Bagaimana Reaksi Anda Apabila Dipuji?
Apa yang akan anda jawab apabila seseorang memberi pujian kepada anda atau mendoakan kata-kata yang baik?
“Cantiklah awak hari ini. Berseri-seri dengan tudung baru.”
“Kau kan kaya, jadi bolehlah belanja kami makan.”
Dan pelbagai lagi kata-kata sedemikian yang diajukan kepada anda. Mungkin kadang-kadang kita merasakan kata-kata tersebut sekadar sesuatu yang cukup menjengkelkan atau mungkin untuk memerli kita.
“Betulkah aku ni cantik?”
“Alah, aku bukannya kaya sangat, saja je nak perli aku kan?”
Dan pelbagai lagi jawapan yang dilontarkan terhadap kata-kata tersebut. Kebiasaannya, kita akan lebih berfikir bahawa pujian dan kata-kata tersebut hanyalah sekadar untuk mengambil hati sahaja dan kita akan terus-terusan untuk menafikannya.
Namun, apa sebenarnya reaksi yang perlu diberikan jika anda berada dalam keadaan sedemikian? Terus menerima pujian itu dan berasa riak dengan keadaan tersebut atau membiarkan sahaja tanpa apa-apa balasan?
Sebenarnya, setiap yang keluar dari mulut dan kata-kata yang diberikan merupakan doa. Mungkin kita pernah mendengar kata-kata orang tua yang berpesan bahawa;
“Ucaplah yang baik-baik supaya yang baik-baik juga yang akan datang dalam hidup kita.”
Islam menganjurkan kita untuk mengucapkan perkara yang baik-baik kerana balasannya bukan sahaja untuk orang yang diungkapkan, malah agar doa tersebut berbalik kepada diri sendiri.
Mengapa kita perlu menolak doa yang diungkapkan sedangkan Baginda mengajar umatnya untuk mengaminkan setiap perkara dan ucapan yang baik-baik yang datang kepada hidup kita.
Perumpamaan ia adalah sama seperti rezeki. Mengapa kita perlu menolak rezeki yang sampai kepada kita sedangkan ia adalah pemberian dan hadiah daripada tuhan, sama ada rezeki dari sudut kewangan, kasih sayang keluarga, hadiah atau anugerah yang diperoleh dan pelbagai lagi.
ثلاثٌ لا تُرَدُّ: الوسائدُ والدهنُ واللبنُ
Maksud: “Tiga hal yang tidak boleh ditolak, iaitu: bantal, minyak wangi dan susu.” (Hadis Riwayat Abdullah bin Umar, no.2790)
Oleh itu, tatkala diberi pujian atau kata-kata yang manis didengar, ucapkanlah ‘amiin’, semoga ia akan memberi kebaikan buat diri sendiri dan yang mendoakan.
Berfikiran Negatif Itu Cerminan Hati Anda
Jika lori yang membawa tin susu mengalami kemalangan atau terbabas, yang keluar dari lori tersebut pastinya tin susu dan bukannya buah kelapa.
Itulah juga perumpamaan yang diletakkan kepada hati kita. Jika baik dan bersih hati anda, pastinya yang keluar daripada mulut anda atau yang berada dalam pemikiran anda ialah sesuatu yang elok.
Jika kita terlalu cemburu atau sakit hati dengan seseorang sehinggakan sanggup untuk mengutuk dan mengumpatnya, maka kita perlu berhati-hati jika ucapan tersebut datangnya dari hati kita yang sedikit sebanyak mempunyai titik hitam.
Kita perlu berjaga-jaga, bimbang suatu hari nanti kata-kata tersebut akan berbalik kepada kita semula.
وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا
Mafhum: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang): sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (Surah Al-Isra’, 17:53)
Tidak dapat disangkal lagi kerana setiap ucapan kita merupakan doa, sama ada untuk diri kita atau untuk orang lain. Oleh itu, jika kita diterima dengan pelbagai pujian dan kata-kata yang elok, jangan diberatkan kepala sama ada ia adalah ucapan yang ikhlas atau tidak, sebaliknya aminkan sahaja kata-katanya dan ucapkanlah:
هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي
“Ini adalah termasuk kurnia Tuhanku.”
Setiap apa yang kita ada dan miliki adalah dari Allah. Tiada suatu pun milik kita yang abadi. Sampai masanya, tuhan akan mengambilnya semula. Jika waktu muda, kita dikurniakan kecantikan, mungkin suatu hari nanti Allah akan menariknya dengan memberikan sedikit kedutan atau ditumbuhi jerawat, dalam erti kata lain, kecantikan kita telah dimamah usia.
Pelbagai lagi cara lain yang boleh dilakukan Allah untuk menarik kembali apa yang telah diberikanNya. Oleh itu, tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk menjaganya dengan baik dan tidak boleh riak serta takbur dengan ujian tersebut.
Ucapan هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي (haaza min fadhli Rabbi) ini adalah untuk memberi peringatan kepada diri sendiri juga bahawa, setiap sesuatu yang ada pada diri kita dan dilihat pada pandangan mata kasar orang lain adalah datangnya dari Allah.
قَالَ الَّذِي عِندَهُ عِلْمٌ مِّنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُ قَالَ هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ
Mafhum: “Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.” (Surah An-Naml, 27:40)
Wallahu a’lam.
No comments: