Saya tidak mahu beri amaran lagi kepada orang ramai (isu sensitiviti perkauman)…kami siasat, kami kenal pasti dan kami terus tangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemasangan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik di sebuah sekolah di Pahang baru-baru ini.

Sumber: BERNAMA




No comments:

Powered by Blogger.