Ads Top

Rezeki Allah Itu Terbentang Luas

Sejak dari azali, iaitu ketika kita berada di alam rahim, Allah akan menghantarkan malaikatNya untuk menulis empat benda kepada kita, iaitu; jodoh, rezeki, umur dan kebahagiaan atau kecelakaan.

Ia ada disebut melalui sabda Baginda SAW yang telah diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Mas’ud, iaitu:

عَنْ أَبِيْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ الله ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ حَدَّثَنَا رَسُوْلُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقُ: إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا نُطْفَةً ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ

Maksud: “Sesungguhnya salah seorang dari kamu sekalian dikumpulkan kejadian dalam perut ibunya selama empat puluh hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah dalam waktu empat puluh hari. Lalu, diutus seorang malaikat kepada janin tersebut dan ditiupkan roh kepadanya dan malaikat tersebut diperintahkan untuk menulis empat perkara, iaitu rezeki, batas umur, pekerjaan dan kecelakaan atau kebahagiaan hidupnya.” (Hadis Riwayat Abdullah ibn Mas’ud, no. 1237)

Rezeki termasuk dalam empat perkara yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, ia bukan bermaksud seseorang itu tidak perlu berusaha kerana percaya bahawa rezekinya akan turun dari lagit, namun digalakkan untuk berikhtiar dalam hidup.

Ikhtiar dan usaha merupakan salah satu cara untuk kita menjadi hamba dan khalifah yang lebih baik supaya dengan cara itu, Allah akan menambah dan memberikan sesuatu secara lebih lagi.

Hal ini kerana, setiap sesuatu yang berlaku adalah kerana sifatNya yang Maha Kuasa ke atas setiap sesuatu.

Baginda SAW juga menganjurkan setiap umatnya supaya sentiasa melakukan yang terbaik dalam kehidupan kerana takdir hidup kita juga boleh berubah berdasarkan kuasaNya.

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: (من سره أن يبسط له في رزقه أو ينسأ له في آثره فليصل رحمه

Maksud: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang ingin dilancarkan rezekinya atau dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung silaturahim.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2067)

Oleh itu, kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah dan berusaha dengan kehidupan anda untuk menjadikannya lebih baik. Malah, berdasarkan kalamNya, telah diterangkan dengan lanjut dan jelas mengenai hakikat rezeki yang perlu diusahakan kerana rezeki Allah itu Maha Luas.

#1 – Rezeki Rahsia Allah

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Mafhum: “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualan yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, 11:6)

#2 – Berdasarkan Usaha Yang Dilakukan

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Mafhum: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” (Surah An-Najm, 53:39)

#3 – Ia Boleh Hadir Selepas Bertaubat

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

Mafhum: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu.” (Surah Nuh, 71:10-11)

#4 – Sebagai Balasan Kepada Sedekah

مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّـهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً ۚ وَاللَّـهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Mafhum: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.” (Surah Baqarah, 2:245)

#5 – Kepada Mereka Yang Beriman

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا

Mafhum: “Dan Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).” (Surah At-Talaq, 65:2)

#6 – Ia Datang Dari Arah Yang Tidak Disangka

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا ۖ كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًا ۖ قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَـٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّـهِ ۖ إِنَّ اللَّـهَ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Mafhum: “Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Maryam, dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab: “Ia dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.” (Surah Al-Imran, 3:37)

Kesimpulan

Rezeki merupakan rahsia Allah kepada setiap makhluk sama ada beriman atau tidak kerana ia bukti Allah Maha Penyayang kepada seluruh ciptaanNya. Oleh itu, kita perlu bersangka baik dengan Allah dan sentiasa melihat bahawa setiap yang ada pada diri kita merupakan rezeki dan ‘hadiah’ darinya.

Mempunyai keluarga yang bahagia itu adalah rezeki, mempunyai kesihatan yang baik itu juga rezeki, mempunyai anak yang soleh itu rezeki, mempunyai tempat untuk berteduh itu rezeki dan dikelilingi oleh orang yang baik-baik itu juga rezeki.

Hakikatnya, rezeki bukan sekadar dalam bentuk wang ringgit, tetapi diberi peluang untuk bernafas pada hari ini, merupakan hakikat rezeki yang sebenar-benarnya.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.