Benarkah Tulang Dan Sisa Daging Binatang Korban Perlu Ditanam?
Hari ini telah masuk 11 Zulhijah. Pasti ramai yang masih melaksanakan ibadah korban, suatu tanda pengabdian yang dipandang tinggi dalam Islam, serta amalan yang mampu memupuk semangat persaudaraan. Dalam masa yang sama, ada juga yang turut mengambil peluang melakukan Aqiqah, kenduri tahlil dan sebagainya.
Menyebut tentang ibadah korban, ada pula yang bertanya, adakah tulang dan sisa daging korban yang telah disembelih perlu ditanam? Adakah hal ini turut diamalkan oleh Rasulullah SAW serta para sahabat terdahulu?
Tidak Ada Dalil Tentang Keharusan Menanam Tulang Dan Sisa Daging Korban
Sebenarnya tidak ada dalil yang menyebut bahawa tulang dan sisa daging korban perlu ditanam. Ia mungkin hanya amalan serta tradisi yang diamalkan oleh masyarakat di Tanah Melayu bagi memastikan kebersihan terjaga.
Namun, terdapat hadis Nabi SAW yang ada menyebut tentang urusan daging korban:
أتاني داعي الجن فذهبت معه فقرأت عليهم القرآن قال : فانطلق بنا فأرانا آثارهم وآثار نيرانهم وسألوه الزاد فقال : لكم كل عظم ذكر اسم الله عليه يقع في أيديكم لحما وكل بعرة علف لدوابكم فقال النبي : فلا تستنجوا بهما فإنهما زاد إخوانكم
Berkata Ibn Mas’ud ra : ‘Rasulullah SAW berkata : Salah seorang dari kalangan Jin telah memanggilku, dan Aku pergi bersamanya, membaca al-Quran kepada mereka.’
Dia membawa kami melihat kesan mereka dan kesan api mereka, dan mereka bertanya baginda mengenai makanan dan baginda bersabda : ‘Bagi kamu semua tulang yang disebut nama Allah yang kamu perolehi, bagi daging pula, dan semua lebihannya bagi binatang kamu’. Nabi SAW bersabda : ‘Maka jangan kamu beristinjak (membersihkan diri) dengannya, kerana ia adalah makanan yang diperuntukan kepada saudara kamu’ (Hadis Riwayat Muslim, no. 450).
Daripada hadis di atas, kita mengetahui bahawa tulang hasil dari binatang korban yang disembelih dengan nama Allah merupakan makanan bagi jin Islam. Manakala lebihan atau sisa daging korban pula adalah makanan bagi binatang lain.
Amalan menanam tulang dan sisa daging korban pula mungkin berdasarkan anggapan masyarakat Melayu yang cenderung melihat semua perkara yang berkait dengan hal ibadah adalah suci dan mesti dihormati. Justeru, tulang dan sisa daging korban turut ditanam dengan baik.
Sembelihan Binatang Korban Dalam Kuantiti Yang Banyak
Penulis melihat tidak ada masalah untuk menanam tulang dan sisa daging korban. Mungkin ianya lebih mudah bagi mereka yang melakukan ibadah korban di kawasan kampung yang memiliki tanah milik sendiri yang lebih lapang dan luas. Ia juga bagi mengelakkan bau yang tidak menyenangkan.
Sama juga halnya bagi pihak yang menjadi wakil untuk menguruskan binatang korban dalam kuantiti yang banyak. Secara praktikalnya, mungkin lebih mudah bagi mereka untuk menanam tulang-tulang yang banyak berbanding membuangnya begitu sahaja.
Namun, keadaan pasti sedikit sukar jika proses penyembelihan binatang korban dilakukan di kawasan yang ramai penduduk, seperti di bandar, serta tertakluk kepada undang-undang majlis perbandaran. Dalam hal ini juga, tidak ada masalah jika tidak menanam tulang-tulang atau sisa daging dan ingin terus membuangnya di dalam tong sampah atau di tempat yang sesuai. Ia bergantung kepada situasi dan kesesuaian keadaan. Wallahua’lam.
Rujukan: Yadim
No comments: