Ads Top

Kebersihan Juga Merupakan Salah Satu Aspek Halal Dalam Pemakanan

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tularnya isu kebersihan kedai makan yang semakin menjadi-jadi dan menyeramkan sesiapa sahaja sama ada yang gemar makan di luar mahupun tidak.

Selepas isu tularnya straw yang diguna pakai semula di sebuah kedai makan beberapa hari lepas, kini timbul pula berita dapur kedai makan yang bersepah dan tidak bersih.

Rata-rata warganet menyifatkan ia suatu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan kerana ia melibatkan isu kebersihan dalam pemakanan yang pada akhirnya akan diberi makan kepada pelanggan.

Bimbang jika ada yang sehingga keracunan makanan atau akan mengalami pelbagai penyakit lain akibat daripada kedai makan tersebut.

Malah, isu kebersihan ini bukanlah suatu yang sempit yang hanya wajar diutamakan oleh golongan muslim, namun semua agama juga menekankan aspek ini. Jika dilihat rata-rata komen daripada warganet, masing-masing bersatu dengan menyifatkan ia sebagai sebuah perbuatan yang tidak bermoral.

Sebenarnya, isu kebersihan ini telah lama dititikberatkan dan perlu dimainkan peranan oleh semua orang, bukan sahaja pekerja kedai, malah pemilik dan juga pelanggan.

“Kebersihan kedai merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan sebelum mengambil kira kelazatan makanan yang dihidangkan.”

Kebersihan Separuh Daripada Iman

Jika dilihat kepada sirah dan kehidupan Rasulullah, Baginda sangat menitikberatkan kebersihan dalam diri. Sebelum tidur, Baginda anjurkan untuk mengibas tempat tidur agar debu dan kotoran yang ada pada katil itu boleh hilang.

Begitu juga dengan adab untuk masuk ke tandas, Baginda anjurkan untuk memakai selipar atau alas kaki bagi mengelakkan kuman-kuman dan bakteria berbahaya yang ada di dalam tandas daripada berjangkit.

Apatah lagi terhadap makanan dan sumber yang akan masuk ke dalam perut kita. Ia sangat penting bagi mengekalkan kesihatan dan untuk mengelakkan daripada berlakunya penyakit yang kronik.

Daripada Abu Malik al-Haris ibn ‘Asim al-Asy’ari Ra, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهورُ شَطرُ الإيمانِ، فذَكَرَ مِثلَه [أي: حَديثَ: الطُّهورُ شَطرُ الإيمانِ، والحَمدُ لله تملأُ الميزانَ، وسُبحانَ الله والحَمدُ لله واللهُ أكبَرُ تملأُ ما بين السَّماءِ والأرضِ، والصَّلاةُ نورٌ، والصَّدَقةُ بُرهانٌ، والصَّبرُ ضِياءٌ، والقُرآنُ حُجَّةٌ لك أو عليك. كلُّ النَّاسِ يغدو؛ فبائِعٌ نَفسَه فمُعتِقُها أو مُوبِقُها]، إلَّا أنَّه قال: الصَّلاةُ بُرهانٌ، والصَّدَقةُ نورٌ.

Maksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir Alhamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir Subhanallah dan Alhamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Solat itu adalah cahaya, sedekah itu adalah saksi, sabar itu adalah sinaran. Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan (memelihara) dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.” (Hadis Riwayat Muslim, no.223)

Oleh itu, bagi mereka yang tidak sempat untuk menyediakan makanan sendiri di rumah atau sekali-sekala ingin merehatkan diri dengan makan di luar bersama keluarga, maka perlu berhati-hati dalam pemilihan premis restoran.

#1 – Pastikan Halal

Mencari makanan yang halal itu merupakan suatu kewajipan. Halal itu bermula dari awal, iaitu bahan masakan yang digunakan, proses yang diambil serta adakah ia selamat untuk dimakan.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Mafhum: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah Al-Baqarah, 2:169)

Halal di sini juga ialah yang selamat dan boleh dimakan. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa, jika sesuatu makanan itu tidak selamat dan boleh mendatangkan kemudaratan, maka adalah lebih baik untuk ditinggalkan.

Sebagai contoh, kenapa Islam mengharamkan penggunaan rokok dan vape sedangkan di dalamnya tiada unsur anjing atau babi?

Namun, jika diamati, bahan-bahan di dalamnya adalah sangat merbahaya dan mampu mendatangkan pelbagai penyakit seperti kanser paru-paru dan kejutan jantung bukan sahaja kepada diri sendiri malah untuk orang sekeliling juga.

Itulah yang dimaksudkan dengan halalan toyyiban, iaitu yang halal lagi baik untuk diri.

#2 – Menjaga kebersihan

Kebersihan bukan sahaja terhadap apa yang dapat kita lihat di luar, iaitu kedai makan dan gred yang ada, namun kebersihan yang perlu diaplikasikan oleh pekerja yang ada.

Jika tukang masak, maka dia perlu untuk menutup kepalanya agar tiada rambut yang gugur atau kotoran lain yang masuk ke dalam makanan.

Kebiasaannya, untuk kedai makan yang besar dan bertaraf tiga hingga lima bintang, pelanggan tidak perlu risau kerana mereka sangat menitikberatkan isu ini.

Malah, ada beberapa restoran atau kedai makan yang mengambil kira aspek penjagaan kuku, pakaian yang dipakai serta air basuhan tangan yang digunakan selepas keluar daripada tandas.

Hal ini kerana, kebersihan itu melambangkan apa yang kita makan. Jika ia disediakan di tempat yang kurang bersih dan daripada mereka yang tidak menitikberatkan kebersihan, ia kemungkinan besar mampu mengundang kepada penyakit bahaya seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Kesimpulan

Sebenarnya, isu kebersihan merupakan isu yang tidak patut dibicarakan secara panjang lebar kerana ia merupakan sebuah common sense yang wajar ada dalam diri setiap orang baik pelanggan mahupun peniaga.

Kebersihan perlu diaplikasikan walau di mana sahaja anda berada, sama ada di kedai makan, tempat tinggal mahupun di dalam kereta.

Jika anda melihat tempat yang anda lalui itu kotor atau tidak bersih, ia terpulang kepada anda sama ada untuk menegur secara baik atau tidak berada di situ.

Untuk mengelakkan daripada perasaan was-was jika terjebak dalam situasi yang tidak diingini, bawalah metal straw sendiri atau memilih restoran yang diyakini status halalnya.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.