Lihat Apa Kata Al-Quran Mengenai Sabar
Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, sabar itu membawa maksud bertahan dengan segala masalah atau penderitaan yang dialami. Ia juga didefinisikan sebagai kuat dalam menerima setiap ujian yang ada.
Umum mengetahui itu maksud sabar yang diberikan oleh Kamus Dewan. Namun, tahukah anda apa yang dimaksudkan sabar dalam Islam?
Lisan kita sering senang untuk mengungkapkan perkataan sabar kepada seseorang yang sedang dilanda musibah atau ujian sebagai salah satu nasihat dan kata-kata semangat kepada mereka yang sedang dalam kesulitan.
Walau bagaimanapun, adakah mudah untuk mengamalkan sabar selari dengan mudahnya ia meniti di bibir anda?
Sabar yang berasal daripada perkataan Arab, iaitu صبر membawa maksud bertahan. Dari segi istilahnya ialah bertahan dengan segala kesulitan dan masalah yang dihadapi untuk membantu memberi kekuatan terhadap anda.
Namun, jumhur ulama’ berpendapat bahawa, sabar itu membawa kepada dua maksud, iaitu sabar dalam setiap ujian dan juga sabar dalam nikmat yang diperoleh.
Maksud yang paling jelas ialah sabar dengan ujian yang melanda. Ia tidak perlu dihurai dengan panjang lebar kerana umum mengetahui apakah maksud yang cuba disampaikan.
Namun, apa pula yang dimaksudkan dengan sabar dalam nikmat? Ia merupakan sabar dengan sabar yang sangat indah. Hal ini kerana, tidak semua orang mampu bersabar apabila dilemparkan dalam situasi ini.
Saya bawakan kepada anda satu contoh – jika anda diberi pujian oleh pensyarah anda kerana mendapat markah yang tertinggi di dalam kelas atau mungkin dalam satu kos anda, apa agaknya reaksi yang anda akan tonjolkan?
Adakah bersyukur dengan pujian tersebut dengan mengembalikannya kepada Allah atau tenggelam dalam kata-kata itu?
Bagaimana mengembalikan kesyukuran anda itu kepada Allah dan apa pula yang dimaksudkan dengan tenggelam dalam kata-kata pujian tersebut?
Jawapannya mudah sahaja. Setiap pujian dan nikmat yang anda dapat adalah bukan bergantung kepada hasil anda semata-mata, namun juga berkat doa ibu dan bapa serta kerana redanya guru kepada anda.
Oleh itu, apabila anda mula menyedari hakikat tersebut, anda bukan sahaja akan mengucapkan Alhamdulillah kepadaNya, tetapi juga ucapan terima kasih kepada mereka yang berada di samping anda.
Atau, adakah anda akan melupakan semua itu dengan menganggap bahawa kejayaan anda datangnya seratus-peratus dari usaha dan kebijaksanaan anda. Anda malah riak dengan nikmat tersebut dan tenggelam dalam kejayaan itu.
Mana satu yang anda akan jadi? Jumhur ulama’ juga ada menyebut bahawa, manusia akan mudah melupakan tuhan apabila ditimpa kesenangan berbanding kesusahan kerana itu merupakan antara ujian terbesar yang dilemparkan kepada hambaNya.
Malah, terdapat banyak kalam Allah mengenai maksud dan aspek sabar yang boleh diambil sebagai peringatan untuk menjalani kehidupan ini, antaranya ialah:
#1 – Sabar Dalam Menerima Pujian
لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Mafhum: “Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan – jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Al-Imran, 3: 188)
#2 – Sabar Dalam Berkata-Kata
قَوْلٌ مَّعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى ۗ وَاللَّـهُ غَنِيٌّ حَلِيمٌ
Mafhum: “(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.” (Surah Al-Baqarah, 2:263)
#3 – Sabar Dalam Kebaikan
وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَـٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ
Mafhum: “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat.” (Surah Ar-Rad, 13:22)
#4 – Sabar Dalam Menjalankan Amanah
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Mafhum: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah An-Nisa, 4:58)
#5 – Sabar Dalam Tipu Daya Dunia
يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ ۖ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلَّا غُرُورًا
Mafhum: “Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.” (Surah An-Nisa, 4:120)
#6 – Sabar Dengan Hawa Nafsu
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّـهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Mafhum: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Al-Imran, 3:14)
#7 – Sabar Dalam Bersosial
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ خَرَجُوا مِن دِيَارِهِم بَطَرًا وَرِئَاءَ النَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ
Mafhum: “Dan janganlah kamu menjadi seperi orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalamg manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al-Anfal, 8:47)
Kesimpulan
Dunia ini diciptakan sebagai ujian buat hambaNya sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Oleh itu, sebagai hamba yang sentiasa berjalan di atas muka bumi untuk menggapai redaNya perlu sabar dalam setiap perkara dari sekecil-kecilnya.
Kerana sabar itu sesuatu yang cukup indah untuk diamalkan.”
Wallahu a’lam.
Rujukan:
Mulia Berkat Kesabaran Oleh Azzam Supardi dalam Majalah Gen-Q, Edisi no. 7.
No comments: